Motosikal

PENAMBAHAN BARU TRIUMPH BONNEVILLE

Triumph merancakkan lagi tawaran model oldskul untuk tahun 2017 apabila memperkenalkan tiga jentera ke dalam rangkaian Bonneville.

Dikenali sebagai T100, T100 Black dan Street Cup, semuanya dipacu oleh enjin bersesaran 900cc parallel twin. Enjin itu telah ditala untuk memberi lebih tork dan penjimatan. Maksimum tork 80Nm boleh dicapai pada takt 3,200rpm. Ia juga menghasilkan bunyi yang lebih garang.

Triumph-Bonneville-2017-mekanika (11)

Paling menyerlah pastinya model Street Cup yang mengekalkan DNA sebuah cafe-racer. Ketiga-tiga motosikal ini didatangkan dengan fly screen, bar hendal lebih rendah dan cowl tempat duduk yang boleh dibuka.

Roda hadapan dipasang dengan angkup dua omboh Nissan bersamacakera terapung yang dilengkapi sistem ABS sebagai satu ciri standard. Penampilannya diserlahkan lagi dengan sepasang peredam ekzos tahan larat.

Triumph-Bonneville-2017-mekanika (7)

Jika itu tidak cukup, pelanggan boleh memilih daripada 120 aksesori yang ditawarkan oleh Triumph. Anda juga boleh mendapatkan Street Cup dalam skim warna kuning perak atau hitam perak.

Beralih kepada T100 dan T100 Black pula, ia sebenarnya motosikal sama yang dibezakan oleh skim warna. Ia tampil sebagai model entry level untuk rangkaian Bonneville menerusi harga dan berat yang lebih rendah berbanding model T120.

Triumph-Bonneville-2017-mekanika (6)

Dari segi gayaan, T100 dan T100 Black diinspirasikan daripada model 1959 Bonneville. T100 hadir bersama penutup enjin brushed aluminium, perumah cermin krom, mudguard dan bezel lampu utama gaya klasik. Motosikal ini ditawarkan dalam tiga padanan warna iaitu biru putih, oren putih dan hitam.

Seperti namanya, T100 Black hadir dalam warna hitam sepenuhnya. Tona warna itu dapat dilihat dengan jelas pada enjin, ekzos, rim dan penutup enjin. Ada dua tona hitam yang ditawarkan – Jet Black atau Matt Black.

Triumph-Bonneville-2017-mekanika (10)

Walaupun berpegang kepada imej klasik, ketiga-tiga jentera ini dilengkapi teknologi moden seperti lampu belakang LED, pendikit ride-by-wire, kawalan cengkaman, bantuan klac, pelumpuh enjin dan satu port USB.

Google ads
Back to top button