SPYSHOT: MODENAS GT150, SUPERMOPED TEMPATAN PERTAMA- DI PASARAN AWAL 2018

SHARE

Ini mungkin motosikal supermoped yang ditunggu-tunggu oleh ramai peminat kapcai tempatan. Sejak perancangan model ini dibuat beberapa tahun lepas, pembangunannya berterusan dengan siri ujian demi ujian untuk memastikannya benar-benar lasak sebelum diperkenalkan di pasaran.

Kami menerima sekeping foto intipan dari pembaca dan ini adalah imej paling jelas model 150cc dari pengeluar tempatan tersebut. Untuk makluman anda, Modenas membangunkan model ini menerusi kepakaran jurutera tempatan 100 peratus yang telah dihantar untuk membuat penyelidikan dan pembangunan di Universiti Graz di Austria.

KENAPA LAMA SANGAT?

Menurut sumber kami, Modenas tidak mahu mengulangi kesilapan sebelum ini dengan hanya mengikut jadual tetapi sebenarnya produksi motosikal belum benar-benar diuji dengan keadaan persekitaran tempatan.

Mereka bukan sahaja mahu menghasilkan enjin yang benar-benar lasak tetapi juga setiap komponen motosikal ini boleh bertahan untuk jangkamasa panjang.

BACA: SPYSHOT, MODENAS SUPERMOPED 150

“Kami telah menukar beberapa peralatan asal dalam lakaran untuk pastikan ianya teruji, malah hari ni pun ujian lapangan masih lagi dibuat. Ia motosikal Modenas paling banyak masa menghabiskan masa di jalanraya,” ujar sumber yang rapat dengan pembuat motosikal Nasional itu.

Logiknya, lihat sahaja motosikal “jenama terkenal” sekarang yang menghadapi banyak isu kualiti.

Menurut sumber kami juga, ia sebenarnya bukan masalah kualiti semata-mata tetapi poliferasi pengguna yang sudah berubah. Motosikal kapcai kini dipandu dalam jarak yang lebih jauh, infrastruktur lebuhraya kita semakin panjang malah lebuhraya antarabandar juga sudah banyak.

“Profil pengguna sudah berubah, mereka banyak gunakan lebuhraya terbuka yang mana throttle diperah maksimum. Kami perlu pastikan motosikal ini menepati kriteria tersebut,”

Sumber kami juga memberitahu ada motosikal moped yang belum bersedia pun dilancarkan tetapi dek kerana mengejar masa, ia “dilepaskan” juga dalam pasaran.

“Sepatutnya kami lancarkan 150cc ini lebih awal, tapi proses ujian mengambil masa lebih lama dari yang kami jangkakan. Ia adalah produk 100 peratus tempatan dan kami mahu jadikannya yang terbaik”

Menerusi foto yang diperolehi juga, rekabentuknya supermoped kelihatan ia cukup sporty. Ia merupakan kapcai pertama yang dibina dengan kerangka trellis sepenuhnya.

Bukan sekadar gimik tetapi konstruksi keseluruhan badan motosikal ini TIDAK menggunakan kerangka berlian (diamond frame) berbeza dari cara kapcai biasa dibuat. Lihat foto yang kami zoom in di bawah, kelihatan bahagian enjin dicantumkan terus pada paip trellis yang dimaksudkan.

Turut kelihatan ialah brek hadapan dengan cakera beralun (petal disc). Roda belakang juga dilengkapi dengan brek cakera tunggal dan jika anda lihat dengan lebih dekat, kedudukan perehat kaki hadapan dipasang pada kerangka pusat lengan ayun belakang. Bukannya di bahagian bawah enjin sebagaimana kapcai biasa.

PENYESUAIAN MASA

Modenas juga telah menyusun semula proses pengeluaran mereka secara berperingkat. Sejak tahun lepas, mereka mengeluarkan tiga buah skuter di bawah kerjasama Kymco, kemudian hasilkan kapcai “murah” Kriss MR2 dan barisan motosikal usahama Modenas-Bajaj pada dua bulan lepas.

Supermoped ini dijangka akan ke pasaran pada awal tahun 2018. Kami dimaklumkan mereka akan menggunakan tag nama GT150 atau sesuatu seperti itu. Ia belum muktamad tetapi itu adalah nama terdekat yang anda boleh bayangkan setakat hari ini.

Modenas akan memperkenalkan satu lagi motosikal sebelum itu iaitu streetbike Dominar 400cc yang dijangka dilancarkan pada penghujung tahun ini.

 

Share this post

scroll to top