TOYOTA CALDINA – TUNED BY JAI SPEEDHUNTER

SHARE

Satu perkara yang tak betul pasal Caldina ialah, tanggapan ramai bahawa ia tergolong dalam keluarga MPV. Walaupun bentuknya nampak seakan-akan, ia sebenarnya sebuah sport wagon yang berevolusi dari dua generasi sebelumnya. Makin lama makin tirus, sekaligus menghilangkan rupa asal wagon yang kita kenali.

Transisi rupa ini berjaya menarik minat ramai tanpa mengira usia. Yang muda, yang tua, yang kunyit, semuanya selesa menjadikan Caldina sebagai pilihan. Melihat situasi ini, maka berduyun-duyunlah jumlah yang dibawa masuk bagi memenuhi permintaan. Dengan tak semena-mena, populariti segmen wagon yang sepi selepas AD Resort, berjaya dipulihkan dalam tempoh yang singkat.

Caldina milik Jai ini mungkin boleh menjelaskan maksud sport wagon sebenar. Untuk bahagian luar, ia dilengkapi kit badan versi C-One yang tentunya lebih agresif. Beberapa komponen jenis karbon fiber turut digunakan seperti hood, fender, spoiler, termasuk garnish nombor plat belakang. Untuk menerangi malam di kala bulan memagar bintang, sebijik sunroof Odyssey ditempatkan pada ruang bumbung.

BACA: KELAHIRAN SEMULA TOYOTA CALDINA?

Dari sebuah model NA, keupayaan kereta ini telah dianjak ke tahap yang lebih memberangsangkan, menerusi penempatan enjin berkuasa turbo 3S-GTE dari Caldina GTT ST215. Seperti dijangka ia tidak hanya dipindah salin, tapi turut melalui proses naik taraf secara berperingkat.

Memastikan enjin ini mampu bertahan lama, bahagian dalaman menempatkan unit crankshaft Celica ST205 sebagai teraju utama. Ia kemudian dihubungkan kepada rantaian komponen lain seperti piston Wiseco 87mm, conrod Eagle, serta set galas enjin King Bearing. Kesemua liang penting pada kepala silinder menerima proses port & polish, termasuk penggunaan camshaft 264° dan spring injap dari HKS.

Sebagai cara menjana kuasa, unit turbo telah digantikan dengan turbo bearing AR.70 yang ditempah mengikut spesifikasi tertentu. Ia ditenggek pada sebuah manifold turbo kustom, sebelum dipadankan bersama wastegate Tial 38mm.

Bagi membantu proses sejukan, kedudukan intercooler asal telah dialihkan ke depan bumper, menggunakan kit intercooler GReddy bersama paip sambungan kustom. Sementara jumlah boost yang tidak diperlukan, akan dilepas keluar menerusi injap pelepas HKS SSQV

Untuk sistem penyampaian bahan api, bekalan petrol dibawa masuk menerusi pam bertekanan tinggi Walbro. Ia ditembak ke kebuk pembakaran menggunakan set injektor Bosch 1000cc, sambil dilaras oleh unit regulator Arospeed. Untuk capaian kuasa yang optimum, perjalanan enjin kini ditala menggunakan unit EMS Haltech Sport 1000.

Kereta ini datang dengan sistem pacuan AWD sepenuh masa. Walau bagaimanapun, keupayaannya sedikit terbatas memandangkan ia hanya dibekalkan dengan kotak gear jenis automatik.

Sebagai penyelesaian, kotak gear manual dari Celica ST205 telah dipilih, sesuai dengan peningkatan di bahagian enjin. Memastikan hantaran kuasanya tidak tergelincir, ia kini dilapik set klac plet berkembar dari OS Giken.

Kedudukan kereta direndahkan dengan set suspensi boleh laras dari Tein. Untuk tujuan keselamatan, komponen brek depan telah digantikan dengan kaliper 4-pot TRD Sumitomo beserta pad brek dari Brembo.

Sebagai penambah seri, keseluruhan ruang roda kini menempatkan rim Volk Racing TE37, yang dilapik tayar Bridgestone Potenza RE003 dari saiz 225/45R-17.

Menjengah ke ruang dalam, mata kita pasti tertumpu kepada sepasang tempat duduk merah jenis TRD Sports di bahagian depan. Untuk gaya lebih premium, keseluruhan panel pintu dan tempat duduk belakang telah dibalut semula menggunakan kain dari Recaro.

BACA: PESONA NISSAN AD RESORT JDM

Keadaan ruang dashboard bagaimanapun masih kekal asal, kecuali penempatan rangkaian gajet elektronik seperti meter tambahan Defi, meter boost Apexi, pengawal boost HKS EVC, paparan gear Ultra, pemasa enjin HKS, serta unit RSM Apexi di atas cermin depan.

Setelah sekian lama menghuni pasaran, Caldina kini memiliki nilai semasa yang agak masuk akal. Melihat kepada contoh potensi yang ada, ia mungkin antara calon yang boleh dipertimbangkan peminat modifikasi.

BACA: CALDINA GT4. SPEC NARUSE

Spesifikasi

Pemilik                        Jai Speedhunter

Pengeluar                    Toyota

Model                          Caldina ZT 2.0

Tahun                          2003/2008

Enjin asal                    1AZ-FSE

Modifikasi Enjin         3S-GTE Caldina GTT ST215, crankshaft Celica ST205, piston Wiseco 87mm, conrod Eagle, galas enjin King Bearing, port & polish kepala silinder, camshaft 264° & spring injap HKS, penapis udara Blitz turbo bearing AR.70, manifold turbo kustom, wastegate Tial 38mm, intercooler GReddy & paip sambungan kustom, injap pelepas HKS SSQV, pengawal boost HKS EVC, pam petrol Walbro, injektor Bosch 1000cc, regulator Arospeed, EMS Haltech Sport 1000, radiator aloi Forged Racing, tangki simpanan Sard

Transmisi                    Kotak gear manual Celica ST205, klac plet berkembar OS Giken

Ekzos                          Paip kustom 3-inci, muffler HKS

Luaran                         Kit badan C-One, hood, fender, spoiler & garnish plet karbon fiber, sunroof Odyssey

Suspensi                      Tein

Brek                            Kaliper 4-pot TRD Sumitomo, pad brek Brembo

Rim & Tayar               Volk Racing TE37 17-inci & Bridgestone Potenza RE003  225/45R-17

Dalaman                      Tempat duduk TRD Sports, balutan semula panel pintu & tempat duduk belakang, tombol gear TRD, meter Defi, meter boost Apexi, paparan gear Ultra, pemasa enjin HKS, RSM Apexi

Bengkel                       Mutiara Proservice Performance, Petaling Jaya

-PAK MAUN-

GALERI

Share this post

scroll to top