Artikel PilihanModifikasi

PROTON SATRIA NEO – WAJAH TAMPAN YANG SEMAKIN DILUPAKAN

Mengenangkan Proton akan menamatkan pengeluaran Proton Satria Neo tak lama lagi, mari kita tengok kereta hatchback 2 pintu mampu milik rakyat Malaysia ni dengan lebih dekat. Neo dilancarkan pada tahun 2006 sebagai pengganti untuk model Satria yang pertama kali menemui rakyat Malaysia pada tahun 1994.

satria neo (2)

Satria Neo ialah kereta hatchback 2 pintu pertama Proton yang dihasil sepenuhnya oleh syarikat kereta Nasional ni. Casis Satria Neo diasaskan daripada perkongsian teknologi Proton Gen 2 dan model pertamanya didatangkan dengan dua pilihan enjin Campro – 1.3 liter dan 1.6 liter.

Model Satria Neo terawal menggunakan enjin Campro “biasa” yang menghasilkan 94bhp untuk versi 1.3 dan 110bhp untuk versi 1.6. Enjin-enjin ni dipadankan dengan kotak gear manual 5 kelajuan atau 4 kelajuan automatik yang merupakan kotak gear buatan Mitsubishi. Spec tertinggi (H Line) Satria Neo ni dilengkapi dengan sistem keselamatan aktif dan pasif seperti beg udara berkembar dan sistem brek ABS dengan fungsi EBD. Dari segi aksesori, model M Line dan H Line dibekalkan dengan rim aloi 16 inci, penggilap cermin belakang dan spoiler bumbung.

Pada tahun 2009, Proton telah melakukan facelift untuk model ni dan memperkenalkan versi yang dikuasai oleh enjin Campro CPS. Model yang dibekalkan dengan enjin CPS ni menggantikan model H Line yang terdahulu. Enjin Campro CPS 1.6 liter ini mampu menghasilkan 125bhp, iaitu peningkatan sebanyak 15bhp berbanding enjin Campro terdahulu, terima kasih kepada sistem cam profile switching yang akan diaktifkan apabila tahap rpm enjin mencecah 4400rpm.

Dari segi aksesori, model CPS ini dilengkapi dengan bodykit penuh yang agresif, rim aloi 16 inci rekaan baru dan sistem keselamatan lengkap seperti beg udara berkembar dan sistem brek ABS dengan EBD. Model ini boleh dibeli dengan pilihan samada kotak gear manual 5 kelajuan atau automatik 4 kelajuan. Model-model Satria Neo tanpa enjin CPS masih lagi dijual untuk model L dan M Line, termasuklah model 1.3 liter.

Menariknya, sebelum model Neo CPS dilancarkan, Proton terlebih dahulu membina 50 buah model istimewa yang dinamakan Satria Neo R3. Dipertontonkan buat pertama kali di Melbourne Motor Show 2008, model ini didatangkan dengan warna Incognito Black dengan jalur berwarna merah di sisi kereta. Enjin CPS yang digunakan telah dinaik-taraf dan mampu menghasilkan 138bhp.

Dari segi pengendalian, model ini didatangkan dengan sistem gantungan yang ditala semula oleh Lotus, sistem brek yang dipertingkatkan dan rim aloi 17 inci. Bodykit yang lebih agresif telah direka khas untuk model ini dan aksesori lain yang digunakan ialah tempat duduk Recaro dan stereng Momo.

neo 01

Pada tahun 2010, Proton menghasilkan satu lagi model istimewa yang dinamakan Proton Neo R3 Lotus Racing, yang ketika itu menjadi antara kereta Proton yang paling mahal harga jualannya – RM115,000.00! Model ini menggunakan enjin Campro CPS yang dipertingkatkan dengan sistem ECU R3, aci sesondol perlumbaan R3, sistem ekzos lengkap R3 dan penapis udara K&N yang diletak di dalam kotak udara gentian karbon.

Ubahsuai ini meningkatkan kuasa enjin kepada 145bhp. Selain daripada peningkatan kuasa enjin, Neo ini dipasang dengan penyerap hentak bolehlaras buatan Ohlins, sistem brek perlumbaan dari AP Racing dan rim aloi Advanti 16 inci yang dibalut dengan tayar Bridgestone Adrenaline. Ruang dalaman kereta ni pula dibalut dengan kulit Nappa berwarna hijau gelap.

mekanika - Neo R3 xtra (2)

Satria Neo sekali lagi diberi model istimewa pada tahun 2011 dengan pengenalan model Satria Neo R3. Tidak seperti Neo R3 yang dijual di Australia tu, model ni merupakan model Neo R3 Lotus Racing yang dikurangkan specnya untuk mencapai harga jualan kurang daripada RM80,000.00.

Model ini mempunyai spec enjin yang 100 peratus sama dengan model R3 Lotus Racing. Walau bagaimanapun, ia tidak dipasang dengan sistem gantungan Ohlins ataupun brek AP Racing tetapi menggunakan sistem gantungan dan brek yang direka oleh pihak R3. Ruang dalaman kereta ini dibalut dengan kemasan kulit berwarna hitam dan merah dan buat pertama kali, ia dilengkapi dengan sistem audio video 2-DIN.

mekanika---Neo-R3-(2)

Model Neo buat kali terakhir dilakukan kerja-kerja facelift pada penghujung tahun 2012. Kali ini, model H Line Neo diganti dengan model Neo R3. Walaupun berkongsi nama yang sama dengan model istimewa Neo R3, model ini sebenarnya menggunakan enjin dari Campro CPS Neo H Line tetapi menggunakan bodykit Neo R3.

Juga berbeza ialah model ini didatangkan dengan pilihan kotak gear automatik (model R3 asal hanya didatangkan dengan kotak gear manual) dan pilihan warna yang lebih banyak iaitu merah, perak dan kuning. Model ini juga turut diperkenalkan oleh Proton Brunei.

proton-satria-neo-enjin-terbalik-mekanika (11)

Model-model Neo kini boleh dibeli pada harga bawah RM20k untuk model berenjin Campro “biasa”. Model enjin Campro CPS lazimnya dijual pada harga yang lebih tinggi, lazimnya lebih daripada RM25k memandangkan ia dilengkapi dengan aksesori yang lebih menarik, di samping enjin yang lebih berkuasa tinggi.

Dari segi aksesori, Neo amat mudah untuk diubahsuai memandangkan terdapat pelbagai aksesori telah dibuat untuk kereta ni. Model-model istimewa atau edisi terhad seperti Neo R3 Lotus Edition atau Neo R3 yang asal (warna merah bumbung hitam) merupakan model yang dicari-cari peminat Proton oleh kerana ekslusivitinya. Harga model R3 lazimnya di antara RM50k dan model Lotus Racing, saya pernah tengok orang jual dalam RM90k!

Kalau ada bajet dan ada kemahuan untuk tingkatkan prestasi Proton,anda boleh juga ubahsuai Proton Satria Neo jadi sperti ini.

Setakat ni, belum dengar lagi rancangan Proton bagi menggantikan model Satria Neo dan model ni mungkin model terakhir hatchback 2 pintu keluaran Proton

Tapi harap-harap telahan kami ni salah…

 

 

 

Google ads
Back to top button