EVOLUSI SUZUKI RGV500 GAMMA DAN KEVIN SCHWANTZ – DARIPADA BIASA MENJADI LUAR BIASA

SHARE

Dalam banyak syarikat motosikal yang menyertai GrandPrix motosikal dunia, Suzuki tentunya tidak mempunyai reputasi sehebat Honda ataupun Yamaha. Tapi kena ingat, jenama ini pernah menjadi juara dengan gandingan berzama seorang pelumba hebat tahun 90-an. Motosikal yang telah menjadi salah sebuah lagenda MotoGP tentulah Suzuki RGV500 Gamma.

Pada peringkat awal, Suzuki pernah menjuarai kategori GP500 pada penghujung tahun 70-an bersama Barry Sheene tetapi sayangnya kemenangan tersebut tidak kekal lama.

Kenapa? Kerana sama seperti Formula 1 zaman sekarang perkembangan teknologi MotoGP adalah sangat pantas. Bermula dengan penggunaan material ringan seperti aluminium dan gentian karbon, suspensi canggih sehinggalah ke enjin yang moden membuatkan syarikat seperti Yamaha dan Honda semakin di depan. Dan yang tak bestnya Suzuki telah ketinggalan di belakang.

Pada awal 80-an ketika Yamaha dan Honda sama-sama mengembangkan enjin V4 Screamer generasi baru, pasukan utama Suzuki pula telah menarik diri kerana RG500 mereka yang menggunakan enjin Square Four telah dikira usang dan gagal bersaing.

Mereka bagaimanapun kembali mencabar dengan menggunakan Suzuki RGV500 Gamma dengan enjin V4 Screamer pada tahun 1986. Inilah motor lagenda yang kemudiannya berganding dengan pelumba hebat dari AS, Kevin Scwantz yang kemudiannya muncul sebagai juara dunia 500cc.

Walaupun perkembangan teknologi RGV500 agak terkebelakang berbanding Yamaha YZR500 dan Honda NSR tapi ia juga ada baiknya kerana mereka mempunyai lebih masa untukmengatasi kekurangan yang ada pada enjin V4 baru.

Pada tahun 1986-87, Kevin Scwantz menjadi pelumba rasmi pasukan Pepsi-Suzuki bergandingan dengan Rob McElnea dan mendapat kedudukan yang lebih baik berbanding palumba Suzuki sebelum mereka. Jentera yang mereka gunakan ialah Suzuki RGV500 Gamma XR73 dan XR74. Ia dilengkapi dengan piston yang lebih besar untuk kuasa yang lebih pada RPM tinggi.

RGV itu juga masih menggunakan aci sesondol berkembar berbeza dengan Yamaha dan Honda yang menggunakan aci sesondol counter-rotating. Mereka kini sudah semakin maju tetapi masih ketinggalan berbanding Yamaha dan Honda.

McElnea, rakan sepasukan Schwantz mengatakan motosikal mereka sukar dikawal walaupun semakin laju. Schwantz bagaimanapun membuktikan sebaliknya dengan memenangi perlumbaan pembukaan GP500 di litar Suzuka, Jepun.

Bukan itu sahaja, Schwantz turut memenangi perlumbaan paling mencabar dalam keadaan ekstrim. Contohnya perlumbaan di litar Nurburgring dalam keadaan hujan lebat.

BACA: 10 PELUMBA MOTOGP TERHEBAT SEPANJANG ZAMAN

Tahun berikutnya, RGV500 Gamma turut menggunakan teknologi aci sesondol counter-rotating tetapi Yamaha dan Honda telah berhijrah kepada teknologi enjin V4 Big Bang yang lebih moden. Tapi jurang antara mereka dan Suzuki sudah semakin dekat. Masalah enjin bagaimanapun masih menghantui motosikal mereka sehingga mereka terkandas hampir 6 kali dalam perlumbaan dan menyerahkan mahkota juara dunia kepada Eddie Lawson pada tahun tersebut.

Kejayaan demi kejayaan selepas itu menjulang nama Suzuki dan Kevin Scwantz di mata peminat. Pada musim 1990, tidak banyak modifikasi dilakukan pada Suzuki RGV500 Gamma kecuali mengubah sudut enjin V4 tersebut dari 60 darjah ke 70 darjah. Kini mereka juga mempunyai penaja baru iaitu Lucky Strike bagi menggantikan Pepsi yang cuma bertahan selama 2 musim sahaja.

Namun di akhir musim Schwantz hanya berjaya merebut tempat kedua. Gaya menunggang beliau yang merbahaya menyebabkan beliau sering terjatuh dan gagal menamatkan 4 siri perlumbaan. Beliau tewas kepada Wayne Rainey hanya dengan perbezaan mata yang kecil.

Adakah beliau seorang pelumba yang cuai? Tidak, kerana gaya menunggang beliau itu jugalah yang membolehkan beliau berada di kelompok hadapan pelumba. Malah lawan-lawan Schwantz merupakan pelumba-pelumba hebat seperti Wayne Rainey, Wayne Gardner, Eddie Lawson, Randy Mamola dan Mick Doohan. Dan perlu diingat, semua penunggang disebutkan tadi rata-ratanya menggunakan jentera Yamaha dan Honda yang memang lebih hebat dari segi prestasi dan kawalan.

Generasi RGV500 Gamma paling popular tentulah versi XR79 yang disiapkan untuk musim 1993. Secara dasarnya ia adalah sama seperti musim sebelumnya tetapi Schwantz menunggang dengan baik dan menguasai saingan sehingga akhir musim. Tapi macam biasa beliau asyik tercedera mengakibatkan Wayne Rainey semakin dekat mengejar dari belakang.

Namun begitu kecelakaan menimpa Rainey yang ditimpa kemalangan tragis di GP Misano dan mengakibatkan kecederaan tulang belakang sehingga Rainey disahkan tidak akan mampu berjalan. Khabar sedih buat Rainey tetapi satu keuntungan buat Schwantz.

Ia merupakan kemenangan yang ditunggu-tunggu oleh Suzuki selama 16 tahun dan merupakan yang pertama buat Suzuki RGV500 Gamma yang dianggap lemah berbanding YZR500 dan NSR500. Tapi sebenarnya ia juga pukulan hebat buat Schwantz kerana kehilangan pesaing terdekat dan juga rakan senegara beliau, Wayne Rainey.

Share this post

scroll to top