BMW SAHKAN S1000RR AKAN DIPERBAHARUI SEPENUHNYA UNTUK 2019 – BANYAK KENA SIMPAN DUIT NI

SHARE

BMW Motorrad hari ini memberikan khabar gembira buat semua peminat mereka bila menjelaskan yang BMW S1000RR akan diperbaharui sepenuhnya untuk tahun 2019. Mereka kini semakin bersemangat untuk bersaing dalam kategori 1000cc dan yakin model baru ini akan menjadi lebih laju, ringan dan mudah ditunggang. BMW berkeyakinan penuh ke atas model baru ini berdasarkan pencapaian mereka sebelum ini.

Daya penarik utama S1000RR 2019 semestinya ialah enjin sebaris empat yang bersesaran 999cc yang didakwa mampu menghasilkan 205 hp kuasa (naik 6 hp berbanding sebelumnya). Tapi menurut pengeluar dari Jerman itu, angka keluaran kuasa bukan segalanya tentang model baru ini tetapi apa yang lebih penting ialah perhatian yang diberikan untuk meningkatkan taraf tunggangan.

BMW S1000RR ini bakal menggunakan BMW ShiftCam Technology yang mempelbagaikan pemasa injap kemasukan dan angkatan. BMW mendakwa sistem ini akan memberikan jajaran tork yang lebih sekata berbanding sebelumnya yang memang akan dihargai oleh semua peminat BMW S1000RR. Kenapa? Kerana anjakan kuasa sebelum ini yang melonjak pada sekitar 10,000 akan membuatkan anda melakukan aksi wheelie jika gagal mengawal pendikit. Terima kasih untuk fungsi baru ini.

Selain dari peningkatan kuasa, enjin BMW S1000RR ini mengalami pengurangan berat sebanyak hampir 4 kilogram dan rekaan luaran yang lebih kompak. Ia dicapai hasil penggunaan beberapa komponen baru seperti injap kemasukan titanium yang berlubang dan rocker arm DLC baru yang dikatakan 25 peratus lebih ringan. Unit pam minyak dan pam air disatukan agar lebih kompak. Sistem ekzos baru S1000RR ini juga adalah 1.2 kilogram lebih ringan pada model 2019 menjadikan berat keseluruhan berjaya dikurangkan hampir 11 kilogram.

Menaiktaraf kuasa BMW S1000RR bukannya kerja main-main dan disebabkan itulah BMW memeperkenalkan beberapa sistem elektronik untuk membantu penunggang termasuklah ABS Pro, Dynamic Traction Control (DTC), Dynamic Traction Control Wheelie Function, Shift Assistant Pro (untuk membolehkan gear dinaik dan diturunkan tanpa klac), Hill Start Control. Launch Control dan Pit Lane Limiter.

Terdapat juga empat tetapan menunggang iaitu – Rain, Road, Dynamic dan Race. 3 lagi mod Race Pro boleh diselaraskan dengan tiga tahap kuasa engine-braking yang dipilih penunggang.

BACA: DUCATI V4 SEMPENA WSBK – KINI DENGAN WINGLET DAN ENJIN 221 KUASA KUDA!

Bukan itu sahaja, para jurutera casis turut sibuk dengan proses naik taraf baru ini di mana fokus utama ialah untuk meringankan beban bagi memudahkan tunggangan. Kerangka aluminium kini hampir 1.3 kg lebih ringan dengan enjin itu sendiri berfungsi sebagai sandaran casis. Pada masa yang sama jarak tapak roda ditambah sebanyak 9mm dengan penggunaan fork bersaiz 45mm di hadapan (sedikit kecil berbanding 46mm sebelumnya). BMW Dynamic Damper Setting (DDC) masih dikekalkan pada S1000RR baru ini tetapi dipertingkatkan dengan beberapa tetapan baru.

Dengan kerangka baru yang lebih kompak, tangki minyak juga adalah lebih langsing begitu juga dengan tempat duduk. Ini membolehkan penunggang berada dalam posisi yang lebih agresif. Fairing depan juga kini lebih kompak dan aerodinamik dengan ruang kemasukan udara di tengah-tengah memberikan aliran udara yang optimum. S1000RR ini akan ditawarkan dengan tiga pilihan warna: Racing Blue, Racing Red dan Lightwhite. Senang betul nak ingat warnanya.

Unit paparan instrumentasi pula menggunakan skrin TFT 6.5 inci dengan empat tetapan. Ia termasuklah tetapan khusus untuk perlumbaan yang memberikan info seperti catatan masa sepusingan, masa terbaik, jumlah pusingan, tetapan DTC, RPM dan sebagainya.

Macamana dengan harga? Ia akan diumumkan kelak tapi harga BMW memang tidak sama la dengan jentera dari Jepun ataupun India. Itu sudah pasti.

GALERI:

Kredit Cycleworld.com

Share this post

scroll to top