Modifikasi

NISSAN SKYLINE R-33. SATU-SATUNYA SKYLINE YANG HAMPIR DILUPAKAN…

Walaupun keluarga Skyline telah wujud sejak era 50-an, namun kebanyakan peminat lebih terdedah kepada tiga model utama sahaja. Bermula dengan generasi kelapan R-32 sebagai abang, R33 yang tengah, serta R34 untuk adik.

Model-model generasi lain bukan tak wujud. Cuma tidak dipilih sebagai topik cerita menarik, memandangkan jumlahnya yang terhad dan sukar dikesan.

BACA: SKYLINE KENMERI, AYAHANDA 

Kalau ikut kedudukan, model R32 sentiasa ditagih kerana status kecemerlangannya yang tersendiri. Malah pengecualian juga telah diberikan, untuk membolehkannya dibawa masuk ke negara Uncle Sam secara sah.

Taraf R34 sebagai artis Hollywood pula, menyebabkan nilainya terus mencanak macam harga minyak RON97. Yang tinggal cuma model R33. Bukan kata tak bagus. Cuma kehebatan dirinya, sering dibayangi kelibat abang dan adik yang jauh lebih popular.

Skyline R33 GTS-T ini dibeli Lee, selepas seorang rakan membatalkan niat untuk meneruskan projek yang dirancang.

BACA: R’S MEETING DI KUANTAN YANG MERIANGKAN!

Asasnya masih menggunakan enjin RB25DET yang asal. Tapi diperkuatkan dengan piston forged CP 87mm, pam minyak N1, serta set bearing enjin ACL Race di bahagian dalam enjin.

Untuk sistem pendesak, suapan udara dibawa terus ke mulut turbo jenis Turbonatics GTK650. Ia bertenggek pada manifold turbo T4, yang turut menempatkan sebuah wastegate dari Apexi. Sebaik dimampatkan, boost yang terbentuk akan disejukkan oleh unit intercooler GTR.

Paip intercooler asal yang melintang di tengah enjin, telah dibina semula secara kustom. Ia bersambung pada manifold kemasukan GReddy, yang turut memegang throttle body VH45DE. Lebihan boost yang tidak digunakan, akan dilepas keluar menerusi injap pelepas GReddy Type S.

Bekalan petrol dibawa oleh pam petrol Walbro 255. Ia ditembak masuk ke ruang kebuk pembakaran menggunakan set injektor 555cc, dengan kadar tekanan dilaras unit regulator Sard.

Sistem nyalaan diperkuatkan dengan pek koil Mitsubishi serta kabel pencucuh MSD. Manakala unit ECU Haltech Sprint 500, diberi tugas mengawal setiap parameter secara optimum.

BACA: JAY LENO DAN HAKOSUKA SEDAN

Memastikan ruang enjin ini lebih kemas dan teratur, mana-mana komponen kurang perlu telah ditanggalkan, termasuk mengatur semula sistem pendawaiannya.

Kereta ni kalau standard, memang tak mari mana. Nampak macam Perdana pun ada. Oleh itu, ia perlu dipadankan dengan kit badan lengkap milik R33 GTR. Beberapa komponen lain turut diguna sama, seperti hood dan canard karbon fiber dari Auto Select, fender karbon fiber, lip depan kustom dan skirt sisi tambahan R34 GTR, diffuser belakang Top Secret, cermin sisi Ganador, lampu projektor kustom serta padanan spoiler GT dari Bee-R.

Ruang roda mengandungi rim Volk Racing TE37 dengan warna berbeza, beserta tayar Westlake dari saiz 265/35ZR-18.

Untuk sektor pengendalian, sistem gantungan dilengkapi set suspensi boleh laras Apexi N1. Bagi memantapkan respon bahagian ini, sistem stereng Hicas telah dimatikan dengan kit dari ORT, termasuk pemasangan lengan atas kustom pada suspensi depan, rod castor Nismo, kit camber ORT, serta bush rak stereng Super Pro. Baru boleh drift!

BACA: INILAH SEBAB SKYLINE SEMAKIN MAHAL

Menyilang di bahagian kokpit adalah set roll cage dari Auto Select. Ia turut dilengkapi sepasang kerusi bucket Bride, termasuk salinan papan pemuka R33 GTR.

Kemudian ada stereng Sparco, tombol gear Nismo, meter utama Nismo, meter tambahan Defi serta meter a/f Innovate. Untuk tujuan kemasan, keseluruhan bumbung dan panel pintu telah dibalut semula dengan fabrik Alcantara.

Kalau tak kisah pasal status, model R33 mungkin pilihan paling bijak untuk mula memiliki sebuah jentera berprestasi. Harga boleh dengar, akan datang tak tahu lagi lah tapinya.

BACA: PERJUMPAAN SKYLINE TERBESAR DI ARAB

Walaupun tak popular macam abang dan adiknya, ia tetap sebuah Skyline khusus untuk mereka yang inginkan kelainan berbanding pilihan kebanyakan…

 

Spesifikasi

Pemilik                            Lee

Pengeluar                       Nissan

Model                              Skyline ECR33 GTS-T

Tahun                              1994

Enjin asal                        RB25DET, Piston forged CP 87mm, pam minyak N1, bearing enjin ACL Race, turbo Turbonatics GTK650, manifold turbo T4, wastegate Apexi, intercooler GTR, paip intercooler kustom, manifold kemasukan GReddy, throttle body VH45DE, injap pelepas GReddy Type S, pam petrol Walbro 255, injektor 555cc, regulator Sard, pek koil Mitsubishi, kabel pencucuh MSD, ECU Haltech Sprint 500, tangki perangkap minyak berkembar, radiator aloi, penyejuk minyak Trust GReddy

Transmisi                        Kotak gear manual RB25DET, set klac plet berkembar OS Giken, pam klac Nismo, LSD 1.5 Cusco

Ekzos                             Kit ekzos 3.5-inci Apexi

Luaran                            Kit badan R33 GTR, hood & canard karbon fiber Auto Select, fender karbon fiber, lip depan kustom & skirt sisi tambahan R34 GTR, diffuser belakang Top Secret, cermin sisi Ganador, lampu projektor kustom, spoiler GT Bee-R

Suspensi                        Apexi N1

Brek                               Standard

Rim & Tayar                   Volk Racing TE37 18-inci & Westlake 265/35ZR-18

Dalaman                         Papan pemuka R33 GTR, tempat duduk Bride Zeta III & Bride Low Max, roll cage Auto Select, stereng Sparco, tombol gear Nismo, meter utama Nismo, meter Defi, meter a/f Innovate,  balutan fabrik Alcantara

Bengkel                            KKP Auto Service, Shah Alam & LSF Autoworks Sunway

-PAK MAUN-

GALERI

 

 

 

 

Google ads
Back to top button