Motosikal

MAHU LEBIH POWER? PASANG ECU TUNEBOSS

Anda ada motosikal Yamaha R25, Yamaha Lagenda 115z dan Honda RS150R? Mahu tingkatkan kuasa motosikal dengan hanya memasang ECU dan boleh dikawal menggunakan telefon pintar atau tablet?

Maka, anda perlukan TuneBoss keluaran sebuah syarikat bumiputera, FSR Technology. Sebelum ini, TuneBoss boleh digunakan pada Yamaha FZ150i, Yamaha M-Slaz dan Yamaha Y15ZR yang juga dikenali sebagai Exciter150 atau MX King di pasaran Thailand.

Harga yang ditawarkan ialah RM999 untuk Yamaha R25, RM499 (Yamaha Lagenda 115z) dan RM599 (Honda RS150R).

“Kami memilih model-model ini kerana ia merupakan antara motosikal paling popular di Malaysia. Buat masa sekarang, ECU TuneBoss masih belum ada untuk skuter.

“Cuma di pasaran Thailand, kami ada menghasilkan TuneBoss untuk Honda PCX,” jelas salah seorang pengasas FSR Technology, Farhan Mohamad Ali.

Secara ringkasnya, ECU TuneBoss berfungsi meningkatkan kuasa enjin dengan cara menukar talaan pada sistem enjin. Antaranya, mengubah campuran nisbah bahan api/udara pada sistem pembakaran dan kadar nyalaan palam pencucuh.

Jika di litar lumba pula, ECU TuneBoss boleh mengaktifkan ciri Race Package yang menambah baik fungsi Quick Shifter dan Launch Control.

Semua fungsi TuneBoss boleh dikawal menggunakan telefon bimbit atau tablet Android melalui aplikasi TuneBoss Manager yang dimuat turun secara percuma. Sambungan kepada ECU TuneBoss pula dilakukan melalui Bluetooth, tanpa sebarang wayar.

Melalui aplikasi tersebut, TuneBoss mampu memberi bacaan atau amaran yang jelas dan mudah difahami oleh pengguna. Data logging berkapasiti tinggi boleh dibuat melalui aplikasi Android ini.

Keselamatan rider tidak diabaikan. Aplikasi TuneBoss akan menghantar isyarat  kecemasan melalui SMS jika motosikal didapati terjatuh dan tiada respon daripada penunggang. Lokasi GPS terkini turut disertakan di dalam SMS tersebut.

Walaupun mempunyai fungsi yang mengagumkan, pemasangan TuneBoss adalah sangat mudah, hanya Plug and Play. Tiada sebarang pendawaian diperlukan kerana TuneBoss menggunakan penyambung OEM yang sama seperti ECU asal. Setakat ini, TuneBoss telah dijual di seluruh dunia termasuk Thailand, Filipina, Vietnam, Eropah dan Mexico

Kemampuan TuneBoss telah terbukti di litar lumba. Pasukan KKMR RNM TUNEBOSS Racing menjuarai perlumbaan pertama KBS-MAM Kapcai Endurance. Ini merupakan kali pertama motorsikal fuel injection memenangi acara tersebut.

ECU TuneBoss akan gunakan oleh pasukan TKKR Racing dalam perlumbaan Cubprix 2017 (Yamaha Y15) dan ARRC (Yamaha R25).

Pada majlis pelancaran TuneBoss, FSR Technology turut menyampaikan hadiah kepada pemenang cabutan bertuah yang berlangsung dari 15 Januari ke 15 Februari 2017.

Pemenangnya, Muhammad Zulhanif Hamidon menerima sebuah Honda RS150R yang lengkap dengan ECU TuneBoss.

FSR Technology ditubuhkan pada tahun 2011 oleh Farhan dan Mohd Sufian Zamali yang merupakan jurutera elektronik. Visi mereka adalah untuk membina syarikat berteraskan “Research & Development” bagi mereka bentuk produk terbaik.

Mereka mengambil masa tiga tahun melakukan R&D untuk menghasilkan ECU TuneBoss melalui pembiayaan sendiri dan geran pembangunan daripada Cradle Fund Sdn. Bhd., sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan.

Maklumat lanjut, sila layari laman www.tuneboss.co atau laman Facebook: www.facebook.com/fsrtech

BACA: TUNGGANG UJI – HONDA RS150R, JAGOAN HONDA SUDAH KEMBALI!

BACA: INILAH RAJA KAPCAI – YAMAHA Y15ZR!

GALERI

Google ads
Back to top button