Modifikasi

TOYOTA ALTEZZA THE GREEN HORNET

Saya memang peminat Toyota Altezza yang saya anggap sebagai antara kereta sedan terbaik keluaran Toyota. Pengalaman menaiki Altezza milik seorang rakan  satu ketika dahulu membuatkan saya jatuh cinta dengan kereta ni. Mana tidaknya, kabinnya sangat senyap, sistem gantungannya selesa dan enjin rekaan Yamahanya ialah antara enjin paling lancar pernah saya rasa. 

DSC_0136

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Altezza saingannya bukanlah kereta sedan buatan Jepun yang lain. Tetapi saingannya ialah kereta buatan Eropah seperti BMW 3 Series atau Mercedes-Benz C-Class. Oh ya! Satu perkara yang unik pasal Altezza, ia menggunakan sistem pacuan roda belakang – satu konfigurasi yang jarang dijumpai pada sebuah kereta Jepun moden.

Dengan konfigurasi itu jugalah, Altezza boleh dikatakan sebagai sebuah kereta yang dicipta untuk pemandu. Walaupun ditala untuk keselesaan, ia masih mampu memberikan pemanduan dinamik yang diidamkan oleh mereka yang gemar memandu.

DSC_0140

Konfigurasi itu juga bermaksud chasis Altezza boleh diubah suai untuk menggunakan enjin berprestasi tinggi seperti apa yang anda boleh lihat di sini. Kereta yang berada di Tawau, Sabah ini merupakan contoh fleksibiliti kereta bernama Altezza. Pemiliknya bukan tidak suka dengan enjin BEAMS asalnya, tetapi kalau mahukan kuasa yang mutlak, lebih baik menggantikannya dengan enjin yang sememangnya direka untuk prestasi. Jadi, enjin asal Altezza ini digantikan dengan satu lagi enjin terkenal buatan Toyota – 2JZ-GTE.

DSC_0156

Enjin yang diambil daripada model Toyota Soarer ini ialah enjin yang sama digunakan oleh Toyota Supra JZA80 yang terkenal dalam filem Fast and Furious pertama. Jadi, prestasi enjin ini memang tidak boleh dinafikan, 280hp dah memang dalam tangan walaupun satu modifikasi pun tak buat.

Pemilik Altezza ini melakukan sedikit pengubahsuaian pada enjin. Memandangkan tak payah nak buat lebih-lebih sebab enjin ini dah memang berkuasa tinggi. Penapis udara asal enjin diganti dengan penapis udara jenis pod terbuka buatan K&N. Injap blow-off HKS SSQV dan wastegate jenis external daripada Turbosmart kemudiannya dipadankan.

DSC_0159

Sistem turbo berkembar enjin dikekalkan. Tetapi intercooler dinaik taraf dengan intercooler jenis front mount daripada GReddy. Sebuah penyejuk pelincir jenama  GReddy turut dipasang bagi menyejukkan lagi suhu operasi enjin. Sistem ECU enjin dinaik taraf dengan ECU TRD yang ditala pula oleh sebuah ECU jenis piggyback GReddy e-Manage.

Seterusnya, sistem ekzos kereta harus dipertingkatkan. Mana boleh pakai ekzos untuk enjin NA pada enjin berkuasa turbo kan? Pemiliknya berjaya mendapatkan manifold ekzos dengan tag JASMA yang khusus untuk enjin ini dan disambungkan kepada paip ekzos berdiameter tiga inci. Di hujung sistem ekzos ini ialah sebuah peredam bunyi HKS Super Drager.

DSC_0152

Enjin ini menyalurkan kuasanya kepada kotak gear automatik empat kelajuan yang datang sekali dengan half-cut. Tak payah penat-penat nak tukar gear dan tekan klac. Tapi percayalah, enjin ini walaupun dipadankan dengan kotak gear automatik, ia masih berbisa dan mampu memberikan daya pecutan yang cukup baik.

Altezza ini mempunyai satu set penyerap hentak boleh laras daripada Cusco yang membantu dari segi pengendalian dan paling penting merendahkan kereta. Tak sport langsung kalau kereta nampak tinggi macam bigfoot. Lebih-lebih lagi kalau dah pasang rim Volk Racing CE28 berdiameter 18 inci.

DSC_0139

Rim-rim ini mempunyai kelebaran 8.5 inci di depan dan 9.5 inci di belakang. Satu  kombinasi yang cukup sesuai bagi kereta yang menggunakan sistem pacuan roda belakang. Tayar-tayar yang membalut rim tadi ialah daripada Bridgestone, tapi pemilik dia lupa pula nak bagitau saiznya.

Kereta ini walaupun dah masuk enjin turbo, sistem breknya masih menggunakan sistem brek asal Altezza. Tidak mengapa, masih boleh diterima sebab Altezza pun guna  sistem brek cakera penuh. Bagaimanapun, semua pelapik brek sudah diganti dengan pelapik brek TRD yang mampu memberikan cengkaman lebih baik.

DSC_0145

Tak hensem sesebuah kereta kalau tak pakai bodykit. Tetapi kenalah pandai pilih bodykit yang sesuai. Kalau tak, kereta nampak macam kereta Space Cop Gaban pula. Pemilik Altezza ini memilih bodykit lengkap TRD Neo yang direka untuk model Altezza, sebelum melayangkan warna hijau gelap yang cukup sesuai dengan imej kereta sports sedan seperti ni.

DSC_0155

Pada bahagian kabin, tidak banyak ubah suai yang dilakukan. Cuma ada aksesori asas seperti turbo timer HKS dan sebuah meter boost jenama Auto Meter. Sistem hiburan dalam kereta Altezza ini boleh tahan dengan pemain utamanya berjenama  Kenwood.

Sementara pembesar suara, subwoofer dan amplifier semua menggunakan barangan buatan Kicker. Bagi menyelaras bunyi daripada sistem audio, sebuah pre-amp Caliber digunakan.

DSC_0147

Memandangkan harga kereta di Malaysia entah bila nak turun, kereta sebegini hanyalah idaman bagi orang macam saya. Hmmm… buat masa ni, boleh tengok sahajalah.

DSC_0150

[hr]Spesifikasi

Pembuat / Model: Toyota Altezza

Ubah suai enjin: 2JZ-GTE 3000cc 24 injap turbo intercooler, penapis udara K&N, injap blow-off HKS SSQV, wastegate jenis external Turbosmart, pam bahan api Bosch, palam pencucuh NGK

ECU: TRD dengan GReddy e-Manage

Sistem ekzos: Manifold ekzos spec JASMA, paip tengah custom 3”, peredam bunyi HKS Super Drager

Kotak gear: Automatik empat kelajuan

Sistem gantungan: Cusco boleh laras

Rim / Tayar: Volk Racing CE28 18” / Bridgestone

Sistem brek: Standard Altezza, pelapik brek TRD

Luaran: Bodykit lengkap TRD Neo

Dalaman: Turbo timer HKS, meter boost Auto Meter

Bengkel: JDM Garage

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button