Modifikasi

TOYOTA CELICA 3S-GE BEAMS

Kalau ditanya tentang Toyota Celica, rasanya ramai akan mengingati model generasi pertama berbanding dengan model-model yang lebih baru.

Celica mungkin sebuah kereta sports yang underrated, model yang bagus  tapi kurang popular. Kereta ini boleh dikatakan senasib dengan Mitsubishi FTO yang bagi saya cukup best, tapi tak popular dalam kalangan kaki kereta.

Walaupun pernah memenangi beberapa kejuaraan rali dunia, nama Celica akhirnya digugurkan daripada senarai model baru Toyota pada tahun 2006. Mungkin jika Toyota meneruskan legasi chasis FR dengan Celica, kereta ni mungkin akan menjadi lagenda macam model AE86 dan Supra yang sampai hari ni diagung-agungkan oleh peminat kereta.

Malangnya, Toyota memilih konfigurasi FF untuk model ini (4WD kalau model GT4) yang mungkin tak menarik. Tambah pula kereta sport FWD semuanya terpaksa bersaing dengan Honda Civic EG6 atau Integra Type-R yang jauh lagi berkuasa daripada apa yang dihidangkan oleh Toyota.

Kurangnya populariti kereta ini membuatkan harganya kini agak murah (berbanding kereta sports klasik Jepun yang lain). Bukan saja harga kereta, malah  harga half-cut juga agak berpatutan.

Ini membolehkan peminat kereta dengan bajet yang sederhana mampu bermain dengan kereta ni. Model yang dimaksudkan ialah dari versi T180, iaitu Celica generasi kelima.

Sejujurnya, rekaan kereta ini nampak cantik dan sporty, cukup sesuai dijadikan bahan projek bagi orang yang mahukan kelainan. Pemilik Celica model AT180 ini ialah Muhammad Radzuan. Jentera ini model Celica spesifikasi eksport, bukan model JDM. Celica ini walaupun nampak macam bernadikan enjin turbo, tapi sebenarnya bukan.

Enjin yang digunakan ialah enjin 3S-GE BEAMS yang berasal dari model Celica ST202 SS-II, iaitu model Celica generasi keenam. Saya yakin ramai yang tidak sedar kewujudan enjin ini.

Sebabnya,  produksi enjin BEAMS jenis pacuan roda hadapan ini terhad pada model MR2, Celica dan Caldina spec JDM saja. Enjin BEAMS red top bersesaran 2,000cc dengan kepala silinder VVT-i mampu menghasilkan kuasa hampir kepada 200hp! Jadi, sebelum nak kutuk, fikir dulu sebab enjin ini sebenarnya berkuasa tinggi.

Radzuan ada usik sikit enjin ini. Kepala silindernya sudah dilakukan kerja-kerja port dan polish. Penapis udara asal pula diganti dengan penapis udara daripada M’s. Semua kabel palam pencucuh diganti dengan kabel NGK R.

Manakala pam bahan api dinaik taraf dengan pam bahan api enjin Toyota 1JZ. Apa yang saya pelik sikit ialah pilihan sistem ekzosnya. Saya tahulah enjin NA ini kuat, tetapi biar betik guna paip tengah 3.5 inci dengan peredam bunyi A’PEXi N1?

Enjin NA yang suka rev sehingga 7,000rpm sememangnya lagi sedap kalau digandingkan dengan kotak gear manual. Anda boleh rev sesuka hati sampai redline bila-bila masa.

Satu lagi sebab kenapa nak kena guna kotak gear manual ialah kalau enjin ini melekat pada kotak gear automatik, enjin ini kurang 10hp. Jadi Radzuan memilih kotak gear manual. Kotak gear ini dipadankan dengan kit flywheel ringan dan klac Toda.

Satu sifat yang wajib ada pada semua DNA kereta sports adalah pengendalian. Celica ini dibekalkan dengan sistem gantungan bebas. Ini memudahkan kerja naik tarafnya. Radzuan berjaya menemui satu set penyerap hentak boleh laras GAB dari Jepun untuk chasis Celica ini.

Rim-rim pilihan Radzuan ialah rim OZ Racing Crono bersaiz 16 inci. Rim yang lebih terkenal sebagai rim standard Evo III ini dibalut dengan tayar-tayar Toyo Proxes bersaiz 205/45/16. Ia memang membantu memberi cengkaman yang baik dan membuatkan jentera ini nampak lebih gagah.

Dari segi modifikasi luaran, hanya satu barang ditukar iaitu bonet depan. Bonet depan dengan skup udara ini ialah daripada model edisi terhad Celica ST185 Carlos Sainz yang datang siap dengan nombor sirinya sekali.

Untuk ruang kabin, kebanyakan barang masih standard kecuali stereng sport buatan Nardi itu. Sebuah meter RSM A’PEXi dipasang.

Mungkin peminat kereta di luar sana boleh beri perhatian pada model ini sebab harganya tak mahal mana pun dan bentuknya masih lawa. Setakat nak bawa ngorat awek tu boleh lagi laa…

BACA – KISAH CELICA BARU 1979 YANG DITEMUI DI CYPRUS

BACA – TOYOTA CELICA ST205 YANG LEJEN

Google ads
Back to top button