Motosikal

KAWASAKI VERSYS 2017 – LEBIH MASKULIN LEBIH SPORTY

Tahun 2016 sudah hampir sampai ke suku akhir dan banyak model-model untuk pasaran 2017 mula diperkenalkan. Dengan persaingan yang sengit antara pengeluar membuktikan pasaran motosikal sememangnya tidak pernah sunyi.

Antara yang terbaru ialah Kawasaki Versys 650 2017. Kawasaki Versys khususnya model 650 memang cukup popular berikutan harganya yang tidak terlalu arwah berbanding model-model lain. Ia juga merupakan model yang paling popular untuk mereka yang baru ingin berjinak dengan dunia touring bike.

Jika diperhatikan dengan teliti, Versys 2017 ini banyak berkongsi gaya dengan Versys 1000 terkini. Jika ada perbezaan pun cuma pada bahagian ekzos, pelindung tangan dan juga tongkat tengah. Bahagian braket dan fairing atas juga direka semula agar lebih menarik namun masih belum didedahkan sepenuhnya.

Versys 2017 (4)

Tapi Kawasaki sudah memberikan gambaran awal tentang beberapa ciri dalaman baru contohnya bahagian komponen dalaman terutamanya sistem penjimat bahan api untuk versi terbaru ini. Berdasarkan maklumat ini jarak penggunaan bahan api akan menjadi lebih efisien dan jimat.

Apa yang pasti, berdasarkan gambaran awal, sememangnya Versys baru ini akan kelihatan mirip saudara terdekatnya iaitu Versys 1000 tetapi dengan peredam bunyi yang lebih kecil, tongkat tengah dan cermin pandang belakang yang pendek tetapi lebih lebar.

Berikut kami senaraikan ciri-ciri perbezaan yang nyata untuk pengetahuan anda. Secara asasnya model 2017 ini kelihatan lebih aerodinamik dan “tajam” berbanding model sedia ada.

Versys 1000 LT

Pada bahagian hadapan khususnya bahagian pelindung bawah, ia kini berbentuk lebih tajam untuk disesuaikan dengan rekaan keseluruhan motosikal ini yang lebih aerodinamik. Sump guard asal yang besar dan terbonjol kini digantikan dengan rekaan yang lebih kemas dan melekap kemas pada bahagian kotak enjin. Ia hampir mneyerupai rekaan gaya Africa-Twin.

Bahagian pelindung kerangka atas yang agak terdedah sebelum ini kini dipanjangkan lagi sehingga ke bahagian sisi motosikal. Ini menambahkan lagi ciri aerodinamik motosikal dan menjadikannya berbeza berbanding sebelum ini. Pelindung atas pula bersambung dengan bahagian tangki petrol tetapi kelihatan sedikit kecil berbanding sebelumnya.

Pemegang cermin pandang belakang pula lebih pendek untuk model 2017 tetapi paparan cermin adalah lebih lebar. Bahagian skrin pelindung angin pula kelihatan sama tanpa sebarang perubahan.

Versys 2017 (5)

Bahagian tangki petrol pula kelihatan lebih progresif bermula dari hujung tempat duduk dan sedikit menaik di bahagian depan, mungkin untuk memastikan kapasiti petrol kekal sama seperti sebelumnya. Bahagian hadapan tangki terpaksa ditinggikan sedikit untuk menyediakan ruang ruang kepada system penjimat bahan api yang dipasang di bahagian bawah tangki.

Tempat duduknya kini dilaras kembali dan dilebarkan sedikit untuk membolehkan penunggang berada dalam keadaan yang selesa sewaktu berdiri di lampu isyarat. Ingat ini merupakan sebuah motosikal adventure. Tempat duduk pembonceng juga didatangkan dalam bentuk baharu yang membolehkan mereka duduk dengan lebih selesa dan kemas.

Pemegang belakang kini merupakan gabungan pemegang dan juga braket untuk rak bagasi. Jika sebelum ini pemegang ini diletakkan di hujung tempat duduk penumpang kini ini diletakkan jauh ke belakang jika ada keperluan untuk pemasangan rak bagasi. Posisi ini juga dikatakan akan menjadi spesifikasi standard untuk semua model 2017.

Versys 2017 (1)Sub-kerangka belakang dan dilengkapi perehat kaki pembonceng diberi sentuhan baru agar kelihatan lebih kemas.

Tabung ekzos ataupun peredam bunyi masih lagi mengekalkan rekaan yang sama tetapi kini kelihatan sedikit nipis dan lebih rata berbanding model semasa. Bahagian lengan buai belakang juga kelihatan berbeza untuk model baru ini. Antara perubahan yang dilakukan ialah bahagian atas lengan buai asal telah dibuang agar kelihatan lebih kemas.

Itulah antara perubahan yang dapat diperhatikan pada model 2017.  Sejak dilancarkan Versys 650 merupakan sebuah model yang penting yang laris bagi Kawasaki di Malaysia. Model 2016 memang sudah cukup mengancam sehinggakan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan pun sudah menggunakan model ini untuk peronda bermotosikal mereka. Susahlah kita nak mencilok lepas ni.

Google ads
Back to top button