Artikel PilihanMotosikal

CARA MENGANGKAT MOTOSIKAL YANG TERBALIK DENGAN BETUL

Kebanyakan penunggang motosikal biasanya mesti pernah mengangkat motosikal yang terbalik paling tidak pun sekali seumur hidup. Kalau setakat motor kapcai mungkin okey lagi tapi macam mana kalau superbike atau motosikal seperti Honda Gold Wing contohnya. Jika anda jenis sado dan selalu pergi gim mungkin tiada masalah tapi yang saiz macam Pak Amid macam mana?

Jika motosikal anda terbaring di atas permukaan bumi sebenarnya terdapat beberapa faktor yang harus dipertimbangkan oleh penunggang  sebenarnya. Fikirkan cara yang sesuai dan pelajari teknik yang khusus untuk mengangkatnya kembali.

Berhati-hati

Jangan main hentam je angkat kecuali selepas mempelajari langkah yang betul daripada mereka yang mahir. Mengangkat beban berat seperti motosikal berkuasa tinggi merupakan satu usaha yang membahaya dan boleh mencederakan kita. Jika terjatuh sekali lagi tangan dan kaki kita boleh dihempapnya. Tidak kena gaya dua kali sakit bang.

Ambil masa untuk berfikir. Sama seperti menunggang, mengangkat motosikal juga perlukan persiapan mental yang kuat. Gunakan akal anda.

Sama macam nak angkat peti sejuk baru beli seberat 150 kilogram, adakah anda akan menarik nafas sekuat boleh dan mengheretnya menaiki tangga rumah anda? Macam mana jika ia seberat 300 kilogram? Apa rancangan anda? Fikir dulu dan cuba bayangkan macam mana anda nak melakukannya.

BACA: SHELL ADVANCE MASTERCLASS – TINGKATKAN KEMAHIRAN MEKANIK MOTOSIKAL TEMPATAN

Analisa diri anda terlebih dahulu

Melihat motosikal kesayangan anda tergolek buat pertama kali memang sangat traumatik. Naluri anda akan menyuruh anda mengangkatnya secepat mungkin. Nak pulak yang jenis menganggap motosikal sebagai isteri kedua mereka. Siap bagi nama lagi tu.

Tarik nafas panjang-panjang dan ambil masa seminit untuk berfikir. ‘Maria’ takkan pergi ke mana-mana (Maria tu nama motor). Tanya diri anda sendiri:

  • Boleh ke aku angkat motor ni dengan kederat sendiri?
  • Aku pernah cedera sebelum ni, kalau angkat cedera balik macam mana?
  • Stamina aku okey lagi ke? Atau mungkin aku tengah diserang panik?
  • But atau kasut yang aku pakai ni bagus tak tapaknya?
  • Perlu ke pakai sarung tangan?

Ini antara contoh soalan yang anda perlu tanya diri anda sendiri. Kalau ragu-ragu jangan teruskan.

Analisa suasana persekitaran

Tengok keadaan lokasi anda dari kedudukan yang selamat lebih-lebih lagi jika anda terbalik di tengah selekoh ataupun di kawasan lebuh raya. Utamakan keselamatan sendiri terlebih dahulu.

Jika motor anda berada di tengah jalan raya, tunggu bantuan pihak berkuasa datang ataupun pengguna jalan raya lain berhenti baru mencuba untuk mengangkat motor anda.

Perhatikan permukaan jalan, licin ke tak licin? Adakah ia dalam keadaan rata ataupun condong ke sisi? Jangan sampai anda ditimpa motosikal anda dalam usaha mengangkatnya.

Perhatikan jika ada sesiapa yang boleh membantu anda. Biasanya pengguna lain sentiasa bersedia membantu tetapi anda kenalah ringankan sikit mulut untuk meminta pertolongan. Beritahu mereka apa perlu dilakukan agar semua pihak tidak tercedera.

Analisa keadaan motosikal anda

Matikan enjin dengan kunci ataupun suis cut-off motosikal anda. Tutup juga suiz saluran petrol jika motosikal anda mempunyai fungsi sebegini. Lihat jika ada kerosakan yang akan menghalang usaha anda mengangkat motosikal anda.

Tumpahan petrol adalah biasa jika motosikal terbalik. Jangan panik tetapi berhati-hati. Ia tidak akan menyala kecuali anda membaling mancis ataupun mercun ke arahnya. Tetapi jika tumpahan terlalu banyak, jauhkan diri anda dari motosikal dan tunggu bantuan pihak berkuasa.

Sebelum mengangkatnya masukkan gear satu untuk mengunci gear. Jika terbalik ke sebelah sisi kanan, turunkan tongkat sisi agar ia tidak terbalik ke sebelah kiri bila anda mengangkatnya. Awas jangan sampai motosikal anda menggelongsor sewaktu anda mengangkatnya.

Teknik angkatan

Sama seperti mengangkat objek berat lain kita perlu menggunakan bahagian terkuat badan kita iaitu kaki. Jika kita membongkok dan cuba melakukannya dari hadapan ditakuti akan mencederakan oto belakang, lebih buruk jika ia kerosakan kekal. Teknik yang betul akan menyelamatkan tulang belakang anda dari kecederaan.

  1. Pusingkan hendal motosikal anda sehingga tayar hadapan mengadap permukaan bumi. Satu hujung bar hendal mestilah berada berhampiran dengan tangki minyak motosikal anda.
  2. Duduk perlahan-lahan dengan bahagian punggung anda ‘menyentuh’ pelana motor anda (bukan duduk macam nak menunggang tau).
  3. Dengan sebelah tangan anda, pegang bar hendal yang berhampiran dengan tangki minyak mengikut keselesaan anda.
  4. Tangan yang lagi satu pula memegang bahagian yang kukuh pada motosikal anda seperti kerangka, sub-kerangka ataupun braket dan lain-lain. Jaga-jaga jangan sampai terpegang bahagian yang panas ataupun diperbuat daripada plastik. Pakai sarung tangan jika perlu.
  5. Sekarang bawa kaki anda ke hadapan dalam sekaki dengan lutut sedikit bengkok. Pastikan permukaan muka bumi rata dan kasut anda memberikan cengkaman.
  6. Sekarang masa untuk mengangkat. Gunakan otot bahagian kaki. Kemaskan genggaman tangan anda dan mulakan langkah kecil ke belakang, bahagian belakang anda mesti sentiasa tegak. Pastikan motosikal dalam kawalan anda dan jangan pusing badan anda semasa mengangkat.
  7. Jika motor anda terbalik ke sebelah kiri, hati-hati jangan sampai terbalik ke sebelah lagi satu. Bila dan tegak, pasangkan tongkat sisi dengan menggunakan kaki anda.
  8. Bila dah berjaya menegakkan motor anda, periksa kerosakan sebelum menunggangnya kembali. Motosikal anda mungkin akan mengalami kesukaran untuk dihidupkan sebelum aliran petrol kembali pulih.

Analisa lain

Fikir kembali kenapa anda jatuh. Adakah disebabkan faktor luaran seperti permukaan jalan raya ataupun kecuaian pengguna jalan raya lain. Atau mungkinkah akibat pengalaman dan skil menunggang anda yang masih lagi cetek. Jika ya, inilah masanya untuk anda kembali ke sekolah semula dan belajar menunggang dengan cara yang lebih selamat.

Saksikan video dari Team Oregon di bawah untuk memahami teknik angkatan dengan lebih baik.

 

Google ads
Back to top button