SUBARU IMPREZA V-LIMITED 555!

SHARE

Walaupun ramai berpendapat bahawa, Formula 1 banyak menghasilkan teknologi baru yang digunakan untuk kenderaan awam, saya pula tak rasa macam tu.

Bagi saya, jalan raya sebenarnya banyak dimeriahkan oleh teknologi yang dibawa oleh kereta-kereta kejohanan Rali Dunia (WRC). Bukan sahaja teknologi baru diperkenalkan, malah anda sendiri boleh beli kereta hampir sama dengan yang dipandu oleh juara-juara rali dunia.

subaru-impreza-v-limited-mekanika-18

Boleh ke beli kereta Formula 1 dan bawa ke pasar? Tak boleh kan? Tapi berapa kali anda tengok kereta-kereta macam Lancer Evolution, Impreza dan Celica GT Four di parkir pusat membeli-belah di serata dunia? Sudah tentu selalu.

Sebab itulah saya rasa kejohanan rali dunia banyak membuka mata peminat kereta  tentang teknologi terkini pemotoran yang boleh dirasai oleh ramai orang. Salah satu produk yang terkenal tentulah Subaru Impreza yang mula menyertai kejohanan rali sejak awal tahun 1990-an lagi. Siapa sangka kereta saloon 4 pintu itu saban tahun mampu memenangi perlumbaan demi perlumbaan dalam rali antarabangsa.

subaru-impreza-v-limited-mekanika-17

Untuk meraikan kejayaan Petter Solberg dalam kejohanan rali dunia, Subaru telah menghasilkan model edisi terhad pada tahun 2003 yang dikenali dengan nama Impreza V-Limited. Hanya 555 unit dihasilkan dan model itu ialah antara model yang cukup sukar ditemui di dunia. Tapi percaya atau tak, kami menjejaki sebuah V-Limited asli di Kuala Lumpur yang dimiliki oleh Zulhaidi.

Model V-Limited diasaskan dan kebanyakan peralatan mekanikalnya disalin daripada model STi. Enjiin EJ20DET ialah enjin Sti, tetapi bila dah dapat ke tangan Zulhaidi, enjin standard ni dah tak jadi standard. Turbo asal enjin ditukar dengan turbo Garret dan ditemani oleh wastegate jenis external Turbosmart. Intercooler top mount asal enjin dikekalkan dan sebuah injap blow-off HKS SSQV ditambah.

subaru-impreza-v-limited-mekanika-2

Tahap boost enjin dilaras kepada 1.4 bar oleh pengawal boost GReddy Profec B. Manakala talaan enjin diberikan kepada ECU boleh program Link G4. Memandangkan tahap boost dilaras tinggi, keempat-empat alat pancitan bahan api asal diganti dengan alat pancitan bersaiz besar daripada Dynamic.

Sementara pam bahan api dinaik taraf dengan pam SARD. Kuasa penyejukan enjin turut diberi perhatian. Radiator asal diganti dengan radiator aluminium DND dan sebuah penyejuk pelincir HKS turut dipasang.

BACA – FUJI HEAVY INDUSTRIES KINI DIKENALI SUBARU CORPORATION

BACA – ENJIN SUBARU FB : GENERASI BARU BOXER

BACA – SUBARU 360, WARISAN SEJARAH JEPUN

Sistem ekzos asal V-Limited tidak lagi digunakan. Mengambil alih ekzos asal ialah sistem ekzos rekaan custom yang dibina daripada keluli tahan karat. Sebuah peredam bunyi Blitz Spec C seterusnya dipasang bagi memberikan alunan bunyi enjin boxer yang cukup merdu.

Kotak gear 6 kelajuan manual asal Impreza ini dipertingkatkan dengan set klac perlumbaan HKS lengkap dengan kit flywheel sekali.

subaru-impreza-v-limited-mekanika-14

Zulhaidi seterusnya memikirkan untuk menaik-taraf sistem gantungan kereta dia. Dalam keadaan standard, versi V-Limited menggunakan sistem gantungan yang agak berbeza dengan model STi lain. Ia 15mm lebih rendah dan ditala oleh jurutera Subaru, Toshi Arai untuk mendapatkan pengendalian yang lebih sporty.

Bagaimanapun, dengan keadaan jalan raya Malaysia yang jauh berbeza berbanding Jepun, Zulhaidi berpendapat kereta ini perlu mendapat sistem gantungan jenis boleh laras. Jadi dengan agak berat hati, dia menanggalkan penyerap hentak asal dan menggantikannya dengan penyerap hentak jenis boleh laras Tein.

subaru-impreza-v-limited-mekanika-16

Brek-brek Brembo asal yang datang dengam model ni dikekalkan. Tetapi pelapik-pelapik brek telah diganti dengan pelapik brek separa-perlumbaan daripada Endless. Satu lagi aksesori asal V-Limited, rim aloi 17 inci STi emas yang asal diganti dengan rim Rota TE37 18 inci berwarna merah. Ia dibalut oleh tayar-tayar Achilles bersaiz 245/40ZR18.

Dari segi penampilan, semua aksesori asal V-Limited dikekalkan. Antara aksesori yang cukup unik ialah skup udara di atas bumbung yang merupakan satu trademark kereta kejuaraan rali dunia.

subaru-impreza-v-limited-mekanika-20

Selain itu, penutup lampu kabus depan dihias dengan pelekat “Subaru World Rally Team” atau SWRT yang berbeza daripada model STi biasa. Penambahan yang dilakukan oleh Zulhaidi pada luaran keretanya ialah pelekat ala kereta rali Subaru.

Bahagian dalaman tidak banyak diusik. Aksesori tambahan yang digunakan lebih kepada bahan elektronik seperti turbo timer A’PEXi dan meter RSM jenama Pivot. Di bahagian dalam ini juga saya ternampak plat nombor siri untuk kereta ini. Rupa-rupanya kereta ni ialah model ke 555 daripada 555 kereta V-Limited yang dihasilkan!

subaru-impreza-v-limited-mekanika-6

Agak malang selepas tahun 2015, saingan Impreza sejak azali ialah Lancer Evolution akan ditamatkan penghasilannya. Jadi selepas ni tinggal la Subaru sorang-sorang tanpa saingan…

GALERI

subaru-impreza-v-limited-mekanika-3subaru-impreza-v-limited-mekanika-5subaru-impreza-v-limited-mekanika-4 subaru-impreza-v-limited-mekanika-7 subaru-impreza-v-limited-mekanika-8 subaru-impreza-v-limited-mekanika-9 subaru-impreza-v-limited-mekanika-11 subaru-impreza-v-limited-mekanika-12

(Visited 16 times, 16 visits today)

Share this post

scroll to top