Motosikal

KAWASAKI BAKAL PERKENAL SUPER TOURER DENGAN ENJIN NINJA H2 – 200BHP, LEBIH JIMAT MINYAK

Kawasaki dijangka memperkenalkan sebuah jentera super tourer dengan DNA Ninja H2 pada acara EICMA 2017 yang bakal berlangsung di Milan, Itali awal bulan depan.

Pengenalan model tersebut didakwa akan menukar pasaran motosikal touring yang laju dan mewah sepenuhnya. Jika benar-benar diproduksi, ia menjadi tourer pertama menggunakan teknologi supercharged yang menjanjikan kuasa, tork dan penjimatan bahan api.

Biarpun dikatakan akan menggunakan nama Ninja H2 SX, harus tahu bahawa ia bukanlah Ninja H2R versi touring semata-mata. Sebaliknya, pasukan jurutera Kawasaki memberi perhatian khusus ke atas aspek tujahan kuasa pada rpm rendah dan pengunaan petrol.

Maksudnya, ia mampu menawarkan kuasa seperti sebuah superbike. Tetapi penggunaan bahan apinya sama sepertu sebuah Versys 1000 dengan enjin aspirasi biasa. Sumber menyatakan bahawa enjin H2 tersebut telah ditala semula untuk menjana sekitar 200bhp bersama ciri boost supercharger boleh ubah.

Kawasaki pernah mempamerkan teknologi itu di Jepun yang menyaksikan bilah-bilah pada inlet supercharger dibuka dan ditutup oleh sebuah penggerak (actuator) mekanikal. Khabar angin menyatakan actuator itu telah ditukar dengan sebuah motor yang lebih kecil dan ringan, sekali gus berfungsi membekalkan udara ke enjin berdasarkan kepada input pendikit.

Sebagai sebuah super tourer mewah yang menjanjikan pengalaman tunggangan premium, Ninja H2 SX dilengkapi pelbagai sistem keselamatan terkini Kawasaki. Antaranya termasuklah sistem brek ABS ketika membelok, kawalan cengkaman, anti-wheelie dan beberapa mode tunggangan. Ia juga dijangka dibekalkan dengan sistem suspensi semi aktif, pertama pada jentera Kawasaki.

Ninja H2 SX dijangka ditawarkan pada harga bermula £20,000 (RM111,407), manakala varian lebih tinggi, Ninja H2 GT pula berharga £23,000 (RM128,200) seunit.

kredit foto: MCN

Google ads
Back to top button