TOYOTA STARLET OTAI

SHARE

Jika dibandingkan dengan kereta-kereta otai tahun 1980-an, saya rasa tinggal Toyota Starlet sahaja yang masih gah di atas jalan raya bersama kelab mereka.  

Nak tengok kereta-kereta sub kompak lama macam Suzuki Swift, Nissan March dan Aura sekarang dah makin pupus. Bengkel Allan Dream Machine dan C&C pun dah tak semeriah macam 10 tahun lepas. Kalau anda perasan, trend kereta otai lebih tertumpu pada koleksi kereta oldschool FR.

Mungkin sudah jadi fenomena apabila kereta lama mesti FR. FF dianggap moden dan baru. Padahal kalau di Amerika Syarikat, Honda Civic turbo itu kemain lagi meletop harganya sekarang.

Baiklah. Apabila berbicara tentang Malaysia, pilihan kereta tidak banyak. Kereta lama itu sendiri pun senarainya terdiri daripada jenama Jepun sahaja. Nak cari Alfa Romeo? Renault? Baik lupakan.

Saya pun tak pasti kenapa makin ramai yang sudah berubah. Masa mula-mula dulu, mungkin ada beratus-ratus kereta macam ini. Sekarang macam BR1M, jarang-jarang ada. Pencarian berterusan menemukan kami dengan model ini di Sungai Buloh, Selangor.

Pemiliknya ialah Amir. Kereta ini dibuat sendiri dari awal sampailah bertukar bermacam-macam stail. Guna pun dah lama. Katanya, memang sampai mati simpan sebab kalau jual pun berapa sangatlah dapat. Tak berbaloi langsung. Lagi baik parking depan rumah gosok hari-hari.

Sejak azali lagi, kereta ini sudah bertemu dengan jodoh enjin 4EFTE. Dari segi enjin, saya yakin tak ada masalah sebab Glanza EP90 masih lagi boleh dapat half-cut nya. Compatibality enjin ini memudahkan kerja pembaikan dan naik taraf.

Enjin ini diubah suai sedikit dengan pemasangan piston daripada 1G-GTE. Ia  membolehkan kapasiti enjin dinaikkan sedikit. Selain dorongan daripada turbin CT9 yang juga lebih besar daripada versi asal 4E ini.

Kuasa besar itu pula ditingkatkan dengan boost 1 bar. Akhir sekali, sistem ekzos diperbaharui dengan paip saluran terus ke tepi kereta. Tak payah pakai muffler, buang duit sahaja.

Untuk meyakinkan keupayaan enjin supaya seimbang, Amir menukar keempat-empat adjustable Kayaba dan sistem brek daripada Starlet GT. Aktiviti launching di atas jalan dikendalikan oleh kotak gear manual lima kelajuan yang dilengkapi pelapik klac perlumbaan Exedy.

Toyota Starlet ni antara kereta yang dah lama dalam arena modifikasi. Saya rasa bermacam-macam jenis stail orang pernah buat. Apa yang pasti, kit badan asal GT masih dianggappengubahsuaian  standard yang diterima ramai. Agak kontras dengan badan merah kereta ni ialah rim hyper green fluorescent BBS 15 inci yang kemudiannya dibalut dengan tayar Yokohama 195/50r15.

Bahagian dalaman didahului dengan papan pemuka Starlet GT. Kerusi depan pula ada dua jenis. Untuk pemandu ialah Bride Lowmax, penumpang sebelah dan belakang guna tempat duduk Starlet GT. Walaupun ada sentuhan racing, Amir tak lupa memasangkan sistem audio ringkas yang terdiri daripada pemain Sony Explode dan pembesar suara Pioneer.

Mungkin ramai yang tanya apa seronoknya main kereta begini. Baiklah. Kereta macam ini memang tak seronok mana kalau anda seorang pemandu Perodua Alza. Kita bukan cakap tentang teknologi, tapi kita berbicara tentang individualistik.

GALERI

 

 

Share this post

scroll to top