Modifikasi

PISTON? APA PISTON? SAYA RX-7 ROTARY, SAYA TAK PERLU PISTON PUN!

Saya sebenarnya sangat kagum dengan jenama Mazda. Mereka bukanlah pembuat kereta terbesar di Jepun, apatah lagi di peringkat global. Tapi mereka cukup berani. Kalau pembuat kereta lain suka ikut trend semasa, Mazda pulak akan mencipta haluannya dan membentuk trend yang tersendiri.

Penghasilan enjin rotary, mungkin antara langkah mereka yang cukup berani. Ketika mula diperkenalkan pada era 60’an, enjin jenis ini pernah cuba dikomersialkan pelbagai pengeluar ternama, namun gagal menghasilkan sesuatu yang benar-benar lasak.

BACA: RX-7 EFINI, LAGENDA SEPANJANG ZAMAN

Tanpa siapa menduga, sebuah pengeluar kecil yang berpengkalan di Hiroshima telah melancarkan kereta berenjin rotary pertama mereka pada tahun 1967, dikenali dengan nama Mazda Cosmo 110S. Sejak itu teknologi enjin rotary Mazda terus berkembang, tanpa berani diganggu gugat oleh barisan pengeluar lain.

Antara rekaan terhebat Mazda ialah model RX7 FC3S. Menggunakan enjin 13B dengan sistem pengecas turbo berkembar, ia merupakan peningkatan terbesar berbanding enjin rotary 12A terdahulu. Rekabentuk pula diilhamkan daripada Porsche 924/944, yang sampai hari ini masih kelihatan segak walaupun sudah mencecah usia 30 tahun!

FC3S juga mempunyai casis yang sangat kukuh dan seimbang. Biarpun dah masuk kategori klasik, ia boleh menerima pengubahsuaian yang agak ekstrim untuk tujuan prestasi. Paling dekat, kereta milik Jack ni yang boleh dijadikan contoh bagaimana ia masih lagi relevan di zaman digital.

Enjin tanpa piston ini sebenarnya cukup mudah menjana kuasa yang tinggi. Buat permulaan, kedudukan enjin asal telah digantikan dengan enjin rotary jenis 13B-REW daripada adiknya RX7 FD3S.

Memastikan kuasanya tidak mudah bocor, bahagian apex seal pada rotor telah digantikan dengan komponen berprestasi dari Super Seal, diikuti kerja-kerja porting (half bridge) di bahagian perumah rotor.

Ubahsuai ini memungkinkan Jack menyumbat masuk sebuah turbo Garrett A/R72. Ia ditenggek pada manifold turbo kustom, sambil ditemani wastegate dari HKS.

Untuk proses sejukan, boost yang terbentuk akan melalui intercooler yang sengaja dibaringkan pada ruang bumper depan. Ia kemudian dibawa ke mulut throttle body Nissan VH45, menerusi binaan paip sambungan kustom.

Hasil pelarasan yang dibuat, jumlah boost berlebihan akan dibawa keluar melalui injap pelepas GReddy Type-S.

Suapan petrol memerlukan sistem bahan apinya dirombak semula. Menggunakan dua biji pam jenis Bosch 044, ia dihubungkan pada sebuah tangki surge sebelum di bawa ke rel bahan api kustom.

Selepas ditembak masuk oleh set injektor berkapasiti 1000cc, sebuah pelaras bahanapi Turbosmart kemudiannya bertugas mengawal tekanan dan proses balikan petrol dari rel berkenaan.

Senarai modifikasi ini sudah tentu memerlukan sistem pengurusan enjin yang lebih cekap. Untuk itu, unit ECU asal telah digantikan dengan unit pengurusan MicroTech LT10S yang boleh diprogram semula. Turut sama membantu modul nyalaan MicroTech X4, yang akan memastikan kuasa cucuhan boleh berlaku dengan sempurna.

Untuk luaran, pemasangan kit aero kembang dari R-Magic telah berjaya mengubah rupa paras RX7 ini, menjadi sebuah kereta yang agak sado.

Ia kemudian dipadankan dengan bumper depan RE Amemiya, nama yang tidak asing dalam dunia modifikasi Mazda. Ada jugak cermin sisi Ganador, serta spoiler GT dan diffuser gentian karbon di bahagian belakang. Tidak ketinggalan penggunaan kit lampu tetap jenis projektor, sekaligus menghilang imej lampu pop-up sebelum ini.

Badan yang kembang takkan sempurna kalau rim besar lidi yang digunakan. Untuk rupa lebih seimbang, bahagian ruang roda telah diisi rim Volk Racing TE37 bersama tayar Hankook Ventus RS-3.

Di sebalik rim depan kelihatan kit brek 8-pot dari D2, yang akan memastikan kereta ini mampu berhenti pada waktunya.

Bahagian dalaman antara yang paling kemas pernah kami tengok, lagi-lagi untuk kereta senior berkuasa besar seperti ini. Keseluruhan papan pemuka, panel pintu, pilar dan tempat duduk belakang telah dibalut semula dengan kemasan fabrik Alcantara yang lebih mewah.

Sepasang tempat duduk Mazdaspeed kemudiannya menggantikan tempat duduk asal, diikuti penggunaan stereng Nardi Torino, tombol gear Mazdaspeed, serta sebuah meter GlowShift dan deretan meter Defi untuk tujuan pemantauan.

BACA: LAGI MODIFIKASI UNIK RX7 FC3S

Ada desas-desus mengatakan Mazda, sedang membangunkan enjin rotary baru setelah model sejuk RX8, dikeluarkan dari katalog jual beberapa tahun lalu. Kalau gitu katanya, ada lagilah talian hayat baru untuk Jack dan peminat rotary lain lepas nih!

-PAK MAUN-

GALERI

[ngg_images source=”galleries” container_ids=”139″ display_type=”photocrati-nextgen_basic_thumbnails” override_thumbnail_settings=”1″ thumbnail_width=”100″ thumbnail_height=”80″ thumbnail_crop=”1″ images_per_page=”20″ number_of_columns=”5″ ajax_pagination=”0″ show_all_in_lightbox=”0″ use_imagebrowser_effect=”0″ show_slideshow_link=”0″ slideshow_link_text=”[Show slideshow]” order_by=”sortorder” order_direction=”ASC” returns=”included” maximum_entity_count=”5000″]
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button