Modifikasi

TOYOTA COROLLA LIFTBACK EE80

Saya selalu merungut apabila melihat pasaran kereta tempatan sekarang.  Model kereta yang dijual hanya memikirkan tentang apa yang majoriti pembeli sesebuah negara itu mahu, bukan kepada apa yang semua orang mahu. 

Toyota-Corolla-Liftback-EE80-mekanika (8)

Nak kira majoriti, 51 peratus pun majoriti jugak kan? Jadi macam mana pula dengan baki 49 peratus tu? Dengan pilihan kereta yang agak terhad dan harga kereta yang mahal, maka golongon minoriti tersebut terpaksa membeli kereta yang kononnya diminati oleh majoriti rakyat Malaysia.

Kalau anda perasan, pembuat kereta terakhir di Malaysia yang berani menjual kereta mereka dengan pelbagai pilihan badan ialah Proton. Ya. Kalau anda masih ingat, melalui chasis Wira, Proton dengan berani memberi pelbagai pilihan badan kereta kepada orang ramai.

Toyota-Corolla-Liftback-EE80-mekanika (2)

Bukan semua orang nak beli kereta sedan. Ada yang mahukan hatchback tiga pintu yang sporty seperti Satria. Ada yang mahukan bentuk badan coupe yang menawan seperti Putra. Ada jugak golongan peniaga yang mahukan pikap kos rendah seperti Arena dan ada pula ahli keluarga yang hendakkan kereta penumpang sporty seperti Wira Aeroback. Lihat, pada satu model ni saja, pelbagai jenis citarasa manusia dapat dipuaskan.

Tapi kini, malangnya semua ini dah tinggal sejarah. Nak beli kereta Toyota? Boleh. Ada Vios, Corolla dan Camry. Semuanya sedan sebab kononnya majoriti rakyat Malaysia mahukan kereta sedan.

Toyota-Corolla-Liftback-EE80-mekanika (7)

Mana model liftback, coupe, wagon atau hatchback? Kalau satu masa dulu rakyat Malaysia boleh pergi ke pusat pengedar Toyota dan memesan kereta seumpama itu, sekarang anda akan pulang hampa.

Mungkin sebab itu populariti kereta-kereta klasik atau old skool sedang memuncak sekarang. Pembeli muda dah bosan disogokkan dengan kereta yang rupanya sama dan tiada jiwa. Mendapatkan model yang rare macam kereta Corolla ini lebih manis sebab ia kelihatan lebih individual dan tidak terikat dengan norma masyarakat.

Toyota-Corolla-Liftback-EE80-mekanika (11)

Corolla Liftback EE80 keluaran tahun 1984 ni ialah versi liftback untuk model Corolla LE AE80 yang cukup popular pada zamannya. Model ini disasarkan kepada golongan muda yang berkeluarga tetapi masih mahukan kereta sporty.

Apa yang paling penting, ruang penyimpanan barang yang besar untuk meletak segala barang-barang bayi seperti lampin dan stroller. Selain mudah diakses dari dalam kabin. Dijual dalam dua versi, iaitu versi 1.3 dengan enjin 2A dan versi 1.6 berenjin 4A, kereta ini berjaya memenuhi pasaran niche tersebut.

Toyota-Corolla-Liftback-EE80-mekanika (4)

Kereta ini memang jarang untuk ditemui, apatah lagi diubah suai macam ini. Pemiliknya, Fikri Danial amat bertuah memiliki model yang saya dulu pun pernah guna sebelum dijual kepada abang ipar. Kalau tak silap, kereta Fikri ini milik ayahnya yang dibawa balik dari luar negara.

Memandangkan kereta Corolla era 1980-an ini boleh diubah suai dengan enjin Corolla tahun 199-an, jadi tak jadi satu masalah besar untuk mencari pengganti enjin asal 2A 1.3 liter.

