Modifikasi

TOYOTA COROLLA 4 THROTTLE SLEEPER

Dalam dunia modifikasi kereta, ada macam-macam jenis gaya orang kita buat. Ada yang buat semata-mata nak kuasa, ada gaya luarannya hebat, tapi isi dalam takda apa-apa. Malah ramai juga yang jadikan kereta mereka sebagai disko bergerak.

Jujur, saya cukup minat kepada projek kereta jenis “sleeper”, kereta yang nampak standard di luar, tapi isinya cukup power. Mereka tidak sukakan perhatian, hanya mahu keseronokan mengubah suai kenderaan. Kadang-kala, kita tak perlu menguar-uarkan kehebatan kereta kepada orang lain.

Toyota-Corolla-4-throtle-modified-mekanika (15)

Falsafah modifikasi itu dipegang oleh Azrul Nizam dari Negeri Sembilan yang memiliki sebuah Toyota Corolla SEG. Masa sampai di lokasi fotografi, tertanya-tanya betul ke kereta ni? Memang dah rendah sikit dan masuk rim lain. Tapi yang lain nampak macam milik pakcik pencen untuk ke surau. Standard habis.

Tanggapan itu jauh meleset sebaik sahaja Azrul membuka ruang enjinnya. Terkesima kejap. Cantik dan ganas. Dia menggunakan enjin 4AGE 4 Throttle daripada model “black top”, enjin yang biasa untuk modifikasi kereta model ni.

Toyota-Corolla-4-throtle-modified-mekanika (13)

Kalau anda ingat modifikasi enjin ini berakhir dengan menyalin masuk half-cut, memang silap. Kalau nak tau, enjin ini dibaraikan untuk dibina semula dengan pelbagai aksesori aftermarket.

Blok enjin menerima set omboh oversized 82mm daripada Wiseco bersama bearing utama ACL. Kepala silinder pula dibuat kerja-kerja port dan polish. Aci sesondol asal diganti dengan aci sesondol jenis perlumbaan 304° Kelford. Untuk menala timing aci sesondol, Azrul menggantikan cam pulley kaku asal dengan cam pulley jenis boleh laras. Kepala silinder dan blok ditemukan semula dan diikat kemas menggunakan nat  ARP.

Toyota-Corolla-4-throtle-modified-mekanika (2)

Tali sawat enjin dinaik taraf kepada tali sawat Power Belt yang dibina daripada Kevlar tahan lasak. Radiator pula ditukar kepada jenis aluminium. Kelebihan enjin ini terletak pada sistem induksinya. Sebab tak banyak enjin keluaran kilang yang menggunakan sistem throttle body jenis individu, apatah lagi untuk enjin sekecil ni.

Throttle body individu asal dikekalkan, tetapi setiap mulutnya menerima suapan udara melalui velocity stack keluli tahan karat saluran terus tanpa dihalang oleh sebarang penapis udara.

Toyota-Corolla-4-throtle-modified-mekanika (8)

Bunyi yang dihasilkan dari enjin sememangnya hampir-hampir menyerupai sebuah jentera lumba. Ia dikuatkan lagi melalui sistem ekzos custom yang bermula daripada manifold ekzos 4-1 (custom) yang menyalurkan gas ekzos kepada paip saluran terus 2.5 inci tanpa sebarang peredam bunyi!

Enjin yang mampu meligat pantas ini dipadankan dengan kotak gear manual 6 kelajuan. Ia disempurnakan dengan kit quickshift custom dan set klac perlumbaan dari Exedy. Tak lupa, kotak gear didatangkan bersama sistem LSD mekanikal standard, membuatkan pemanduan pada jalan berliku lebih menyeronokkan.

Toyota-Corolla-4-throtle-modified-mekanika (9)

Sistem pengendalian semestinya perlu dinaik taraf. Jadi, Azrul menggantikan semua penyerap hentak dan pegas gegelung asal dengan penyerap hentak boleh laras sepenuhnya buatan BC.

Corolla ini dilengkapi sistem brek OEM Corolla Levin BZR yang boleh dipasang kepada casis dengan mudah. Kereta ini menggunakan dua jenis rim berbeza. Di hadapan, rim Volk Racing TE37 15 inci dan rim Regamaster Evo di belakang.

Toyota-Corolla-4-throtle-modified-mekanika (7)

Bahagian luar nampak standard sahaja. Tetapi ruang dalaman dapat banyak barang yang best. Sebagai contoh, tempat duduk depan Levin BZR dan stereng OMP yang dibalut suede berwarna merah.

Kelihatan meter tekanan pelincir NRG dan meter RSM digital A’PEXi yang bertindak membuang speed cut asal ECU. Yang lain? Semua masih standard, termasuk kulit pintunya.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button