Modifikasi

NISSAN GT-R GENTIAN KARBON

Nissan GT-R ialah salah-satu projek mega Carlos Ghosn apabila beliau dilantik sebagai CEO baru Nissan selepas syarikat gergasi Jepun tu diambil alih oleh Renault dari Perancis.

Nissan-GT-R-mekanika (5)

Sebelum kehadiran GT-R, nama GT-R berkait rapat dengan satu lagi nama besar milik Nissan iaitu Skyline. Model-model Skyline GT-R yang bermula daripada model KPG10 Hakosoka’ sehinggalah ke model R34 merupakan satu nama yang gah di serata dunia,. Walaupun kereta ini sebenarnya hanya dijual secara rasmi di negara kelahirannya, Jepun.

Ghosn menyedari hakikat itu dan berusaha menjadikan nama GT-R sebagai kereta untuk pasaran antarabangsa. Beliau pelik kenapa Nissan tidak memasarkan model yang hebat seperti ini sejak dulu lagi. Sebaliknya hanya berpuas hati menjual model-model biasa seperti Micra, Sunny, Almera dan sebagainya.

Nissan-GT-R-mekanika (13)

Dengan keazaman yang kuat dan sumbangan teknikal daripada jurutera terbaik Nissan,  akhirnya cita-cita Ghosn tercapai apabila kereta Nissan GT-R berjaya dihasilkan untuk jualan pada tahun 2008.

Kereta dengan enjin terbaru yang dipasang secara manual tanpa bantuan robot itu  mampu menghasilkan 485bhp. Kuasa itu kemudian disalurkan ke kotak gear klac berkembar dengan sistem pacuan empat roda yang mampu menewaskan kereta Porsche 911 Turbo di litar Nurburgring, Jerman.

Nissan-GT-R-mekanika (1)

Saya masih ingat apabila kereta ini mula menjejakkan tayar berisi gas nitrogennya di Malaysia, hanya selang beberapa bulan selepas dilancarkan. Harganya lebih RM600,000.

Tetapi kalau difikirkan balik, ia jauh lebhih murah berbanding Porsche 911 Turbo. Sememangnya inilah niat Nissan dari awal lagi, membina sebuah kereta super dengan prestasi yang hebat. Tetapi pada harga yang jauh lebih murah daripada pesaing terdekatnya.

Nissan-GT-R-mekanika (11)

Kini, GT-R boleh dibeli pada separuh harga asal yang ditawarkan. Terima kasih kepada kebanjiran kereta recond di pasaran Malaysia. Dengan harga jualan yang lebih murah, tak hairanlah kenapa kereta ni semakin banyak atas jalan raya.

Tak macam kereta eksotik lain yang lebih banyak menghabiskan masa di bawah selimut, GT-R lebih mudah untuk dilihat memandangkan ia sebuah Nissan. Sedia maklum bahawa Nissan ialah kereta yang boleh dipandu setiap hari tanpa sebarang masalah.

Nissan-GT-R-mekanika (8)

Kami bertemu dengan Nissan GT-R ini di Johor. Ia kereta demo milik CM Racing, sebuah kedai aksesori kereta yang memasarkan aksesori gentian karbon tulen.

Sejujurnya, kereta ini tak banyak diubah suai. Enjin VR38DETT langsung tak diusik. Semua aksesori yang lazimnya diganti macam penapis udara, intercooler, sistem turbo mahupun sistem ekzos masih dikekalkan seadanya.

Nissan-GT-R-mekanika (2)

Ubah suainya lebih cenderung ke arah estetika. GT-R ini menggayakan pelbagai produk gentian karbon yang dipasarkan oleh CM Racing. Walaupun ia nampak macam standard, namun pemiliknya, Desmond sudah menggantikan beberapa panel asal  dengan produk yang dibuat daripada gentian karbon.

Dengan menggunakan reka bentuk bodykit ZELE sebagai inspirasi, Desmond menggantikan lips depan, skirting sisi, apron bampar belakang dan spoiler belakang dengan aksesori gentian karbon.

Nissan-GT-R-mekanika (7)

Langkah seterusnya, Desmond menggantikan bonet depan yang asalnya aluminium kepada gentian karbon. Bonet belakang juga mendapat sentuhan produk gentian karbon yang bukan saja nampak lawa, tapi ringan.

Penggunaan barang gentian karbon diteruskan untuk bahagian dalaman terutama  papan pemuka. CM Racing membekalkan panel gentian karbon yang direka khas untuk GT-R yang merangkumi panel untuk konsol tengah dan bingkai meter.

Nissan-GT-R-mekanika (12)

Kalau anda perasan, tempat duduknya berwarna putih. Satu opsyen yang agak sukar dijumpai berbanding tempat duduk berwarna hitam atau merah.

Selain bodykit yang digantikan dengan aksesori gentian karbon, tak lengkap kalau rim tak diganti. Rim 20 inci asal GT-R yang dibekalkan oleh NISMO dah cukup cantik, tapi bagi mereka yang mampu memiliki GT-R, menggantikan rim asal tak jadi masalah pun.

Nissan-GT-R-mekanika (4)

Desmond memilih rim Hamann buatan Jerman yang lebih terkenal untuk kereta-kereta seperti Mercedes dan BMW.

Walaupun pengubahsuaian yang dilakukan terhadap kereta demo ini begitu minimum, namun pasti ramai yang terpaku melihat kereta ini meluncur di jalan raya. Tak kurang juga yang sanggup posing depan kereta untuk ambil gambar, lepas tu upload di  Facebook. Begitulah hebatnya tarikan kereta bernama Nissan GT-R kepada orang ramai.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button