Toyota-Corolla-Liftback-EE80-mekanika (14)

Akhirnya, enjin daripada model Levin AE101 menjadi pilihan. Enjin 4AGE black top 4 throttle ini masuk ke dalam ruang enjin Corolla klasik ini dengan agak mudah. Semua aksesori lain seperti stereng kuasa dan brek boleh disalin terus tanpa ubah suai yang besar.

Enjin 4AGE yang baru dimasukkan itu diubah suai menggunakan velocity stack custom pada setiap throttle body tanpa sebarang penapis udara. Kabel-kabel plug juga sudah diganti dengan kabel Ultra. Semua pendawaian enjin telah disorok hampir sepenuhnya.

Toyota-Corolla-Liftback-EE80-mekanika (19)

Penyampaian bahan api daripada tangki ke enjin menjadi tanggungjawab pam bahan api OEM enjin 2JZ dan dikawal alirannya oleh pelaras bahan api SARD. Enjin ini juga mendapat khidmat sistem ekzos lengkap yang bermula dari manifold tag JASMA 4-2-1 yang bersambung dengan paip tengah custom 2.5 inci, sebelum berakhir dengan peredam bunyi FGK Power Getter.

Kuasa enjin dialihkan ke roda melalui kotak gear manual lima kelajuan standard AE101 yang hadir dengan LSD jenis mekanikal. Ia kemudian diperkukuhkan dengan klac perlumbaan Exedy.

Toyota-Corolla-Liftback-EE80-mekanika (10)

Fikri menggunakan tayar-tayar Toyo Proxes T1R bersaiz 195/50/15 yang membalut rim Volk Racing TE37. Memandangkan memang susah nak cari sistem gantungan yang sesuai untuk chasis klasik ini, Fikri telah menempah satu set penyerap hentak boleh laras custom buatan Titan. Selain menambah anti-roll bar daripada Ultra Racing.

Keupayaan membrek pulak dipertingkatkan dengan brek cakera asli Levin AE101 di depan dan brek cakera Levin AE92 di belakang. Semua brek berkenaan diangkup oleh pelapik brek Bendix Metal King.

BACA – TOYOTA LEVIN AE92 COUPE

BACA – KE70, ENJIN DIA…PERGHHH!

Dari segi estetik, Fikri memasukkan panel depan Corolla Sprinter AE81 yang plug and play untuk model Corolla macam ini. Bonet depannya pula dihiasi dengan skup udara Levin AE92 Supercharger. Manakala skirting sisinya pun datang dari model Levin yang sama.

Agak unik ialah gugusan lampu belakangnya yang sedikit berbeza berbanding dengan lampu belakang model yang dijual di Malaysia. Mungkin ini ialah gugusan lampu OEM untuk Corolla spec UK.

Toyota-Corolla-Liftback-EE80-mekanika (21)

Pada bahagian dalam, papan pemuka asal diganti dengan papan pemuka Levin AE82 GT yang boleh dikenali dengan gugusan meter berwarna oren. Stereng guna stereng sports buatan Personal Tom’s.

Tempat duduk pemandu ialah jenis separa bucket jenama OMP. Manakala pelapik pedal Momo Corse menghiasi bahagian pedal kaki original kereta ini. Satu-satunya aksesori elektronik yang digunakan ialah turbo timer buatan HKS.

Toyota-Corolla-Liftback-EE80-mekanika (27)

Berdasarkan iklim penjualan kereta yang terkini di Malaysia, agak mustahil pengeluar kereta akan membawa masuk pilihan badan yang pelbagai seperti apa yang dilakukan 20 atau 30 tahun yang lalu. Sememangnya saya rindu zaman dulu-dulu.
[hr]GALERI 
Toyota-Corolla-Liftback-EE80-mekanika (1)Toyota-Corolla-Liftback-EE80-mekanika (9)Toyota-Corolla-Liftback-EE80-mekanika (12)Toyota-Corolla-Liftback-EE80-mekanika (15)Toyota-Corolla-Liftback-EE80-mekanika (20)Toyota-Corolla-Liftback-EE80-mekanika (23)

 

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button