Artikel PilihanMotosikal

SEJARAH DUNIA – KISAH DI SEBALIK NAMA ‘NINJA’ YANG DIGUNAKAN KAWASAKI SEHINGGA KINI

Kini sebut sahaja nama Ninja, semua peminat motosikal tahu yang ia adalah motosikal keluaran Kawasaki. Uniknya motosikal tidak macam kereta. Setakat ni kami tak pernah jumpa pemilik Honda atau Suzuki tampal stiker Ninja pada motosikal mereka. Kalau Proton Type R bersepah atas jalan.

Tapi tahukah anda yang nama ‘Ninja’ bukannya nama rasmi yang diberi oleh Kawasaki untuk produk motosikal keluaran mereka? Habis tu siapa bagi nama ni? Teruskan membaca. Kita selak sikit lembaran sejarah pada gelaran Ninja yang ada pada motosikal keluaran Kawasaki ni.

Model-model Ninja memang sinonim dengan Kawasaki yang mula mengeluarkan motosikal lebih dari setengah abad lalu dengan pengetahuan dan ilmu kejuruteraan hasil perusahaan membina enjin kapal terbang satu ketika dahulu. Kemasukan Kawasaki ke industri pembuatan motosikal dengan matlamat membangunkan lagi teknologi-teknologi baru untuk motosikal.

Pelbagai model baru diperkenalkan tahun demi tahun dan sedikit sebanyak membantu membentuk pasaran berdasarkan keunikan kejuruteraan mereka, motosikal yang berkuasa, rekaan dan keseronokkan pemanduan. Kesemua perkara disebutkan tadilah yang menjadi ramuan untuk menghasilkan model-model Ninja.

Kawasaki memasuki era sportbike pada tahun 1973 dengan motosikal Z1 keluaran mereka. Kemudian pada tahun 1984, Ninja 900RR diperkenalkan, juga merupakan sebuah sportbike yang juga dikenali dengan nama GPZ900RR. Ia merupakan sebuah sportbike termaju pada zaman itu dengan kombinasi gaya aerodinamik, casis berasaskan perlumbaan sebenar dan enjin empat selinder berprestasi tinggi sejukan cecair.

Berbekalkan teknologi DOHC, 16-injap dan karburator terbaru ketika itu, enjin 908cc ini mampu membawa motosikal ini mencatat kelajuan maksima 243km/j. Ia menjadikannya motosikal paling laju di atas jalanpada tahun 80-an. Tapi harus diingat ia bukan sahaja laju tetapi juga mempunyai kawalan yang baik dan brek yang cukup berkuasa.

 

Motosikal ini senang dikenali ketika itu dengan keseluruhan badan dan fairingnya berwarna merah dan hitam. Bukan itu sahaja pelekat Ninja yang ada pada badannya merupakan kali pertama ia digunakan pada sebuah motosikal Kawasaki. Inilah model pertama yang dikenali dengan nama pahlawan mistik Jepun, Ninja.

BACA: KAWASAKI ZX750 TURBO – TEKNOLOGI 80-AN YANG MENDAHULUI ZAMAN

Ketika ia diperkenalkan, Mike Vaughn merupakan Pengarah Pemasaran  untuk Kawasaki Motor Corp. USA (KMC). Beliau pernah menetap di Asia dan cukup arif dengan mitos Jepun dan pahlawan mereka yang dikenali dengan nama Ninja yang cukup handal dan mempunyai keupayaan menghilangkan diri. Malah beliau telah menamakan kapal layarnya dengan nama ‘Ninja’ sepuluh tahun lebih awal. Bila pihak Kawasaki mula memikirkan nama baru untuk motosikal mereka, nama yang terlintas di fikiran Vaughn ialah ‘Ninja’!

Itulah pertama kali nama Ninja diperkenalkan dan pada peringkat awal ia hanya untuk model pasaran Amerika Syarikat sebelum dibawa ke peringkat antarabangsa.

Pelancaran pertama model Ninja ini diadakan di Monterey Jet Center diikuti litar terkenal Laguna Seca. Model yang lain keluaran Kawasaki diperkenalkan bersama Ninja ini ialah GPZ1100 dan GPZ750 Turbo. Antara penunggang yang mengujinya ialah lagenda MotoGP satu ketika dahulu, Wayne Rainey.

Kini nama Ninja diteruskan pada model-model terbaru seperti Ninja H2 dan Ninja H2R, Ninja ZX-10R, Ninja ZX-6R, Ninja 650 dan banyak lagi. Dulu-dulu nampak adik Ninja yang paling kecil, Kawasaki KIPS 150 pun dah meleleh air liur. Adalah lagi ke yang masih standard kilang? PM tepi okey.

Google ads
Back to top button