Motosikal

DAINESE SETTANTADUE – JAKET KULIT GAYA KLASIK YANG STAILO

Dainese, pengeluar kelengkapan premium untuk penunggang motosikal sejak tahun 1972 baru-baru ini memperkenalkan rangkaian jaket kulit.

Dikenali sebagai Dainese Settantadue, koleksi terbaharu itu menyerlahkan rekaan Itali dan warian sut perlumbaan syarikat tersebut.

Selepas melakukan penyelidikan dan reka bentuk selama 24 bulan, Dainese akhirnya memperkenalkan Dainese Settantadue. Ia merupakan interpretasi pakaian menunggang yang ikonik dan lebih ‘teknikal’.

“Warisan, kecantikan dan kontemporari adalah tiga nilai koleksi baru ini. Ia menggabungkan aspek sejarah dan warisan kami dengan sempurna,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Dainese, Cristiano Silei.

Bagi menghasilkan Dainese Settantadue, Pengarah Seni Dainese, Renato Montagner menyatakan dia mengambil masa berminggu-minggu untuk mencari inspirasi.

“Saya turut mengkaji kerjasama rekaan pada masa dahulu termasuklah daripada pereka Yohji Yamamoto dan Valextra. Produksi pertama tidak akan berkompromi dengan aspek kualiti atau perinciannya,” kata Montagner.

Dainese Settantadue yang bermaksud 72 dalam Bahasa Itali itu ditawarkan untuk penunggang lelaki dan wanita.

Ia didatangkan dalam tiga rekaan tersendiri iaitu Freccia 72 dengan reka bentuk dua jalur horizontal; Toga 72 – menitikberatkan aspek potongan jaket klasik dan Rapide 72 yang berteknologi tinggi.  

Google ads
Back to top button