Modifikasi

SI KEMBAR SUPRA – TOYOTA SOARER Z10 TURBO

Lama sebelum Supra dihasilkan, Toyota memiliki rangkaian produk kereta sport yang banyak. Pada zaman itu, Toyota Soarer boleh dikatakan sebagai cukup canggih dengan teknologi yang kalau dilihat sekarang pun, kita akan kagum. Pernah tengok panel pendingin hawa jenis skrin sentuh? Kereta ini memilikinya. 

Walaupun kereta yang direbiu kali ini tidak menggunakan pendingin hawa  sebegitu, tetapi percayalah, teknologi tersebut wujud pada model Soarer sebagai pilihan daripada kilang.

Soarer ini pada asalnya menggunakan enjin 1G-EU 6 silinder 2,000cc dengan sistem suntikan bahan api elektronik, satu lagi inovasi teknologi yang memang orang Malaysia ketika itu tidak pernah tengok.

_MG_6427

Hendak tahu betapa canggihnya kereta ini, bayangkan ia sezaman dengan Corolla KE70! Namun, selepas masuk abad ke 21 enjin tadi pun sudah menjadi tidak secanggih mana. Jadi, pemiliknya menggantikannya dengan enjin 1JZ-GTE. Dalam dalam kata lain, enjin Supra JZA-70.

Enjin 1JZ-GTE, biarpun sekarang dibayangi oleh enjin 2JZ-GTE yang digunakan oleh Supra JZA-80 dan Soarer Z30, ia boleh jadi sangat berkuasa jika diubahsuai dengan betul. Pemiliknya meningkatkan keupayaan enjin itu dengan padanan sebuah intercooler muatan hadapan Trust dan wastegate jenis luaran 40mm daripada Turbosmart.

Tidak lengkap sebuah enjin turbo jika tidak dipasangkan dengan unit blow-off. Maka,  satu unit blow-off daripada HKS digunakan. Sistem penghantaran bahan api pun dinaik taraf menerusi aplikasi satu pam bahan api jenama Bosch dan penyelaras bahan api daripada FSE.

_MG_6411

Enjin baru itu turun mendapat ‘otak’ yang baru iaitu MicroTech LTX12S.  MicroTech LTX12S merupakan unit ECU yang boleh diprogram sepenuhnya buatan Australia. Dengan enjin bersesaran 2,500cc dan turbo gergasi, sistem ekzos pun turut dipertingkatkan. Modifikasinya mudah, paip tengah jenis aliran terus bersaiz tiga inci dan sebuah peredam bunyi Trial dengan diameter paling besar digunakan.

Bagi kotak gear, Soarer menggunakan transmisi manual standard enjin 1J-GTE bersama klac perlumbaan daripada Exedy. Walaupun begitu, ada satu perkara lagi yang sebenarnya ramai orang lupa ialah gandar belakang.

Baiklah, untuk kereta dengan pacuan roda belakang atau FR (front engine rear wheel drive), kuasa daripada  enjin disalurkan kepada gandar belakang untuk memusingkan roda.

_MG_6444

Secara jujurnya, gandar standard sebenarnya tidak mampu menampung bebanan kuasa yang lebih. Nisbahnya juga tidak sesuai dengan kuasa daripada enjin baru. Atas alasan itu, pemiliknya telah mengubahsuai sebuah gandar yang diambil daripada trak pikap Toyota Hilux dan dipadankan pada Soarer itu.  Ternyata gandar yang direka untuk kegunaan off-road itu mampu menerima asakan kuasa daripada enjin tanpa sebarang masalah.

Untuk sebuah kereta klasik, saya memang cukup tidak berkenan dengan segelintir individu yang memasang bodykit mengarut. Sebabnya mudah, kereta lama harus dikekalkan gaya lamanya.

Sama seperti Chip Foose yang mengubahsuai kereta muscle. Pernah beliau pasang bodykit gentian pada kereta yang dibinanya? Pemilik Toyota Soarer Z10 Turbo ini bertindak bijak dengan membiarkan reka bentuk klasik Soarer kekal seperti apa yang dimahukan oleh pereka asalnya.

Ubahsuai yang membezakannya sedikit daripada Soarer yang lain ialah rim sport VR 17 inci dengan tayar-tayar Kumho bersaiz 235/45 pada roda hadapan dan 255/40 di belakang.

BACA: GRAND TOURING TOYOTA SOARER JDM

BACA: SPYSHOT-TOYOTA SUPRA BARU SEDANG DIUJI

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button