Motosikal

MENUNGGANG MOTOSIKAL BOLEH KURANGKAN TEKANAN – KAJIAN

Memandu menempuh kesesakan jalan raya memang boleh membuatkan sesiapa sahaja rasa tertekan. 

Sebab itu ramai yang memilih untuk menunggang motosikal ke tempat kerja, terutama bagi mereka yang tinggal di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pasir Mas.

Namun, bukan semua pandai tunggang motosikal. Ada yang hanya pandai pose acah-acah macam mat rempit, pulas minyak, lepas tu pandang belakang. Tapi pergi jalan bonceng dengan orang lain. Eh, jangan terasa pula, abang Japar cakap sahaja berdasarkan kepada pemerhatian. 

Baiklah, sebenarnya ada kajian menunjukkan bahawa menunggang motosikal boleh melegakan tekanan. 

Kajian tersebut dijalankan oleh sepasukan saintis daripada Institut Semel untuk Sains Neuro dan Tingkaah Laku Manusia, UCLA. Dibiayai oleh Harley-Davidson, kajin itu berjaya memperoleh beberapa dapatan menarik mengenai kesan menunggang motosikal. 

Ini termasuklah seseorang akan menjadi lebih fokus serta dapat mengurangkan tahap kortisol, hormon yang dikaitkan dengan tekanan. Dapatan itu adalah berdasarkan kepada ukuran yang diambil daripada 50 orang penunggng motosikal berpengalaman selepas menunggang selama 22 minit. 

Pasukan penyelidik itu melihat kepada aktiviti elektrikal otak, kadar degupan jantung, adrenalin, noradrenaline responden yang diukur sebelum, ketika dan selepas menunggang motosikal. 

Pembolehubah sama turut diukur sebelum, ketika dan selepas responden memandu kereta, kemudian berehat.

Hasilnya, kajian itu mendapati menunggang motosikal selama 20 minit boleh meningkatkan tahap degupan jantung sebanyak 11 peratus, tahap yang sama dicapai apabila melakukan senaman ringan. Peningkatan kepekaan pula sama seperti seseorang yang minum secawan kopi.  

Dapatan yang paling menarik ialah menunggang motosikal memberi kesan positif kepada tekanan. Ia mampu menurunkan kadar hormon sebanyak 28 peratus berbanding aktiviti-aktiviti yang diukur. Harley-Davidson bagaimanapun tidak menyatakan apakah aktiviti tersebut.  

“Tahap tekanan terutama dalam kalangan muda sentiasa meningkat. Jadi, mereka sentiasa mencari jalan untuk menambah baik tahap kesihatan mental dan fizikal masing-masing. Sehingga kini, teknologi untuk mengukur kesan aktiviti menunggang motosikal kepada otak tidak wujud,” kata ketua pakar neurosaintis, Don Vaughn. 

Kajian bertajuk “Kesan Mental dan Fizikal daripada Menunggang Motosikal” itu akan dibentangkan sepenuhnya pada hujung tahun ini.

Google ads
Back to top button