TIGA GERGASI DALAM ERA YANG SAMA – LAWSON,RAINEY DAN DOOHAN

SHARE

Pelumba-pelumba ini merupakan perintis kepada perlumbaan moden yang membawa perlumbaan motosikal dunia ke arah yang lebih positif, profesional dan lebih bersih jauh dari anasir-anasir tidak baik seperti sebelumnya. Mereka juga gergasi dalam zaman tersebut kerana memenangi 12 kali kejuaraan 500cc dalam masa 15 tahun : Lawson empat kali, Rainey tiga kali dan Doohan lima kali.

Lawson dan Rainey merupakan pelumba yang ditempa berdasarkan acuan Kenny Roberts. Lawson banyak mempelajari teknik-teknik Roberts sewaktu beraksi sebagai rookie dan musim Grand Prix. Rainey pula merupakan pewaris Roberts yang dibawa ke Eropah untuk menyertai pasukan Grand Prix Roberts yang baru saja dibentuk. Doohan pula mengikut jejak ketiga-tiga pelumba California itu tetapi menaikkan lagi taraf permainan berdasarkan pemikiran, kerja keras dan gaya menunggang yang lebih agresif.

Mitsubishi YE-Triton-Mrec-Desktop

Ketiga pelumba ini mempunyai latar belakang yang hampir sama iaitu perlumbaan trail dan kemudian menyertai perlumbaan superbike.

Lawson dan Rainey mula berlumba bersama sewaktu mereka masih kanak-kanak. Mengasah bakat perlumbaan trail mereka di litar-litar dirt bike berbentul oval, di tempat pakir dan di mana saja ada peluang. Kawasaki kemudian mengambil keduanya sebagai pelumba dirt bike dan kemudiannya dinaikkan ke superbike. Pada tahun 1981 dan 1982 Lawson memenangi perlumbaan US Superbike dengan menggunakan motosikal Kawasaki Z1000 manakala setahun kemudian Rainey muncul juara dengan menggunakan GPZ750.

Bila Rainey mula berlumba di atas litar, beliau menyatakan beliau sudagh menyertai hampir 3000 perlumbaan dirt bike dan begitu juga dengan Lawson. Skil yang mereka ada memang sesuai untuk mengekang motosikal 2-lejang GP500 yang berkuasa, liar dan kadangkala dengan casis yang membuai dan tayar yang jauh berbeza berbanding hari ini.

Lawson menyertai GP500 pada tahun 1983 dan Rainey 1988. Lawson sendiri memberitahu yang hari pertama beliau dalam GP500 adalah hari yang menakutkan dan merasakan adalah sesuatu yang mustahil untuk dikuasai. Tapi sebaliknya berlaku bila kemahiran beliau semakin meningkat dan seolah-olah bersatu dengan motosikal dan bukannya memaksa motosikal. Tunggangan beliau memang mantap walaupun kelihatan kurang laju. Satu perkara yang [asti ialah Lawson jarang sekali terjatuh sewaktu berlumba.

Masuk tahun kedua, Lawson sudah semakin laju sehingga berjaya merampas gelaran juara dari Freddie Spencer pada tahun 1984. Lawson turut bergelar juara dunia pada tahun 1986 dan 1988.

Tahun 1989 menyaksikan pertembungan antara Rainey dan Lawson. Pertempuran hebat antara dua jentera lagenda, YZF500 dan NSR500. Ia berakhir bila Rainey mengalami kemalangan sewaktu sedang bersaing hebat dengan Lawson dalam GP Sweden. Keduanya kemudian menjauhkan diri selepas perlumbaan tersebut.

BACA: DIMANAKAH LAGENDA-LAGENDA DUNIA 500CC BERADA SEKARANG?

Berbeza dengan Lawson yang cukup cermat, Rainey adalah seorang pelumba bijak yang kadang kala melakukan apa saja yang termampu untuk menipu hukum fizik. Gaya menunggang beliau juga lebih menarik dan agresif berbanding Lawson. Setiap selekoh diambil menyaksikan pergerakan badan beliau yang sangat agresif, motosikal bergegar dan bergoyang tetapi selepas ia terus memecut laju.

Lawson memenangi GP terakhir beliau di litar Hungaroring pada tahun 1992 manakala Rainey pula memenangi GP terakhir beliau  pada Ogos 1993. Dua minggu selepas itu karier perlumbaan Rainey tamat selepas terlibat dalam satu kemalangan di Misano.

Doohan pula hampir terlepas kejuaraan tahun 1992 bila terlibat dalam kemalangan yang hampir menyebabkan kaki beliau dipotong. Ketabahan Doohan terbukti bila beliau bangkit semula selepas itu dan menjadi seorang lagenda GP dunia.

Beliau mengambil masa setahun untuk kembali menjadi juara dan menyaksikan motosikal beliau terpaksa diubahsuai dengan lever brek belakang terpaksa diletakkan pada bar hendal kerana sendi kanan beliau tidak boleh digerakkan. Hanya pada tahun 1994 barulah Doohan berjaya menjadi juara dunia dan mengekalkan rekod sebagai juara selama lima tahun berturut-turut.

Kehebatan beliau memenangi 5 gelaran juara GP500 berturut-turut meletakkan beliau ditempat ketiga pencapaian di belakang Valentino Rossi dan Giacomo Agostini. Doohan mempunyai gaya menunggang seakan Rainey tetapi lebih ganas dan mendesak.

Karisma yang ada padanya membuatkan Doohan kelihatan cukup hebat di litar dan sukar dihampiri di kawasan paddock. Ramai yang cukup gerun dengan Doohan ni dari kakitangan di kawasan litar, lawan-lawan dari pasukan dan para wartawan sendiri.

Share this post

scroll to top