Artikel PilihanMotosikal

INILAH 10 SPORTBIKE TERBAIK DARI ERA 90-AN

Dekad 90-an merupakan era yang cukup nostalgia bagi kaki-kaki motor kerana pada zaman inilah lahirnya motor-motor hebat yang berkembang sehingga ke hari ini. Ketika ini, motosikal berkuasa tinggi dianggap jentera mewah sebab ia adalah hobi golongan elit.

Kebanyakan motosikal ini perlu dibayar tunai kerana tak banyak pinjaman yang disediakan. Kalau korang ingat Sunny Motor, MSC Superbike Petaling Jaya, Kedai motor Mok Wangsa Maju dan Welly Batu Caves antara kedai yang popular. Nak beli helmet dan apparel tak lain tak bukan Mecinda Racing di Kompleks Pertama.

Namun zaman telah berubah, sekarang, pakai payslip tipu pun boleh kelular R1 recond. Senang sangat itu yang sampai bawak motor besar tapi pakai lesen B2. Kadang-kadang beli motor pun tak sepadan dengan kemahiran yang ada. Sangat berbahaya.

Walaupun zaman 90-an tidak semeriah hari ini, banyak motosikal yang dilahirkan pada era tersebut yang masih dianggap terbaik sepanjang zaman. Berikut kami senaraikan 10 motosikal terhebat era 90-an.

10. Suzuki SRAD 1996

  1. Suzuki GSX-R750 SRAD

Siapa yang tak kenal motor suzuki dengan punggung tebuan? Suzuki GSX-R750 merupakan model penting Suzuki dalam cubaan memasuki kategori sportsbike. Model tahun 1996 menandakan berakhirnya penggunaan kerangka double-cradle dan digantikan dengan kerangka twin-spar yang diambil terus dari motosikal Grand Prix RGV500  yang ditunggang oleh pelumba terkenal Kevin Scwantz.

Ia sekaligus menjimatkan berat sebanyak 20kg. Tetapi apa yang menarik perhatian peminat motosikal tentunya akronim SRAD yang ada pada motosikal ini. Ia membawa maksud Suzuki Ram Air Direct yang mana sistem ini memaksa udara masuk ke dalam kotak penapis udara.

Motosikal ini juga pernah dipertandingkan dalam kejuaraan superbike dunia dan antara pelumba yang pernah menunggangnya ialah James Whitman. Ini antara pilihan motosikal yang terbaik untuk melayan selekoh ataupun memecut di trek pada hari minggu.

9. Yamaha FZR1000

  1. Yamaha FZR1000R (EXUP)

Motosikal ini dikuasakan enjin 1002cc, 20V dengan empat karburator. Kuasa maksimanya ialah 140bhp dan mampu memecut sehingga ke 165 batu sejam. Ialah Raja sebenar sebelum Honda Fireblade dilahirkan. Ianya cukup lembut dan mudah dikawal dengan aliran kuasa yang lancar hasil penggunaan injap kawalan ekzos EXUP (injap sebelum teknologi YPVS).

Kelemahannya ialah injap EXUP ini memerlukan penyeleggaraan yang agak kerap, selain klacnya yang kerap gagal berfungsi dengan baik.

8. honda rc45

  1. Honda RC45

Ini merupakan antara sportsbike yang mewah kerana ia dipasarkan dengan harga 18,000 pound sterling pada ketika itu di UK. RFV750R ini merupakan model keluaran Honda Racing (HRC) yang paling sukar didapati dan ia juga merupakan homologasi daripada model perlumbaan sebenar.

Ramai mendakwa ia  laju tetapi mudah dikawal dan mempunyai karektornya yang tersendiri. Kalau kau dapat ni sebiji memang boleh datang pameran parking sebelah RXZ Nos rare katanya. Tahukah korang HLYM menjual 60,000 buah RXZ sejak 1985? Celah mana rarenya?

7. Kawasaki ZX-9R

  1. Kawasaki ZX-9R

Antara motosikal Ninja yang paling popular. Ianya lebih laju dan mudah dikawal berbanding dengan Fireblade yang sezaman dengannya. Ia juga alebih praktikal dan selesa berbanding R1. Model E dan F diberi proses naik taraf agar lebih sempurna tetapi rata-rata peminat asal mengatakan ianya kurang menarik.

Saya masih ingat seorang kawan yang pakai model ini. Lucunya, orang lain sibuk cerita bawa ke trek dan ride, dia pula sibuk pasang aksesori dan yang paling tak boleh blah, habis di kromkan bahagian besi. Kau ingat harley ke ni?

6. cbr900rr

  1. Honda CBR900RR Fireblade

Fireblade dengan lampu hadapan berbentuk bulat memang sudah diakui sebagai sebuah model klasik moden tetapi ia masih sebuah motosikal yang menarik ditunggang penggunaan sistem cesi dan teknologi tayar baru, ia agak lembut untuk sebuah sportsbike. Sebenarnya, memang selesa motor ni kalau duduk pun macam sports touring moden.

