TOYOTA HILUX SINGLE CAB – YANG INI PUN BOLEH JUGA JADI LAJU (DAN CANTIK)

SHARE

Pengaruh trak pikap kat Malaysia sememangnya cukup memberangsangkan. Kalau dulu, trak macam ni hanya digunakan oleh kontraktor atau kenderaan membawa pekerja kini dah naik darjat menjadi kenderaan kegunaan mereka yang mahukan gaya macho.

Ya. Kegilaan trak pikap sebenarnya bermula di negara koboi, iaitu Amerika Syarikat di mana kini kenderaan yang paling laris penjualannya di sana bukanlah sebuah kereta saloon, tetapi sebuah trak pikap.

Minat orang Amerika dengan trak telah bersemi sejak zaman 30’an lagi di mana kenderaan ini sering digunakan oleh mereka yang bekerja di ladang-ladang yang kebanyakannya bertempat di bahagian tengah dan selatan negara.

BACA: TOYOTA HILUX TONKA DARI AUSTRALIA

Kegilaan sebenar bermula pada era 50’an apabila askar-askar yang baru pulang daripada berjuang pada Perang Dunia Kedua mula mengubahsuai trak pikap ayah mereka dengan gaya terkini ketika itu, iaitu gaya hot rod. Di sinilah bermulanya pikap sebelum ni hanyalah salah-satu daripada alat bekerja di ladang menjadi sesuatu yang digilai ramai.

Agak malang harga cukai jalan di Malaysia ni terlalu tinggi, jadi orang kita terpaksa melupakan hasrat memiliki trak pikap yang dijanakan dengan enjin V8 yang besar. Tapi nasib baiklah jiran kita di utara, iaitu Thailand yang gilakan trak pikap jauh lagi awal dari kita.

Memandangkan Thailand rata-rata menggunakan trak pikap yang sama dengan apa yang dijual di Malaysia, kini negara Gajah Putih menjadi tempat rujukan peminat ubahsuai trak dari Malaysia.

Oleh kerana enjin V8 tak mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia sebab cukai jalannya yang melampau tinggi, enjin turbo diesel menjadi enjin utama untuk hampir kesemua trak yang dijual di Malaysia.

Walaupun menggunakan diesel, perkataan terpenting dalam dunia modifikasi kenderaan masih wujud di trak ni, iaitu turbo. Dengan adanya siput sedut ni di dalam enjin, maknanya enjin ni sesuai diubahsuai untuk mendapat kuasa yang tinggi.

Anda mungkin dah biasa tengok orang ubahsuai Toyota Hilux Dual Cab, tapi pernah tengok orang bersusah-payah nak ubahsuai Toyota Hilux Single Cab? Sebenarnya kat Malaysia sahaja nampak pelik tetapi kalau di Thailand, model Single Cab ni memang suka diubahsuai. Berkongsi enjin yang sama dengan model Double Cab, enjin 2.5 liter D4-D ni cukup mudah diubahsuai bagi mendapatkan kuasa.

Enjin Hilux ni diubahsuai dengan menggantikan set intercooler asal dengan intercooler jenis front mount dari HKS. Intercooler ni disambung dengan turbo standard menggunakan paip buatan custom yang dibina daripada keluli tahan karat.

Sistem ekzos asal Hilux ni pun diganti sepenuhnya dengan set ekzos buatan custom yang diakhiri dengan peredam bunyi dari HKS Hi Power yang menghasilkan bunyi yang cukup garang (senang cerita macam bunyi enjin kereta kebal).

Enjin turbo diesel moden kesemuanya dikawal oleh ECU yang moden, tak macam zaman dulu yang segala-galanya dikawal secara mekanikal. Dengan wujudnya ECU, maknanya enjin diesel pun boleh ditala pemetaan enjinnya bagi menghasilkan lebih kuasa. Hilux ni dipasang dengan cip prestasi Tahap 2 (Stage 2) dari Unichip yang meningkatkan kuasa enjin dan paling utama untuk enjin diesel, meningkatkan daya kilas enjin semaksima yang mungkin.

Kuasa dan daya kilas dari enjin diesel ni dihantar ke roda melalui kotak gear manual pacuan empat roda yang datang standard dengan trak ni. Walaupun trak ini menggunakan sistem pacuan empat roda yang direka untuk menempuh kawasan hutan belantara ataupun tapak pembinaan yang berlumpur, kami yakin yang trak ni tak akan menjejakkan rodanya ke kawasan macam ni lagi.

Manakan tidak, tayar “all terrain” asalnya telah diganti dengan tayar “street use” dari Fullway yang bersaiz 265/50/20. Tayar sebesar ni membalut rim aloi Volk Racing CE28 20×9.5 kat depan dan 20×10.5 kat belakang.

Sistem gantungan asal Hilux ni tak banyak diusik, kesemua penyerap hentak dan pegas dia masih asal cuma kat bahagian belakang, Hilux ni menggunakan “space arm” dan “double shackle” dari Apache untuk menstabilkan bahagian belakang yang cukup mudah berbuai ketika trak dipandu laju.

Trak utilitarian ni diperkemaskan wajahnya dengan menggunakan panel depan Toyota Fortuner TRD yang sememangnya berkongsi kerangka dengan trak ni. Ubahsuai lain melibatkan bonet depan asal yang diganti dengan bonet gentian karbon dari Monza bersama-sama spoiler kecil pada bahagian belakang cab yang jugak dibuat oleh Monza. Arca roda belakang disalin dari model Hilux Double Cab dan sepasang side step dipasang untuk memudahkan pemandu dan penumpangnya menaiki trak ini.

Di bahagian dalam, sepasang tempat duduk bucket SSCUS digunakan dan tiga buah meter Works yang memberi bacaan suhu ekzos, suhu air dan suhu pelincir ditampal di bahagian atas cermin pemandu. Untuk bacaan boost, sebuah meter Auto Meter asli digunakan yang diletak berhampiran tiang-A kenderaan.

Walaupun tak sesuai digunakan untuk membawa kaum keluarga, trak “single cab” ni memberikan ruang yang cukup luas untuk membawa barang kat ruang kargo di belakangnya. Mana ada kereta sports 2 tempat duduk yang boleh buat macam ni kan?

BACA: LIHAT KERETA KAWALAN JAUH MENARIK SEBUAH HILUX!

GALERI

(Visited 1,838 times, 32 visits today)

Share this post

scroll to top