Motosikal

MAHU MOTOSIKAL BAJET? SM SPORT 110R MUNGKIN PILIHAN SESUAI – RM3,788 SAHAJA

Mforce Bike Holdings yang berpengkalan di Pulau Pinang semalam mengumumkan pelancaran jenama motorsikal pertamanya, SM Sport. 

Pengeluar yang turut bertanggungjawab ke atas jenama SYM dan Benelli itu turut memperkenalkan model pertamanya iaitu SM Sport 110R.

Kapcai yang cuma berharga RM3,788 (tidak termasuk GST, insurans dan cukai jalan) itu disasarkan untuk pembeli motosikal pertama. Pada masa sama mahukan sebuah motosikal yang bergaya, tahan lasak dan mesra alam dengan harga yang berpatutan.

Bagi menghasilkan SM Sport 110R, Mforce Bike Holdings telah menjalin kerjasama melibatkan aspek pemindahan teknologi dengan Qian Jiang Motorcycle (pemilik jenama Benelli). Harus tahu bahawa 30 peratus alat ganti dan aksesori pada motosikal ini adalah buatan tempatan. Jumlah itu akan ditingkatkan kepada 60 peratus pada masa akan datang.

SM Sport 110R menggunakan khidmat enjin SOHC bersesaran 109cc dengan sistem penyejukan udara. Mematuhi piawaian Euro3, ia mampu menjana kuasa mencecah 6.4hp  pada 7,500rpm dan kuasa tork 7Nm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan.

Rangkaian kuasa tersebut membolehkan SM Sport 110R memecut sehingga 115km/j. Tahap penggunaan bahan api pula sekitar 180km untuk satu tangki minyak berkapasiti empat liter.

Tampil sporty, jentera tersebut dilengkapi lampu nyalaan siang (DRL), lampu membelok hadapan dan belakang LED, serta rim bersaiz 17 inci . Ia juga dipasang dengan suspensi belakang Kayaba (KYB), suis anti-kecurian, satu port USB 5V, ruang penyimpanan seluas 10 liter dan tayar tanpa tiub.

SM Sport 110R didatangkan dalam tiga pilihan warna yang menarik – kuning Bumblebee, biru Ocean dan merah Ruby. Ia juga hadir bersama jaminan selama dua tahun atau perbatuan sejauh 20,000km (mana-mana tiba dahulu) dengan selang servis setiap 2,500km.

SM Sport 110R boleh didapati di semua pengedar SYM dan Benelli mulai hari ini.

“Mforce Bike Holdings merancang untuk mengeskport SM Sport 110R ke pasaran Asia seperti Indonesia, Singapura, Sri Lanka dan sebagainya. Kami juga akan menawarkan lebih banyak model moped SM Sport dengan kapasiti enjin di antara 110 hingga 150cc,” jelas Pengurus Besar Operasi Mforce Bike Holdings, Asri Ahmad.

BACA: BENELLI LANCAR SUPER MOPED RFS150i – RM6,988!

GALERI

Google ads
Back to top button