DUCATI SCRAMBLER HASHTAG – HANYA BOLEH DIBELI SECARA DALAM TALIAN

SHARE

Ducati baru-baru ini memperkenalkan Scrambler Hashtag yang hanya boleh dibeli secara dalam talian.

Buat masa sekarang, ia hanya ditawarkan kepada pelanggan di Perancis, Jerman, Sepanyol dan Portugal.

Walaupun kedengaran cool, ini bukanlah pertama kali pengguna boleh membeli motosikal secara dalam talian. Yamaha sebelum ini juga memerlukan pelanggan membuat tempahan untuk model YZF-R1M di internet.

Menurut Ducati, maklumat Scrambler Hashtag akan dikongsi kepada umum tidak lama lagi.

Biarpun pelanggan boleh membeli Scrambler Hashtag secara dalam talian, jangan harap motosikal itu akan sampai di depan rumah di dalam kontena. Sebaliknya, pelanggan perlu membayar deposit sebanyak €500 dan mereka akan menerima satu baucar.

Baucar itu kemudian perlu dibawa ke pengedar Ducati, sebelum anda boleh mengambil motosikal. Macam sama pula dengan cara beli Volkswagen Beetle melalui Lazada baru-baru ini.

Jadi apa istimewanya model ini berbanding Scrambler biasa yang boleh dibeli di kedai? Scrambler Hashtag didatangkan dengan hanya warna hitam bersama logo berwarna oren dan tempat duduk gaya model Desert Sled.  

Dibangun berdasarkan kepada varian 400cc Sixty2, ia ditawarkan pada harga €6,990 di Itali. Pelanggan juga akan mendapat diskaun sebanyak 20 peratus ke atas pakaian dan aksesori rasmi Sixty2.

Untuk makluman, Ducati memperkenalkan kembali model Scrambler pada tahun 2015 yang disasarkan kepada pelanggan lebih muda. Apa yang menarik ialah model ini mudah diubah suai menerusi pelbagai aksesori yang ditawarkannya.

Pada masa sekarang, terdapat 11 model Scrambler boleh dipilih. Antaranya ialah Icon, Street Classic, Classic, Full Throttle, Cafe Racer, Sixty2 atau jentera off-road Desert Sled.

Penghantaran Scrambler Hashtag dijangka bermula bulan depan.

Share this post

scroll to top