Artikel PilihanMotosikal

MOTOGP PROTON KR3 , KHAZANAH NEGARA DALAM KENANGAN…

Satu pagi di tahun 1997 (kalau tak salah ingatan), saya terbaca tentang berita Modenas menjalinkan kerjasama bersama pasukan Kenny Roberts dalam sebuah akhbar tempatan. Siapa tak kenal Kenny? Juara 3 kali MotoGP, Kenny Roberts adalah selebriti permotoran kelahiran Amerika yang sangat disegani waktu itu.

Sewaktu berlumba untuk pasukan Yamaha Racing beliau diberi kepercayaan penuh bersama sepasukan jurutera terbaik pada era tersebut untuk membina motosikal bersama mereka dengan memberi input perlumbaan. Dari situ beliau belajar tentang teknologi yang nampak mudah tetapi sebenarnya sangat rumit.

Memiliki semua jenis kepakaran yang melibatkan sukan lumba paling mahal dan paling kompetetif di dunia, King Kenny sangat dihormati di eranya. Beliau meneruskan kerjasama dengan Marlboro Yamaha Racing Team sehingga tahun 1996 sebagai pengurus pasukan. Selepas bersara beliau menubuhkan firma perlumbaan persendirian yang pada ketika itu adalah sangat mencabar untuk bersaing dengan jenama besar terutamanya dari Jepun. Sebut sahaja apa jenis perlumbaan masa zaman tu, semua dimonopoli oleh motor Jepun. Nasib baik masa ni Demak belum wujud.

proton kr3 kr5 (1)

Setahun selepas bersara, beliau kembali ke MotoGP bersama pasukannya Team KR. Ketika musim perlumbaan bermula, Kenny Roberts melancarkan motosikal dengan enjin 2 lejang 4 selinder V, kontradiksi dengan musim perlumbaan yang dimonopoli enjin 4 selinder sebaris. Walaupun kurang sukses pada musim pertama, beliau sedar potensi masa hadapan; tapi ada satu masalah, beliau kini berhadapan dengan kekangan kewangan dan fasiliti penyelidikan.

Beliau berusahaja mencari rakan strategik dan jodoh itu bertemu dengan satu syarikat motosikal kecil yang terletak di Kodiang, eh silap, Gurun Kedah. Modenas dilihat sebagai calon yang sesuai, sebuah syarikat “muda” yang baru ditubuhkan beberapa tahun masa tu. Namun dibawah seliaan Kawasaki, Modenas mempunyai fasiliti yang boleh dikongsi bersama Team KR.

proton kr3 kr5 (5)

Modenas-Team KR ditubuhkan untuk projek MotoGP pertama mereka. Kemudian pasukan ini membina enjin 2 lejang pertama dengan rekaletak aneh, V3 498cc. Ya enjin 3 selinder dipilih kerana Kenny Roberts yakin ia sebuah enjin yang mampu “menentang” dominasi 4 selinder 500cc buatan Jepun. Sebenarnya beliau belajar dari teknologi Honda NS500 yang ditunggang pesaingnya dahulu Freddie Spencer, satu-satunya mesin 3 selinder dalam kancah perlumbaan masa tu.

Ibarat enjin Viva nak lawan Myvi. Enjin V3 ini hanyalah sebahagian daripada teknologi perlumbaan. Teori untuk menang perlumbaan ini terletak pada capaian berat dan aerodinamik motosikal. Enjin V3 ini lebih ringan, namun cabarannya ialah menghasilkan kerangkan yang ringan juga lah. Dah penat-penat buat enjin ringan sekali casis berat serupa Ford Ranger macam mana nak menang?

proton kr3 kr5 (9)

Mereka bekerjasama dengan firma yang pakar membuat casis ketika itu. Nasib menyebelahi Team KR kerana Lotus mempunyai kepakaran sama dan kebetulan mereka juga dalam kumpulan DRB-HICOM yang sama di miliki Proton dan Modenas. Mereka juga bekerjasama dengan firma dari Prancis Tom Walkinshaw Racing (TWR) yang sangat arif dalam binaan kerangka Moto2 dan Moto3.

