Motosikal

MOTO GUZZI V7 III CARBON – ADA ENAM UNIT SAHAJA DI MALAYSIA, RM74,900

Didi Resources, pengedar dan pengimport sah motosikal Moto Guzzi di Malaysia memperkenalkan model baharu dalam keluarga Moto Guzzi V7 III, V7 III Carbon.

Terhad kepada 1,921 unit sahaja di dunia, hanya enam unit jentera itu ditawarkan ke pasaran tempatan. Jika berminat, V7 III Carbon boleh anda miliki pada harga RM74,900 seunit.

Untuk pengetahuan, 1,921 unit itu merujuk kepada tahun Moto Guzzi ditubuhkan (tahun 1921).

Komponen gentian karbon

V7 III Carbon dibezakan menerusi beberapa komponen yang diperbuat daripada gentian karbon seperti fender dan fairing sisi. Hadir dalam warna hitam matte. Manakala enjin, logo dan angkup brek Brembo dikontraskan dengan warna merah.

Pelana pula menggunakan kemasan kulit Alcantara kalis air dan tahan cuaca dengan jahitan benang merah.

Apabila diteliti dengan lebih dekat, motosikal itu nyata istimewa apabila didatangkan bersama penutup tangka minyak yang dibuat daripada aluminium anodized dan perumah lampu utama berwarna hitam. Nombor siri motosikal dikenal pasti menerusi satu plat pada bar hendal.   

Mula dijual pada tahun 1967, V7 menjadi model penting buat Moto Guzzi. Selepas lebih 50 tahun, V7 III kini sudah memasuki generasi ketiga.

Ia masih mengekalkan gaya dan personaliti yang membetuk warisan motosikal buatan Itali ini. Buktinya, tangki minyak besi berkapasiti 21 liter itu.

V7 III Carbon dikuasakan oleh enjin dua silinder transversal V yang mampu menjana 52hp dan tork maksimum 60Nm pada 4,900rpm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak geat enam kelajuan yang diambil daripada model V7II.  

Dari segi keselamatan, model entry level ini dipasang dengan brek ABS dan sistem kawalan cengkaman (Moto Guzzi Traction Control, MGTC) dengan dua tahap sensitiviti yang boleh dinyahaktifkan.

 

Platform Media Moto Guzzi

Platform multimedia ditawarkan sebagai opsyen kepada rangkaian model V7 III. Sistem itu membolehkan penunggang untuk menyambungkan motosikal dengan telefon pintar.

Satu aplikasi khas membolehkan anda melihat lima parameter seperti speedometer, kaunter rev, kuasa tork semasa, pengunaan bahan api, purata kelajuan, longitudinal pecutan dan voltan bateri.

Anda juga boleh merekod maklumat tunggangan dan melihatnya di komputer. Kemudian analisa laluan yang telah diambil dan menilai parameter operasi motosikal.

Pilihan aksesori

Selepas kejayaan yang dicapai oleh V7 dan V7 II, Moto Guzzi Garage ini menawarkan rangkaian aksesori luas kepada pengguna. Semua komponen ini bukan cantik sahaja, tetapi telah diuji secara ekstensif.   

Antara aksesori yang ditawarkan ialah ekzos Arrow 2 dalam 1, pegas gegelung penyerap hentak berwarna merah, fairing sisi aluminium, penutup tangki, cermin utama kit beg sisi kulit, pelana tunggal, tuil brek dan klac aluminium serta banyak lagi.

Moto Guzzi V7 III Carbon kini boleh dilihat dari dekat di The Gasket Alley, Petaling Jaya dan Sheng Fatt Sdn. Bhd, Pulau Pinang. Maklumat lanjut, sila layari laman web: http://www.motoguzzi.com/my_EN/ atau Facebook motoguzziMY

GALERI 

Google ads
Back to top button