Modifikasi

COROLLA SEG AE111 BLACKTOP – 4AG RULEZ!

Sehingga sekarang, Corolla keluaran tahun 1980-an dan 1990-an tetap menjadi pujaan warga Malaysia. Biarpun model-model ini sudah lama diganti dengan Corolla yang jauh lebih canggih. 

toyota-SEG-mekanika (5)

Saya tak salahkan mereka. Antara sebab utamanya terletak pada enjin 4AGE yang ditamatkan pengeluarannya apabila model Levin/Trueno AE111 tidak lagi diproduksi pada penghujung tahun 1990-an. Enjin tersebut boleh digunakan pada model-model Corolla bermula dari versi KE20 hinggalah ke SEG AE111 seperti ini.

Pemiliknya, Hafizi ialah seorang tauke telefon bimbit dari Johor, seorang usahawan bumiputera yang boleh tahan gila kereta. Corolla SEG model AE111 boleh disumbat dengan enjin 4AGE tanpa masalah dan senang-senang boleh kitai Corolla Altis yang harganya mencecah enam angka.

toyota-SEG-mekanika (15)

Enjin yang dimasukkan ialah daripada half-cut Sprinter GT dengan kepala silinder Blacktop 20 injap. Kepala silinder itu pula dimasukkan dengan aci sesondol Toda 264° lengkap dengan spring injap berjenama sama.

Untuk penyalarasan aci sesondol, Hafizi menggunakan cam pulley boleh laras daripada Toda untuk bahagian kemasukan dan Work bagi ekzos. Manakala kepala silinder dilakukan kerja-kerja port dan polish.

BACA – COROLLA AE100 4 THROTTLE

BACA – LE BLACKTOP 20 VALVE

Bahagian blok enjin, piston dan conrod diganti dengan barang daripada enjin Silvertop. Sementara bearing utamanya diganti dengan bearing ACL. Untuk menyedut udara masuk ke enjin, Hafizi memasang “trumpet” daripada Imec kepada keempat-empat throttle body asal enjin ni.

Tetapi, trumpet ini masih menggunakan penutup asal. Satu benda baru yang saya baru tengok ialah intake chamber ARC Magic Box. Di hujung intake chamber itu ada sebuah penapis udara HKS Super Power Flow.

toyota-SEG-mekanika (4)

Sistem penghidup enjin pun sudah dinaik taraf dengan menggunakan ignition coil dari MSD. Menyemarakkan api di dalam kebuk pembakaran ialah set palam pencucuh Blitz dan kabel Splitfire. Sistem penyejukan enjin dibantu oleh pelincir Trust. Sebuah oil catch tank daripada Cusco juga dipasang.

Enjin yang dipasang dengan pelbagai barang prestasi ini diselaras oleh komputer ECU buatan Mines. Sistem ekzos diganti aksesori baharu dengan manifold jenis 4-2-1 HKS. Ia disambung dengan sistem ekzos lengkap HKS Silent Power yang semangnya direka untuk model AE111.

toyota-SEG-mekanika (9)

Nak layan enjin NA yang mampu rev dengan tinggi, kotak gear yang best amat diperlukan. Kotak gear manual lima kelajuan standard yang hadir dengan half-cut ialah teman yang terbaik untuk enjin ini. Kotak gear dengan sistem LSD itu diringankan flywheelnya. Klac asal diganti dengan klac tiga kaki daripada TRD. Hos bendalir klac diganti dengan hos jenis braided steel jenama Earl. Tuil gear pula diganti dengan tuil jenis quickshift TRD.

toyota-SEG-mekanika (8)

Agak pelik apabila Hafizi layan rim 14 inci sahaja untuk kereta ini. Rim Sprint Hart CPR mempunyai offset 20. Ia nampak cukup lebar walaupun diameternya kecil. Tayar Bridgestone Playz itu bersaiz 195/60/14 – memang saiz tayar yang cukup pelik.

Bagi menaik taraf pengendalian Corolla ini, Hafizi menggantikan semua penyerap hentak asal dengan penyerap hentak boleh laras Tein. Ia diperkuatkan dengan strut bar dan anti-roll bar depan TRD. Sebuah underbrace 4 titik Cusco juga dipasang di bahagian depan bersama sebuah anti-roll bar belakang daripada Ultra Racing.

toyota-SEG-mekanika (6)

Sistem brek dinaik taraf sepenuhnya dengan sistem brek dwi piston daripada Levin di bahagian depan. Brek cakera standard di belakang bagaimanapun dikekalkan. Kesemua pelapik brek diganti dengan pelapik brek Wedsport dan sebuah brake stopper Cusco turut dipasang. Hos bendalir brek pula diganti dengan hos Tom’s yang diperbuat dari hos jenis braided steel yang membuatkan brek terasa lebih keras apabila pedal brek ditekan.

Walaupun dari segi rupa, Corolla SEG sama menariknya seperti sekeping biskut Marie, tak jadi masalah. Sebab kereta ini boleh disolek kalau pandai padankan barang.

toyota-SEG-mekanika (2)

Hafizi memadankan bampar depan OEM Toyota Sprinter GT bersama skirting sisi dan lips bampar depan. Bonet depan pula diganti dengan bonet gentian karbon kevlar. Di bahagian bonet belakang, sebuah spoiler TRD yang dihasilkan untuk Levin AE111 dipadankan. Agak over sikit dari segi rupa. Namun nilai “rarity” barang ini membuatkan saya memaafkan Hafizi kerana memasangnya.

Memandangkan Sprinter GT merupakan model 4 pintu yang sama dengan Corolla SEG, papan pemukanya lebih mudah untuk disalin. Selain tidak kekok dari segi ketinggian dan capaiannya.

toyota-SEG-mekanika (11)

Di tiang A kelihatan gugusan meter tambahan daripada Omori yang memberi bacaan tekanan pelincir, suhu pelincir dan suhu air. Untuk pemandu, tempat duduk Recaro menjadi pilihan. Bagi orang lain di dalam kereta, mereka kena duduk atas tempat duduk Sprinter GT.

Sebuah turbo timer Blitz dan meter RSM Pivot dipasang di depan paparan meter utama. Pelengkap ubah suai dalaman ialah sebuah tombol gear daripada Razo.

toyota-SEG-mekanika (13)

Aku rasa musim main Corolla “lama” macam ni tak akan surut dalam tempoh terdekat kerana ia sudah makin murah. Harga half-cut pun tak mahal sangat kalau banding dengan half-cut Honda atau Mitsubishi. Memang boleh sangatlah untuk orang-orang bajet sederhana nak main…

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button