Motosikal

KAWASAKI LANCAR EMPAT MODEL BAHARU – VERSYS-X 250, Z900 ABS, NINJA 650 ABS & Z650 ABS

Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. (KMM) malam semalam buat pertama kalinya melancarkan empat model baharu sekaligus untuk pasaran tempatan.

Model tersebut ialah Kawasaki Z900 ABS, Kawasaki Z650 ABS, Kawasaki Ninja 650 ABS dan Kawasaki Versys-X 250. Menjadi pertaruhan terbaharu Kawasaki untuk tahun 2017, KMM yakin model baharu ini dapat membantu dalam mendapatkan semula  penguasaan pasarannya

“Saya yakin KMM akan kekal kompetitif dan dapat mengharungi tempoh yang sukar ini. KMM sentiasa memahami gaya hidup pengguna dan memperkenalkan produk yang kena dengan selera mereka,” kata Pengerusi Eksekutif KMM, Ahmad Faez Tan Sri Yahya.

Lebih menarik lagi, harga semua model yang dibawa masuk dari Thailand ini cukup kompetitif.

VERSYS –X 250: bawah RM25,000

Kawasaki Versys-X 250 ialah motosikal yang dijangka mendapat sambutan hangat daripada pengguna tempatan. Sudahpun dilancarkan di Indonesia, ia nyata mencipta segmen baharu iaitu jentera touring bersesaran kecil.

Dilihat sebagai model yang cukup sesuai untuk sesiapa sahaja, Versys-X 250 mampu mengharung laluan biasa dan off-road tanpa sebarang masalah. Dikuasakan oleh enjin  empat lejang Parallel Twin dengan sistem penyejukan cecair, ia mampu menjana kuasa mencecah 34PS dan tork 21.7Nm. Kuasa itu disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear enam kelajuan.

Karekter sebuah model touring diserlahkan menerusi penggunaan penyerap hentak yang panjang, bar hendal lebar, selain boleh dipasang dengan pelbagai aksesori. Versys-X 250 dilengkapi rim lidi bersaiz 19 inci di depan dan 17 di belakang.

Walaupun hanya bersesaran 250cc, jentera ini kelihatan agak besar. Anda juga tidak perlu bimbang untuk berjalan jauh kerana tangki motosikal ini berkapasiti 17 liter.

Berbanding tiga model  lain, Versys-X 250 yang hanya satu warna iaitu hijau dan dijangka berada di pasaran sedikit lewat iaitu sekitar suku kedua tahun ini.

Z900 ABS: bawah RM58,000

Z900 ialah model terbaharu dalam keluarga Z Supernaked. Ia menggantikan jentera Z800 yang cukup popular di Malaysia. Model ini tampil dengan rekaan sugomi yang agresif dan sporty.

Z900 digerakkan oleh enjin empat selinder sebaris yang mampu menghasilkan kuasa 125PS dan tork 98.6Nm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan. Penggunaan kerangka Trellis serba baru yang lebih ringan nyata membantu menawarkan pengendalian yang lincah.

Model ini hadir dalam skim warna kelabu. Manakala Z900 Edisi Khas didatangkan dalam warna biru. Bukan itu sahaja, ia juga dilengkapi aksesori seperti grafik khas, tempat duduk tunggal, penutup meter, DC outlet, pelindung radiator, slider, penutup enjin, slider gandar depan, pad tangki dan pad lutut.

NINJA 650 ABS: bawah RM38,000

Ninja 650 ABS mengekalkan DNA rekaan sebuah jentera Ninja dengan fairing penuh. Penampilan agresifnya diserlahkan menerusi bentuk fizikal yang tirus dan padat. Ia juga menjanjikan prestasi yang sporty untuk penunggangnya.

Enjin empat lejang Parallel Twin dengan sistem penyejukan cecair api itu mengutamakan kuasa pada julat rpm rendah dan sederhana. Dengan sistem pancitan bahan api yang menjimatkan, ia mampu menjana kuasa 68PS dan tork 65.7Nm.

Bakal berada di pasaran sekitar Mac depan, Ninja 650 ABS hadir dalam dua pilihan warna, hijau dan oren.

Z650 ABS: bawah RM37,000

Versi naked kepada Ninja 650 ini kelihatan begitu garang. Pengandaliannya yang lincah dan mudah nyata ideal untuk memenuhi keperluan penunggang baru atau lebih berpengalaman.

Talaan enjin bersesaran 649cc itu dibuat bagi menawarkan tindak balas pendikit yang lebih responsif. Prestasinya diseimbangkan dengan penggunaan brek cakera berkembar berdiameter 300mm di hadapan dan cakera 220mm tunggal di belakang.

Dikuasakan oleh enjin yang sama dengan model Ninja 650, Z650 ditawarkan dalam dua warna iaitu hijau dan titanium.

Dah buat keputusan nak beli yang mana satu? Mungkin dah boleh jelling-jeling buku bank atas almari tu.

Google ads
Back to top button