Motosikal

ROSSI TAK PERCAYA DAPAT PETAK PERTAMA SESI KELAYAKAN DI LITAR MUGELL0 – KALI TERAKHIR TAHUN 2016

Pelumba berpengalaman Itali, Valentino Rossi membuktikan bahawa beliau masih berbisa apabila berjaya meraih petak pertama dalam sesi kelayakan di litar Mugello, Itali.

Rossi juga mencatat masa terbaik iaitu satu minit 46.208 saat. Ini merupakan kedudukan petak pertama beliau selepas kali terakhir melakukannya pada Grand Prix Jepun, Oktober 2016. Ini merupakan kedudukan pole yang ke-65 dalam kerjaya Rossi.

Sesi kelayakan MotoGP Itali itu menyaksikan dua orang pelumba Sepanyol, Jorge Lorenzo (pasukan Ducati) dan Maverick Vinales terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan ketiga. Manakala pelumba pasukan Honda, Marc Marquez akan memulakan perlumbaan esok di petak keenam.

“Saya sangat gembira, keputusan ini memang mengejutkan. Emosi yang cukup luar biasa. Pelumbaan esok pasti sukar, tetapi saya ingin menikmati momen ini,” kata pelumba berusia 39 tahun itu.

Prestasi memberangsangkan itu disambut gembira oleh pasukan dan ribuan peminat setianya di Itali.

Keputusan tersebut nyata mengejutkan pasukan Yamaha yang masih dibelenggu masalah elektronik pada jenteranya yang berlarutan sejak pertengahan tahun lalu. Apatah lagi prestasi Rossi ketika sesi latihan bebas kurang meyakinkan, biarpun sempat berada di kedudukan kedua terpantas selepas Marquez.

Litar Mugello menyaksikan Rossi menjadi juara MotoGP sebanyak tujuh tahun berturut-turut sejak 2002 hingga 2008. 

kredit foto: motogp.com

Google ads
Back to top button