3 NINJA TERLAJU DI DUNIA – DAH NAMA PUN NINJA KAN?

SHARE

Kalau ingin bercakap tentang motosikal terlaju di dunia semestinya nama Kawasaki akan timbul di fikiran semua peminat motosikal. Tak kiralah berapa hebat RX-Z anda, berapa limited Y15 anda dan berapa bergaya skuter anda, takhta motosikal terlaju di dunia sentiasa dalam genggaman Kawasaki. Mereka di Kawasaki memang sangat obses dalam mencipta motosikal laju sejak dari awal. Bermula dengan Z1 era 70-an, Ninja GPZ900 era 80-an, Ninja ZX-11 era 90-an dan Ninja ZX-14R di era millenium baru dengan kuasa tanpa batasan.

Malah pada masa kini dengan segala teknologi moden diperkenalkan pada motosikal, Kawasaki masih mengekalkan kehebatan mereka sebagai pengeluar motosikal terlaju di dunia. Malah dari 10 motosikal terlaju di dunia mengikut laman web Visordown, Kawasaki mempunyai tiga wakil dalam senarai tersebut.

Ingat Ninja H2R yang merupakan motosikal terlaju di dunia masa kini dengan kelajuan yang mampu mencecah 400 km/j (sebenarnya mungkin lebih)? Tapi ia bukannya model yang sah digunakan di atas jalan raya jadi kita ketepikan dulu dari senarai okey.

Kita tengok tiga model Ninja terlaju keluaran Kawasaki dari dulu hingga sekarang.

Kawasaki Ninja ZX-14 (ZZR1400)

Ia dihasilkan untuk menewaskan satu lagi nama lagenda dari negara matahari terbit, iaitu ‘Hayabusa’ keluaran Suzuki. Tapi perjanjian persefahaman antara pengeluar sekitar awal 2000 dulu membuatkan para pengeluar menghadkan kelajuan superbike masing-masing. Termasuklah untuk ZX-14 ini.

Ninja ZX-14 ini sebenarnya mempunyai kuasa maksima 208 hp dengan kelajuan tertinggi 298 km/j. Walaupun kini ia lebih kepada sports tourer dengan nama ZZR1400 ia masih mempunyai prestasi sehebat model terdahulu.

BACA: FASTEST CAR: SUPERCAR ATAU SLEEPER CAR YANG LAGI LAJU?

Kawasaki Ninja ZX-10R

Raja era 90-an, ia masih lagi sebuah superbike dan belum melepasi sempadan hyperbike. Namun begitu ZX-10R ialah sebuah jentera yang sangat laju selain cukup aerodinamik dan stabil. Antara model terbaik dalam kelas ini semestinya ialah ZX-10R.

Ia mempunyai enjin yang mampu menghasilkan 197 hp kuasa dan 50 kilogram lebih ringan dari ZX-14. Hasilnya ialah kelajuan maksima 298 km/j sama seperti ZX-14. Tak cukup lagi? Bagaimana dengan rekod kejuaraan WSBK selama tiga tahun berturut-turut (2015, 2016, 2017)? Hebat? Bukan itu sahaja, ia juga masih cemerlang dalam musim 2018 ini.

Kawasaki Ninja H2

Inilah dia sebuah superbike dengan enjin supercharge Kawasaki dan dinamakan Ninja H2. Ia mempunyai 200 hp kuasa maksima dengan kelajuan tertinggi 299 km/j. Bukan itu sahaja, H2 merupakan versi yang sah digunakan di jalan raya dan bukannya seperti abangnya H2R (yang semestinya lebih ganas).

 

Tapi jangan mudah terpedaya dengan angka yang diberikan kerana ia berpotensi pergi lebih laju (sekitar 320 km/j) dengan sedikit ubahan pada tetapan supercharger. Kalau perjanjian persefahaman tentang kelajuan maksima tidak pernah wujud rasanya kelajuan sebenar pasti lebih menggetarkan sanubari peminat dunia dua roda.

Kredit enoanderson.com

Share this post

scroll to top