TOYOTA HARRIER DOMINATIONS

SHARE

Kerana suka, kita sanggup buat apa saja dan ketepikan keutamaan lain. Suka adalah berkaitan dengan nafsu dan selalunya melibatkan duit.

Toyota-Harrier-Dominations-mekanika (2)

Orang boleh berhabisan berpuluh ribu dengan hobi membeli peralatan kamera. Ada yang sanggup merentas benua nak kumpul duit syiling eksotik dan mungkin ada yang jual tanah kerana nak beli kereta mewah?

Kereta mewah dianggap lengkap dengan serba serbi. Tetapi jika semua kereta telah lengkap dari kilang, tidaklah wujud aksesori untuk mereka. Justeru, nama seperti Novitec Rosso, Kahn, Gemballa tidak akan wujud.

Toyota-Harrier-Dominations-mekanika (3)

Ironi di sebalik kereta mewah ini adalah keperluan kepada pelanggan yang mahukan sesuatu yang berbeza dan lebih berkualiti daripada barisan pengeluaran kilang. Hatta untuk Porsche dan Ferrari sekalipun.

Toyota Harrier bukanlah SUV yang semewah Porsche Cayenne. Namun, ia masih sebuah SUV yang dianggap premium dalam kategorinya. Kalau tidak takkanlah harganya sama dengan sebuah kondominium.

Toyota-Harrier-Dominations-mekanika (4)

Jadi yang membelinya mestilah dari jenis yang betul-betul mampu. Bila dah mampu tentu sahaja ada kemampuan tambahan untuk menambah baik apabila perlu. Keperluan inilah yang kita sebut nafsu tadi.

Sistem audio untuk kereta ini tidaklah teruk sangat apabila ia keluar dari kilang Toyota di Jepun. Tetapi peningkatan kualiti yang lebih baik menjadi sasaran bagi ramai pihak yang cuba menterjemahkan minat mereka terhadap sistem audio. Justeru, Harrier hitam ini telah menerima peningkatan sistem audio secara menyeluruh.

Toyota-Harrier-Dominations-mekanika (19)

Bermula dengan pemain Alpine 117, bekas juara pusingan kedua pertandingan audio EMMA bagi  kelas Master 7 Channel Sound Only ini telah menerima penambahan besar menerusi peralatan Dominations.

Pemain Alpine dipasangkan dalam bekas khas yang dibina pada perumah tengah untuk mengelakkan sebarang perubahan pada konsol audio asal. Dari sini, ia disambungkan dengan pemproses Alpine H800 yang bertanggungjawab menjadi penala tunggal kepada keseluruhan sistem.

Toyota-Harrier-Dominations-mekanika (8)

Pemilihan peralatan seterusnya melibatkan 3 buah power amplifire bagi menyokong sistem bunyi 3 hala yang dicadangkan. Set pertama ialah amp Dominations RS4300 berkuasa 50watt RMS untuk setiap 4 salurannya.

Penggunaan saluran ini dihubungkan kepada sepasang tweeter Dominations RS62 dan sepasang midbass Dominations D53Neo. Ia bukanlah sekadar pemasangan biasa yang dibuat di kedai cap ayam. Perumah yang digunakan untuk menyimpan speaker ini sangat kemas sehinggakan saya ingat ia buatan kilang.

Toyota-Harrier-Dominations-mekanika (11)

Kedua-dua pemegang pillar A ini ditebat secukupnya bagi mendapatkan komposisi bunyi yang tepat dan berupaya menghasilkan kejelasan bunyi dinamik.

Melengkapi sistem bunyi tiga hala tersebut ialah sepasang midbass Dominations RS62 6 inci yang dilekapkan pada panel pintu asal Harrier ini. Biarpun tahap NVH asal Harrier boleh dipuji, penebatan tambahan ternyata tidak dapat dielakkan.

Toyota-Harrier-Dominations-mekanika (13)

Bagi mendapatkan kejituan bunyi sebenar, perumah bagi panel speaker ini telah dibuat semula hampir 90% dari kedudukan asal. Kemudian, ia disambungkan dengan sebuah amp berkeupayaan tinggi daripada model RS4300 yang sama.

Proses menyempurnakan sistem bunyi kereta ini diteruskan dengan pemasangan sebuah sub woofer 12 inci Dominations 12ZB. Dipasang di atas lantai but belakang, penghalaan kon ke atas memberikan kedapan bunyi yang positif.

Toyota-Harrier-Dominations-mekanika (12)

Sudah tentu ia perlukan amp yang cukup berkuasa dan stabil dan amp Dominations RS500D adalah jawapannya. Amp kelas D berkuasa 500watt saluran tunggal ini dipasangkan bersama 2 unit amp 4300 tadi di atas lantai belakang. Dengan sedikit sentuhan kreatif daripada bahan arkrilik dan penggunan lampu LED, ruang but belakang SUV ini kelihatan cukup sempurna.

Toyota-Harrier-Dominations-mekanika (6)

Berbalik kepada isu nafsu tadi, ia memerlukan akal yang waras. Natijah akhir daripada kesedaran nafsu boleh jadi negatif kalau tidak dikawal dengan fikiran rasional. Jangan sampai berhutang sana-sini sebab nak nampak hebat dan jadi juara. Biar belanja dengan kemampuan sendiri dan yang penting sendiri hepi!

(Visited 436 times, 11 visits today)

Share this post

scroll to top