Artikel PilihanMotosikal

5 PILIHAN MOTOSIKAL YANG PALING HAMPIR DENGAN JENTERA MOTOGP YANG BOLEH ANDA MILIKI – ASAL ADA KEMAMPUAN

Sebagai peminat sejati MotoGP ramai antara kita yang mahu memiliki jentera yang sama seperti digunakan pelumba MotoGP walaupun tak semua berkemampuan. Namun untuk memiliki jentera MotoGP sebenar memang agak mustahil. Ia juga tidak sah digunakan di atas jalan raya. Tapi di sini kami senaraikan 5 buah motosikal yang mempunyai persamaan paling banyak dengan jentera MotoGP dan sah digunakan di atas jalan raya biasa.

Memang sesuatu yang agak menyedihkan kerana anda tidak boleh membeli motosikal MotoGP dari ruang pameran walaupun bapa anda seorang tokey balak. Dengan segala kelengkapan gentian karbon, titanium dan R&D harga sebuah jentera MotoGP boleh mencecah USD2 juta! Kalaupun anda mampu membayarnya sekalipun, ia memang bukan untuk dijual dan memerlukan lesen berlumba yang khusus untuk ditunggang.

Tapi jangan sedih kerana anda boleh memilih lima motosikal ini yang mempunyai persamaan yang banyak dengan jentera MotoGP.

  1. Ronax 500

Berita baiknya ialah ia merupakan sebuah jentera lumba dengan enjin 500 cc 2-lejang sama seperti MotoGP era 90-an. Tapi yang tak bestnya ialah ia dihasilkan dalam jumlah yang terhad. Lebih tepat lagi hanya 46 unit sahaja dihasilkan, sama seperti nombor kegemaran Valentino Rossi.

Jika anda rasa motosikal ini menyamai Honda NSR500 yang pernah menjadi juara dunia 500 cc anda memang tidak tersalah teka. Ia memang menyamai Honda NSR500cc tahun 2001. Motosikal 2-lejang terakhir memenangi GP500 dan telah dihasilkan dalam jumlah yang cukup terhad.

Enjin 500cc 2-lejang ini mampu menghasilkan 160bhp pada 11,500rpm lengkap dengan brek-brek spesifikasi MotoGP keluaran Brembo. Ia bukan hanya menjadikan motosikal ini cukup laju tetapi boleh diperlahankan dengan dengan pantas sewaktu menghampiri selekoh.

Jumlahnya yang terhad juga menjadikan harganya cukup mahal di pasaran. Sekitar RM500,000 tidak termasuk cukai.

  1. Aprilia RSV4 RF

Antara superbike yang mempunyai skema warna paling menarik. Ia mempunyai DNA yang sama dengan jentera perlumbaan WSBK, Aprilia RSV4 RF merupakan versi yang sah digunakan di atas jalan yang membantu Max Biaggi menjadi juara WSBK pada tahun 2010.

Model terbaru 2017 dinaiktaraf dengan penggunaan sistem suspensi Ohlins yang membantu motosikal ini mencatat masa sepusingan satu saat lebih laju dari model 2016.

Model ini juga merupakan model terganas Aprilia yang boleh anda beli. Walaupun ia kurang 50bhp kuasa berbanding RSV4FW (yang memang tidak dijual) tetapi itu bukan satu masalah kerana kuasa maksima 201bhp yang ada padanya akan memastikan anda tidak ketinggalan berbanding jentera keluaran syarikat lain. Malah ia juga antara model termurah dalam senarai ini.

  1. Yamaha YZF-R1 M

Inilah motosikal paling hampir dengan motosikal juara dunia Valentino Rossi. Malangnya ia tidak ditawarkan dengan grafik warna lagenda VR46. Ia diasaskan daripada Yamaha YZF M1 MotoGP yang ditunggang oleh Rossi. Malah ia juga dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri yang ada pada sebuah jentera MotoGP.

Antaranya ialah Communication Control Unit (CCU) yang merekodkan setiap butiran anda sewaktu berlumba di atas litar. Data ini kemudiannya boleh dimuat turun menggunakan aplikasi Android mahupun iOS untuk analisa (untuk anda berkhayal seperti pelumba MotoGP).

Ia juga dilengkapi dengan kerangka aluminium, rim magnesium, ekzos titanium dan diuji oleh Rossi sendiri yang memberikan pelbagai input berguna sewaktu dibangunkan. Dengan kata lain sistem elektroniknya ditala mengikut input yang diberikan oleh Rossi.

  1. Ducati 1299 Panigale R Fine Edition

Berita baiknya janji ada duit ia pasti boleh dimiliki dan bukannya model edisi terhad. Ingat nak cadangkan Ducati 1299 Superlegera tapi 500 unit motosikal tersebut semua dah sold out. Nak beli second hand boleh tapi jangan harap harganya lebih murah.

Jadi kami cadangkan versi Final Edition ini kerana ia bukan hanya sebuah motosikal tetapi ia juga akan menjadi koleksi kerana inilah model terakhir yang menggunakan enjin V-2 Ducati. Ia juga merupakan enjin V-2 paling berkuasa sebelum bakal digantikan dengan V-4.

Sebagai sebuah jentera keluaran Itali, harganya memang tidak murah tapi jika mampu apa salahnya, buah pinggang pun ada dua kan?

  1. Honda RC-213V-S

Sebuah jentera dengan kemasan grafik klasik tetapi dengan harga melampaui sempadan cakerawala. Honda memang merupakan satu nama yang cukup sinonim dengan perlumbaan MotoGP. Dengan penglibatan selama 50 tahun, mereka telah merangkul hampir 65 kejuaraan dalam kelas pelbagai – lebih daripada semua pasukan sehingga kini. Untuk meraikan kejayaan mereka selama ini dan memberikan peminat pengalaman menunggang motosikal MotoGP sebenar, mereka telah mengeluarkan Honda RC-213V-S. S bermaksud ‘street’.

Menurut Honda, formula motosikal ini senang sahaja, ambil sebuah jentera juara RC213V MotoGP dan tambah dengan aksesori yang perlu untuk menjadikannya sah digunakan di jalan raya. Ini bukan motosikal kapcai yang disolek dengan mekap MotoGP dan dijual dengan harga tak masuk akal (konon limited edition) dan ia juga bukan superbike menyamar acah-acah pelumba MotoGP. Ini kebenaran yang nyata.

Dengan kata lain ia adalah jentera MotoGP dengan lampu-lampu utama dan lampu isyarat membelok. Honda menghadkan jumlahnya kepada 213 unit sahaja dengan harga hampir RM500,000 seunit. Kesemuanya telah habis terjual sebelum ia sampai ke tangan pengedar.

Jika rajin mencari mungkin ada unit yang ingin dijual tetapi jangan ingat harganya akan menurun berdasarkan jumlah perbatuan. Eksklusiviti tu mahal harganya der.

Sumber redbull.com

Google ads
Back to top button