MAHINDRA MAHU BELI NORTON ATAU BSA?
Pengeluar kenderaan utama di India, Mahindra and Mahindra dilaporkan sedang menimbang untuk membeli salah satu jenama ikonik Britain iaitu Norton atau BSA.
Pegawai daripada kedua-dua jenama itu dikatakan telah berjumpa dengan pihak Mahindra. Pengumuman mengenainya dijangka dibuat dalam tempoh tiga hingga enam bulan lagi.
Sudahpun mempunyai kedudukan yang baik dalam arena perlumbaan motosikal, Mahindra kini berada di posisi keenam dalam Moto3 dunia. Namun, Mahindra dilihat mahu lebih aktif dalam segmen motosikal.
Setakat ini, Mahindra sudah membeli saham majoriti dalam divisyen skuter Peugeot Citroën Automobile Group pada awal tahun lalu. Namun, Mahindra masih belum mempunyai motosikal dengan enjin bersesaran lebih tinggi.
Norton kembali berada pasaran motosikal. Biarpun tidak lagi menikmati populariti seperti beberapa dekad lalu, tetapi rangkaian pengedarnya kian bertambah dan ada beberapa model sedang diproduksi.
Sedangkan jenama BSA pula sudah mati. Apa yang ada hanyalah simbol. Namun, dengan poket yang tebal, Mahindra dilihat tidak berdepan masalah besar untuk menghidupkan kembali jenama tersebut dan membina motosikal baharu.
Dengan menggunakan keupayaan dan pengalaman pengilangan Peugeot, jenama motosikal baharu Mahindra dilihat cukup menarik bersama tawaran harga yang kompetitif.