WAZE UNTUK PENUNGGANG MOTOSIKAL – INILAH YANG KITA MAHU!

SHARE

Penyedia aplikasi navigasi perjalanan popular, Waze baru-baru ini mengumumkan naik taraf aplikasinya untuk peranti iOS dan Android.

Naik taraf itu melibatkan beberapa ciri penting yang paling banyak diminta oleh pengguna.  Setiap ciri baharu tersebut direka secara spesifik agar anda boleh melalui jalan yang lebih lancar dan kurang trafik.

Ciri pertama pastinya akan menjadi pilihan semua penunggang motosikal. Pilihan “Motosikal” itu menawarkan anda jalan yang sesuai untuk dilalui oleh penunggang jentera dua roda.

Selain daripada kemas kini dan amaran pada masa sebenar, Wazer yang menggunakan mode motosikal akan ditunjukkan dengan laluan terbaik, berdasarkan kepada apa yang telah dikongsi oleh penunggang lain sebelum ini.

Semakin lama anda menggunakan mode ini, ia akan menjadi lebih pintar untuk membawa anda ke lokasi yang ingin ditujui. Ia juga bermakna jangkaan masa tiba adalah lebih tepat berbanding sebelumnya.

Untuk menggunakan Waze motosikal, pergi ke Settings > Vehicle Type > Motorcycles dalam aplikasi Waze anda.

Selain itu, Waze turut memperkenalkan ciri Talk to Waze. Ia memberi anda kuasa untuk mengarahkan aplikasi Waze menggunakan suara dan dua perkataan penting iaitu “OK Waze.” 

Merupakan evolusi kepada ciri Waze Voice Commands sedia ada, pemandu kini boleh merancang perjalanan, mendapatkan prebiu jalan di hadapan, menghantar laporan dan menambah tempat berhenti tanpa perlu mengalihkan tangan daripada stereng. Ia bukan sahaja lebih mudah, malah jauh lebih selamat.

Buat masa sekarang, ciri ini hanya ditawarkan untuk Wazer yang menggunakan bahasa Inggeris di Amerika Syarikat, UK, Kanada, Australia, Afrika Selatan, Ireland dan New Zealand. Menurut Waze, penggunaan bahasa-bahasa lain akan menyusul tidak lama lagi.

Untuk menggunakan ciri tersebut, pergi ke Settings > Sound & voice > Talk to Waze > Toggle Listen for “OK Waze” on. 

(Visited 435 times, 109 visits today)

Share this post

scroll to top