Motosikal

KAWASAKI KLX150L

Peminat jentera off-road, enduro atau motocross kini mempunyai satu lagi pilihan apabila pihak Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. (Kawasaki Malaysia) melancarkan model KLX150L semalam. 

SONY DSC

Kawasaki Malaysia menyatakan bahawa model dual-purposes itu sesuai untuk kumpulan profesional atau mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan aktiviti sukan ekstrem tersebut. Ini kerana jentera itu dikatakan amat mudah untuk dikawal.

Mudahnya kawalan KLX150L dibuktikan menerusi aksi stunt yang dilakukan sebagai gimik pelancarannya. Bukan itu sahaja, acara yang dilakukan di litar motocross di Ulu Yam Selangor itu juga menyaksikan beberapa penunggang berpengalaman melakukan aksi ‘terbang’ di litar terbabit.

SONY DSC

Dengan pelancaran KLX150L, ia sekali gus menggantikan model sebelum ini iaitu KLX150S yang mula diperkenalkan pada tahun 2009.

“Dalam tempoh Januari hingga Jun 2014, sebanyak 900 unit KLX150S telah berjaya dijual. Untuk model KLX150L pula, kami mensasarkan jualan sekitar 2,500 unit atau peningkatan perkongsian pasaran mencecah 25 peratus setahun,” kata Pengurus Besar Kawasaki Malaysia, Jeffrey Lim.

SONY DSC

KLX150L telah menerima penambahbaikan yang signifikan berbanding model KLX150S. Antaranya, penggunaan roda hadapan lebih besar (21 inci), manakala roda belakang pula bersaiz 18 inci.

Kerangka keluli perimeter jentera itu lebih tegar. Keselesaan pula disumbang oleh kedudukan pelana yang menawarkan posisi tunggangan rendah. Kuasa mesin off-road itu dipacu oleh unit enjin empat lejang silinder tunggal, SOHC dua injap dengan sistem penyejukan cecair.

SONY DSC

Enjin  itu mampu menghasilkan kuasa mencecah 8.6kW @ 8,000rpm dan tork maksimum 11.3Nm @ 6,500rpm. Ia kemudian dipadankan bersama kotak gear lima kelajuan.

Tipikal sebuah enjin berkapasiti 150cc, bunyinya memang lembut dan gegarannya juga minimum. Kalau mahukan bunyi yang lebih garang, anda mungkin perlu bertukar kepada ekzos after market.

SONY DSC

Pengendalian lincah di atas laluan sukar banyak dibantu oleh sistem suspensi jenis fork teleskopik 33mm pada roda hadapan. Sementara roda belakang pula disokong oleh suspensi Uni-Trak yang boleh dilaras sehingga lima mode.

Tugas memberhentikan jentera itu diserahkan kepada brek cakera tunggal bersaiz 240mm dengan dua omboh pada roda hadapan dan brek cakera 190mm omboh tunggal di belakang. Dengan kapasiti tangki sebanyak 7.0 liter, anda tidak perlu kerap mengisi minyak ketika seronok melayan laluan off-road.

SONY DSC

Kawasaki sememangnya antara syarikat motosikal yang agresif dalam memperkenalkan barisan produknya. Buktinya, dalam tempoh lapan bulan, Kawasaki Malaysia telah melancarkan lima model baharu Kawasaki iaitu Ninja 1000, Z1000, Ninja 250SL, Z250SL dan KLX150L.

Pelancaran-pelancaran tersebut jelas menunjukkan kesungguhan Kawasaki Malaysia untuk tampil dominan, selain merancakkan pertumbuhan pasaran motosikal tempatan.

SONY DSC

KLX150L didatangkan dalam dua warna menarik iaitu hitam dan hijau yang menjadi warna signatur Kawasaki. Jika berminat, jentera lasak ini ditawarkan pada harga RM9,389 seunit. Ia hadir bersama jaminan selama dua tahun atau perbatuan sejauh 20,000 kilometer (mana-mana tiba dahulu).
[hr]GALERI

SONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSCSONY DSC

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button