Motosikal

EICMA 2017: KTM 790 DUKE THE SCALPEL

KTM mencuri tumpuan pada acara EICMA 2017 apabila memperkenalkan model streetfighter terbaharunya, KTM 790 Duke.

Model 2018 daripada pengeluar motosikal jenama Austria itu digelar sebagai “The Scalpel” kerana karekter yang lincah dan berkuasa ketika mengambil selekoh.

Tampil dengan elemen rekaan model lebih besar dan berkuasa KTM 1290 Super Duke R, jentera itu hanya seberat kurang 190kg. Sekali gus menjadikannya sebagai model dengan nisbah berat kuasa yang terbaik dalam kelasnya.

The Scalpel dikuasakan oleh enjin parallel-twin bersesaran 799cc. Ia berupaya menghasilkan kuasa sehingga 105hp dan tork 85.4Nm.

Lebih menarik lagi, ia dilengkapi pelbagai ciri standard seperti kawalan cengkaman yang sensitif terhadap sudut kecondongan, cornering ABS, Launch Control, auto blipper, slipper clutch dan banyak lagi.

Bahagian hadapan yang kelihatan seperti muka serangga itu dipasang dengan lampu LED. Unit paparan TFT berwarna pula menawarkan maklumat penting tunggangan kepada penunggang.

Teknologi KTM My Ride yang hadir sebagai ciri pilihan membolehkan penunggang menyambungkan telefon pintar menggunakan Bluetooth.

Masih menggunakan reka bentuk kerangka trellis, 790 Duke menggunakan suspensi daripada WP di hadapan dan jenis monoshock untuk roda belakang.

KTM masih belum menyatakan harga untuk 790 Duke. Namun ia dijangka menjengah pasaran Eropah pada Mac 2018.

Dengan pasaran motosikal berkuasa tinggi yang semakin sengit di Malaysia, KTM Malaysia wajar menawarkan jentera ini bagi membuatkan jenama KTM lebih kompetitif.

GALERI

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button