Artikel PilihanMotosikal

LOGO “MISSION WINNOW” DISIASAT KERANA DIDAKWA MIRIP MARLBORO

Syarikat gergasi pengeluar tembakau antarabangsa Philips Morris International sedang berdepan siasatan berikutan penggunaan logo terbaru mereka “Mission WInnow”.

Berita ini datangnya dari Australia di mana siasatan itu bermula hanya sebulan sebelum Grand Prix Formula Satu Melbourne yang dilakukan oleh pihak berkuasa Australia. Logo tersebut dikatakan melanggar peraturan undang-undang kawalan tembakau, termasuk peraturan pengiklanan.

Philip Morris dan Ferrari mempunyai perjanjian penajaan yang lumayan sejak beberapa dekad yang lalu dengan warna merah dan putih yang terkenal pada kereta lumba serta pakaian seragam mereka. Iklan Ferrari dengan tema warna itu juga mempunyai sejarah yang memaparkan logo rokok Marlboro sebelum industri tembakau diharamkan dari membuat penajaan secara terbuka.

Penjenamaan baru yang menampilkan logo putih pada latar belakang merah – dikatakan sebagai amat mirip kepada logo Marlboro. Kini dikenali sebagai “Mission Winnow”.

Sejak tahun 2007, kawalan ketat terhadap pengiklanan tembakau di seluruh dunia telah membawa kepada penghapusan jenama rokok secara beransur-ansur, dan pasukan F1 Ferrari secara rasmi menurunkan “Marlboro” dari kereta dan seragam Ferrari pada tahun 2011.

Namun begitu, prasangka terhadap logo baru ini muncul Oktober lalu pada Grand Prix Jepun 2018 kerana dikatakan bahawa Philip Morris cuba mengekalkan penjenamaannya di mata awam – walaupun jelas larangan pengiklanan tembakau telah berkuatkuasa.

Pada perlumbaan tersebut, kereta Ferrari berlumba dengan logo baru yang ditaja oleh Philip Morris, dipanggil Mission Winnow.

Logo Misi Winnow adalah panjang, dan mengingatkan kepada bentuk sebatang rokok. Sementara “lengkok” pada hujungnya adalah serupa dengan logo Marlboro.

Siasatan dilakukan oleh Department of Health and Victoria’s Department of Health and Human Services Australia dan sebenarnya ini bukanlah kes yang pertama.

Terdahulu, Philip Morris dan Ferrari pernah menggunakan rekaan “barcode” yang kontroversi pada Logo Ferrari dan Ducati pada 2010. Protes antarabangsa dibuat kerana ramai mendakwa bahawa ia adalah iklan tembakau tanpa sedar. Ferrari dan Philips Morris kemudiannya menghapuskan logo tersebut.

Motor Ducati Desmosedici GP19 adalah musim pertama kerjasama Ducati dan Mission Winnow dan apakah nasibnya nanti?

Ramai berpendapat bahawa Mission Winnow berhadapan masalah serius. Ini kerana dalam sukan motor, isu penajaan rokok adalah sangat sensitif.

Google ads
Back to top button