Enjin yang ringan dan kompak tadi membenarkan kerangka dibina lebih tirus dan nipis. Bahagian lain yang turut menyumbang aerodinamik ialah lengan ayun belakang, posisi radiator, kedudukan paip ekzos dalam badan dan beberapa bahagian lain. Pasukan Modenas-Team KR  akhirnya bersedia untuk perlumbaan pertama mereka pada 1997 dengan pelumba pilihan Jean Michel Bayle dan anak King Kenny, Kenny Robert Jr.

proton kr3 kr5 (8)

Namun persembahan pasukan ini tidak sukses kerana banyak faktor. Keseluruhan jentera ini masih lagi dikategorikan berat berbanding sasaran asalnya. Beberapa pengubahsuaian dan modifikasi dibuat oleh pasukan dengan kerjasama Lotus untuk perbaiki aspek aerodinamik. Perubahan pada kotak angin, sistem ekzos, rekabentuk dan bahan juga telah disesuaikan beberapa kali.

Menjelang tahun 2000, format perlumbaan 500GP semakin mencabar. Tiga tahun tanpa kejayaan yang boleh dibanggakan, sehingga musim terakhir mesin V3 ini ditunggang oleh pelumba Jepun Nobuatsu Aoki. Modenas terpaksa mengundur diri dan lebih baik jual Kriss MR1 dan Dinamik katanya.

Usahasama ini bagaimanapun tak berakhir begitu saja, pada 2001 sewaktu Tan Sri Tengku Mahaleel menerajui Proton, mereka mengambilalih pasukan ini dan kemudiannya dikenali sebagai Proton Team KR.

proton kr3 kr5 (6)

Ketika ini, perlumbaan bertambah sengit dengan majoriti pasukan mula beralih kepada enjin 4 lejang 990cc. Pada 2003, Proton KR3 merupakan satu-satunya jentera 2 lejang yang masih berlumba dan ternyata kelahiran “King” baru Valentino Rossi dengan pasukan Honda terus mendominasi tahun-tahun berikutnya. Sehinggalah hari ini, rangakaian RC213V adalah mimpi ngeri buat pasukan lain

Tidak mahu mengaku kalah, Team Proton KR melancarkan enjin baru yang diinspirasikan dari model Honda RC211V. Pasukan Formula Satu Lotus datang membantu mereka enjin 5 selinder V. V5, DOHC 20 injap, sejukan cecair yang sangat mirip dengan konfigurasi Honda RC211V. Malah kerangka dan aerodinamiknya juga mengambil idea mesin yang terbukti sukses tersebut.

Menjelang pusingan GP Mugello, Proton KR5 menggantikan mesin KR3 secara menyeluruh. Namun tak seperti yang diharapkan, ia gagal mencatat pencapaian yang membanggakan malah secara keseluruhannya persembahan dari mesin ini lebih buruk berbanding versi V3 2 lejang sebelum ini.

Ia ditunggang oleh anak bongsu Kenny Roberts, Kurtis Roberts dan kali terakhir berlumba pada MotoGP 2004. Jelas di penghujung musim, tidak banyak kejayaan yang dikutip dan ketika perniagaan semakin sukar, Proton terpaksa membuat keputusan yang perit.

proton kr3 kr5 (2)

Mereka terpaksa menarik diri meskipun sedar, perkongsian teknologi ini sangat berpotensi besar. Saya masih ingat lagi dalam satu kenyataan optimis Tan Sri Tengku Mahaleel yang berhasrat melihat Malaysia menghasilkan superbike sendiri. Masa tu semua rakyat berjimba-jimba ingatkan Modenas boleh keluarkan superbike lawan Ducati, tapi sampai sekarang mereka lena diulit mimpi.

Maka berakhirlah sejarah negara dalam keterlibatan terus pada perlumbaan paling berprestij di dunia. Team KR mencari haluan mereka sendiri dan pada 2005 mereka bersama pasukan KTM tapi cuma sempat habiskan 10 pusingan. Pada 2006, Team KR mendapat sokongan dari Honda dengan bekalan enjin 5 selinder dan berjaya habiskan musim dengan kedudukan ke enam keseluruhan termasuk 2 kemenangan podium.

Namun tak sempat meraikan kejayan tersebut kerana pada 2007, peraturan baru MotoGP memperkenalkan enjin 4 lejang 800cc. Team KR ternyata tidak mampu melabur lagi dan mereka terpaksa memadamkan impian meneruskan perlumbaan sama seperti kisah Petronas FP1 yang kini hanya tinggal kenangaaaaaaaaannnnn…….

 

 

Sumber:

Rmdmotors.com

Team KR

 

 

Google ads
Back to top button