Motosikal

SERLAHKAN GAYA KLASIK DENGAN TRIUMPH BONNEVILLE BOBBER BLACK & SPEEDMASTER – RM79,900 SEUNIT

Triumph Motorcycles hari ini memperluaskan rangkaian modelnya di Malaysia dengan pengenalan lapan model baru.

Ia merangkumi model Bonneville Bobber Black dan Speedmaster baru. Di samping  enam varian Tiger 800 yang sememangnya ditunggu-tunggu.

Triumph yang diimport secara rasmi oleh Motoradic Sdn Bhd dan diedarkan di Malaysia oleh Fast Bikes Sdn Bhd, memperkenalkan model-model baru tersebut pada satu majlis di Bukit Tinggi, Pahang.

Ia dihadiri oleh 350 tetamu daripada kelab motosikal Triumph yang dikenali sebagai ‘the RatPack’, tetamu dan wakil media.

“Kami ingin meraikan pelancaran motosikal baharu bersama mereka yang selama ini setia dengan jenama Triumph. Dari pelanggan pertama hinggalah yang baru sahaja memiliki motosikal Triumph dan kini menjadi anggota ‘the RatPack’. 

“Kami mahu melihat semua jentera baharu ini diterima baik oleh mereka yang mempunyai minat mendalam terhadap jenama ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Fast Bikes, Dato’ Razak al-Malique. 

Bobber Black

Sudah boleh didapati di Malaysia, Bonneville Bobber Black dan Bonneville Speedmaster ditawarkan pada harga RM79,900 (tanpa insurans, termasuk GST).

Bonneville Bobber Black dibina berasaskan model yang amat berjaya dan paling laris di dunia iaitu Bonneville Bobber. Jentera itu hadir dengan rim hadapan bersaiz 16 inci dan tayar lebih tebal, berbanding rim 19 inci pada Bobber standard.

BACA: TRIUMPH BONNEVILLE BOBBER LARIS DI AMERIKA

Ia juga didatangkan dengan fork hadapan Showa 47mm (41 mm pada Bobber), lampu hadapan LED sepenuhnya dengan lampu nyalaan siang (DRL) dan butang khas untuk fungsi kawalan jelajah sebagai ciri standard.

Mengulas tentang ahli baru dalam keluarga Bonneville Bobber itu, Razak menyatakan bahawa Bobber bertanggungjawab membawa jenama Triumph ke tahap yang tidak pernah dicapai sebelum ini.

“Bonneville Ia adalah motosikal yang menarik perhatian sesiapa sahaja. Ia sangat sesuai untuk mereka yang menggemari sentuhan gaya klasik bobber.

“Kini, Bobber Black sedia untuk melengkapkan pakej Bonneville Bobber dengan gayaan berani dan tersendiri. Di samping kejuruteraan terbaik dan tunggangan laju bersama bunyi yang mengujakan,” kata Razak.

Bonneville Speedmaster

Bonneville Speedmaster pula membawa pengaruh DNA klasik keluarga Bonneville dengan paduan gaya Bobber yang unik, tetapi lebih praktikal dan versatil. Ia menawarkan gaya tunggangan lebih relaks bersama pelana untuk pembonceng.

Perehat kaki diposisikan untuk tunggangan yang lebih selesa. Dengan tangki bahan api berkapasiti 12 liter, Speedmaster ideal untuk perjalanan jarak jauh.

Speedmaster digerakkan oleh enjin bersesaran 1,200cc yang ditala khas untuk menghasilkan kuasa tork lebih lebih tinggi. Tork maksimum 106Nm pada 4,000rpm merupakan peningkatan sebanyak 42 peratus berbanding Speedmaster 2015. Ia juga 10 peratus lebih tinggi daripada Bonneville T120 yang ada sekarang.

Kuasa sebanyak 77PS itu disalurkan ke roda menerusi kotak gear enam kelajuan yang menjanjikan penukaran gear dengan lancar. Output kuasa maksimumnya adalah 25 peratus lebih tinggi daripada Speedmaster 2015 dan 10 peratus lebih baik berbanding Bonneville T120.

BACA: BONNEVILLE SPEEDMASTER 2018 – KUKUHKAN RANGKAIAN JENTERA MODEN KLASIK TRIUMPH

Maklumat lanjut mengenai model baru Triumph yang boleh didapati di Malaysia, sila layari www.triumphmotorcycles.my.

GALERI

 

Google ads
Back to top button