KAWASAKI KLX250 2018 – MOTOSIKAL PILIHAN PEMINAT OFF-ROAD

SHARE

Seperti yang telah dijadualkan, acara American International Motorcycle Expo (AIMExpo) sedang berlangsung di Columbus, Ohio, Amerika Syarikat (AS). 

Banyak sekali motosikal tahun 2018 dipertontonkan kepada umum. Antara yang menarik perhatian ialah model dual purposes berkapasiti kecil daripada Kawasaki, KLX250. 

Jentera itu dilihat meneruskan DNA rekaan model KX yang sememangnya boleh diharap untuk tunggangan di bandar dan off-road. Malah, ia juga telah menerima banyak penambahbaikan berbanding model terdahulu. 

KLX250 kini menggunakan khidmat enjin baharu yang lebih moden, kompak dan ringan. Enjin DOHC bersesaran 250cc itu dilengkapi sistem penyejukan cecair dan sistem pancitan bahan api untuk meningkatkan penjimatan bahan api serta prestasi.  

Ia menggunakan sistem penghidup enjin elektrik dan Kawasaki Automatic Compression Release (KACR). KACR berfungsi menaikkan injap ekzos secara automatik dan memudahkan enjin dihidupkan.  

Enjin itu juga menampilkan satu silinder electro-fusion. Maksudnya, ia memiliki satu lapisan yang boleh menahan kepanasan dan lebih ringan. Pada masa yang sama memastikan minyak enjin berada pada tahap optimum dan mengelakkan masalah calar. Satu sistem ekzos tahan karat baharu kemudian melengkapkan senarai penambahbaikan tersebut. 

Enjin itu diletakkan di dalam kerangka tiub yang nipis dan tegar demi memberikan keupayaan mengambil selekoh dan stabil ketika ditunggang di laluan lurus. Fork bersaiz 43mm dengan 16 pelarasan redaman dipasang pada rida hadapan, menjanjikan prestasi terbaik di jalan biasa dan off-road dengan kadar travel mencecah 255mm.  

Untuk roda belakang pula, suspensi Uni-Trak menawarkan aspek penyerapan hentakan dan kestabilan. Sama seperti fork roda hadapan, suspensi dengan travil 230mm ini boleh dilaras mengikut kesesuaian. 

Motosikal itu didatangkan dengan rim bersaiz 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang. Tugas membrek diserahkan kepada angkup dua omboh dengan cakera 250mm di hadapan dan omboh tunggal untuk cakera bersaiz 240mm pada roda belakang. 

Di pasaran AS, KLX250 akan mula ditawarkan pada Oktober. Ia hadir dalam dua pilihan warna iaitu hijau pada harga AS$5,349 (RM22,500) dan kelabu yang berharga AS$5,549 (RM23,300) seunit.

Share this post

scroll to top