Ia juga diakui sebagai sebuah motosikal yang tahan lama jika dijaga dengan baik. Walaupun rectifier dan jua peregang rantainya kadang-kadang menimbulkan masalah tetapi ia bukanlah terlalu mahal. Tidak keterlaluan jika dikatakan inilah Honda EX5 dalam kategori superbike.

5. ducati 916

  1. Ducati 916

Jika motosikal ini mempunyai kad pengenalan ataupun paspot, inilah gambar yang paling sesuai untuk dilekatkan pada muka hadapan kedua-duanya. 916 menaikkan kembali nama Ducati ke persada sportsbike dan dunia perlumbaan.

Ia umpama Ferrari bagi sebuah motosikal. Sistem kawalannya adalah antara yang terbaik bagi sebuah sportsbike tetapi sebagai sebuah motosikal daripada Itali, ia bagaikan ada penyakitnya yang tersendiri.

Kos untuk menyelenggaranya juga boleh menyebabkan anda tekanan darah tinggi. Walau bagaimanapun jika anda berjaya memecut motosikal ini di laluan berliku dengan lancar, ia merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit. Ducati beb. Bukan demak.

4. suzuki RGV250

  1. Suzuki RGV250

Inilah motosikal yang memberi gambaran sebenar tentang kehebatan model 2-lejang tahun 90-an. Kelebihan sebenar motosikal ini ialah sewaktu di selekoh dan bukannya di jalan-jalan lurus berikutan enjinnya yang kecil.

Apa yang lebih menarik, RGV ini merupakan replika perlumbaan Grand Prix 250 Suzuki. Ia dilengkapi dengan enjin v-twin yang mesti diselenggara dengan agak kerap dan menggunakan pelincir yang terbaik (mahal lah senang cakap).

Sebagai sebuah motosikal 2-lejang bunyinya memang gempak habis. Tapi bagi kami inilah antara bunyi motosikal tahun 90-an yang cukup menarik tetapi hampir pupus. Model pertama yang dinamakan VJ21 mempunyai paip ekzos di bahagian kiri dan kanan tetapi versi selepasnya, kedua-dua paip ekzos diletakkan di sebelah kanan agar labaih bergaya dan sofistikated.

3. Kawasaki ZXR 750H1 89

  1. Kawasaki ZXR750

Inilah antara motosikal paling ganas tahun 90-an. Kenapa? kerana ramai mengatakan suspensi belakang motosikal ini cukup keras (macam batu daa) tetapi setelah beberapa pengubahsuaian di lakukan terutamanya pada bahagian perlumbaan, ia lebih selesa ditunggang di atas jalan.

Mungkin setup asalnya ialah khusus untuk kegunaan perlumbaan. Ia juga sebuah motosikal yang berkuasa tetapi pada masa yang sama, agak berat.

Walaupun ia agak lasak tetapi biasanya enjinnya perlu diperiksa semula selepas 50,000km bergantung kepada cara ia digunakan. Biasanya di Malaysia, ini cuma motor untuk kegunaan hujung minggu, jadi tiada masalah sangat. Ia juga didatangkan dengan versi tempat duduk tunggal khusus untuk kaki-kaki lumba.

2. suzuki TL1000s

  1. Suzuki TL1000S

Jangan terpedaya dengan rupa luaran motosikal ini. Jika rupa luaran menjadi ukuran memang ia nampak seperti sebuah sports tourer. Luaran memang nampak lembut tetapi ia memecut bagaikan seekor singa.

Sekali tengok pun dah dah tau yang motosikal ini mempunyai tempat duduk dan gaya tunggangan yang selesa. Masalah kawalan yang ada pada peringkat awal pengeluaran berjaya diatasi dengan menggunakan damper pada bar hendalnya. Popular dengan gelaran tank slide.

1. Yamaha R1

  1. Yamaha YZF-R1

R1 merupakan gambaran kepada masa hadapan motosikal selepas era 90-an. Ia dikuasakan enjin 998cc 20 injap yang mampu menjana 150bhp. Jika Fireblade merupakan peneraju utama dekad itu, R1 pula membuktikan pengurangan berat cukup bermakna dalam menambah kuasa sesebuah motosikal.

Penggunaan kotak gear piggyback bermaksud lengan ayun belakang mesti dipanjangkan lagi sekaligus membantu kestabilan. Model awalnya tidak mempunyai batasan kuasa dalam gear rendah jadi ia cukup digemari berbanding model terkini.

Kotak gearnya juga memerlukan penyelenggaraan yang rapi. Injap EXUP juga memerlukan perhatian yang sewajarnya sama seperti FZR1000R. Macamana jurutera Yamaha boleh terlepas pandang masalah macam ni?

KESIMPULAN

Inilah 10 motosikal sports terbaik era 90-an. Berbeza dengan suasana hari ini, tahun 90-an cukup menarik dengan adanya Litar Batu 3 Shah Alam dan saban malam minggu bergema dengan deruman ekzos jentera-jentera dua dan empat roda sedang menguji kemampuan masing-masing.

Zaman sekarang dah lain. Duduk ramai-ramai kat Dataran Merdeka sambil tunjuk helmet siapa yang paling mahal dan motor sapa paling rare katanya.

 

 

Google ads
Back to top button