ModifikasiMotosikal

TRIKE OJO DUMEH – HADIAH ISTIMEWA UNTUK PENGUNJUNG BERTUAH KUSTOMFEST 2017

Acara Kustomfest kini sedang berlangsung di Jogjakarta, Indonesia selama dua hari dan menghimpunkan pelbagai motosikal kustom daripada pelbagai aliran baik cafe racer, scrambler, chopper old school malahan termasuk juga hot rod. Sama seperti bike week juga, Kustomfest diakhiri dengan cabutan bertuah untuk para pengunjung.

Khas untuk Kustomfest 2017 – No Boundaries, pihak penganjur telah menyediakan hadiah yang cukup isitimewa. Lulut Wahyudi sebagai Pengurus Kustomfest telah menghasilkan sebuah Trike (motosikal tiga roda) yang menggabungkan  rekaan motor chopper di hadapan dan suspensi bebas Porsche 914 di belakang. Ia kemudiannya dinamakan Trike Ojo Dumeh.

Wahyudi menyatakana yang berbeza dari tahun-tahun sebelumnya, tahun ini mereka berusaha menterjemahkan maksud ‘No Boundaries’ dengan lebih mendalam. Bertepatan dengan tema Kustomfest tahun ini, ia bermaksud untuk mengatasi dan menembusi batasan dalam kehidupan seorang builder custom.

Trike kustom ini menggunakan sepasang fork hadapan jenis springer yang kemudiannya disudahkan dengan rim bersaiz 21 inci dan dibalut dengan tayar Avon Speedmaster. Tempat duduknya pula merupakan tempat duduk kustom yang dinamakan ‘King and Queen’ yang cukup selesa tetapi tidak menganggu tunggangan.

Enjin Buell 1200 cc keluaran Harley-Davidson yang ada padanya memang tidak perlu diragui dan berprestasi tinggi. Suspensi Porsche 914 pada bahagian belakang pula memastikan sepasang tayar belakang berada pada kedudukan terbaik untuk kestabilan. Ia cukup meyakinkan baik semasa memecut mahupun ketika mengambil selekoh.

Jika dilihat dengan teliti kita akan dapati yang Trike ini dihasilkan dengan cermat dan berkualiti. Ia bukan hanya sebuah hasil seni tetapi turut mengetengahkan teknologi terkini dan berkualiti.

Pemilihan nama Ojo Dumeh bukannya sekadar tangkap muat kerana ia berkait rapat dengan falsafah rakyat Jawa itu sendiri. Ojo Dumeh bermaksud ‘jangan sombong’ memang merupakan satu nasihat yang cukup berguna apatah lagi kita berada dalam komuniti yang kecil.

BACA: SUZUKI KATANA HASIL KERJA TANGAN ACP CUSTOMS

Antara kemasan lain yang menarik pada Trike Ojo Dumeh ini ialah ukiran grafik Kustomfest 2017 dan No Boundaries pada bahagian head enjin. Ia merupakan hasil ukiran David Stone, seorang seniman ukiran dari Mojokerto.

Siapakah agaknya pengunjung bertuah yang akan berjaya membawa pulang Trike Ojo Dumeh ini? Mana yang berminat masih boleh berkunjung ke Jogjakarta kerana acara ini akan berakhir malam esok (8/10/2017).

 

Google ads
Back to top button