Motosikal

GPX DEMON 150GN & GPX LEGEND GENTLEMAN 200 – MASUK MALAYSIA AWAL TAHUN 2018

Memandangkan sekarang tengah cuti panjang, assignment pun tak ada, maka perkara biasa yang abang Japar buat ialah tengok Facebook.

Belek punya belek, ada satu post ni menarik perhatian. Menggunakan nama GPX Malaysia, ia dengan jelas menyatakan bahawa jenama motosikal ini akan masuk ke pasaran tempatan tidak lama lagi.

Saya yakin ramai yang pernah tengok post ini, kerana page ini telah ‘sponsored’ dalam tempoh beberapa ketika.

Saya sendiri pernah melihat beberapa jentera GPX Racing secara dekat dalam acara Bangkok Motor Show beberapa tahun lepas. Harus diakui bahawa motosikal ini memang cantik dan menarik perhatian.

Baiklah, apa sebenarnya GPX Racing ni? Untuk makluman, GPX Racing dikenali sebagai satu jenama gaya hidup di Thailand. Ia mengkhusus dalam menghasilkan motosikal gaya hidup yang dilihat dapat memenuhi keperluan pengguna yang mahu tampil berbeza.

Jentera itu menggunakan alat ganti OEM buatan Thailand. Ia cukup popular dan menjadi jenama ketiga di negara gajah putih tersebut. Mulai tahun 2018, GPX Racing dilihat bersedia untuk menawarkan motosikalnya ke pasaran negara jiran seperti Vietnam, Kemboja, Malaysia, Singapura dan Filipina.

Motosikal GPX Racing akan diedarkan oleh pihak Bike Continent Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Johor Bharu.

Sebagai permulaan, dua model akan diperkenalkan ke pasaran tempatan iaitu GPX Demon 150GN dan café racer, Legend Gentleman 200. Di Thailand, Demon 150GN yang menggunakan enjin empat lejang satu silinder bersesaran 149cc itu ditawarkan pada ฿58,500 (RM7,340).

Apabila sampai di sini, harga minibike naked itu dianggarkan sekitar RM9,000 seunit. Dah campur GST, harga mestilah naik sikit, macam tak biasa pula.

Apa yang lebih menarik perhatian pastinya model café racer Legend Gentleman 200. Tengok kepada gambar-gambar yang ada di internet, modifikasinya memang menarik.

Dikuasakan oleh enjin empat lejang silinder tunggal bersesaran 197cc, Legend Gentleman 200 dikatakan bakal ditawarkan pada harga sekitar RM12,000 seunit.

Nantikan perkembangan lanjut mengenai motosikal GPX Racing di laman web ini.

kredit foto: FB GPX Malaysia

Google ads
Back to top button