Motosikal

HONDA ELITE 150 – SKUTER DENGAN LAMPU POP-UP YANG COOL

Apabila bercakap tentang lampu pop-up, kita pasti teringatkan beberapa buah kereta yang kini sudahpun mencapai status ikonik.

Antaranya ialah Toyota AE86, Mazda Miata (MX-5), Lotus Eprit, Chevrolet Corvette, Ferrari 308, Porsche 944, Lamborghini Miura dan Acura/Honda NSX.

Tetapi tahukah anda bahawa sekitar tahun 1980-an, Honda telahpun menghasilkan skuter yang menggunakan lampu seperti itu. Ya, skuter…

Dikenali sebagai Honda Elite 150, ia dikatakan mendapat sambutangan menggalakkan di Amerika Syarikat kerana kualiti dan kebolehpercayaannya.

Bagi mematuhi peraturan pada masa itu, lampu tersebut hanya boleh dibuka apabila enjin dihidupkan. Skuter itu juga didatangkan dengan suis untuk membolehkan lampu dinaik atau diturunkan.

Honda juga ada menawarkan varian Elite 80 dengan enjin lebih kecil. Tetapi ia tidak mempunyai lampu pop-up seperti Elite 150. Selain lampu tersebut, satu lagi ciri canggih yang ada padanya ialah meter digital.

Elite 150 menggunakan enjin empat lejang unik yang tidak berkongsi dengan mana-mana skuter Honda pada masa itu. Enjin dengan sistem penyejukan cecair itu membolehkannya memecut pada kelajuan sekitar 100-120km/j.

Walaupun di pasaran Amerika dan Kanada, kebolehdapatan alat ganti untuk enjin itu dikatakan sangat sukar. Jadi, apa yang boleh dibuat adalah dengan menggunakan alat ganti generik daripada model-model seperti Honda Spacy dan CH125/CH150.

Tidak seperti skuter sekarang, Elite 150 tidak mempunyai ruang penyimpanan barang di bawah tempat duduk. Sebabnya, ruang itu dihuni oleh tangki minyak. Jadi, pemilik biasanya akan menambah kotak lain di belakang.

Satu lagi ciri unik Elite 150 ialah brek belakangnya diaktifkan menerusi pedal brek pada sebelah kaki kanan. Kalau tak biasa bawa, memang menggagau juga ni. 

Pada tahun 1986, Honda hanya menawarkan satu varian Elite 150 Deluxe sahaja.

Google ads
Back to top button