YAMAHA MT-09 RASMI DILANCARKAN – HARGA RM47,388

SHARE

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini melancarkan model naked berprestasi tinggi, MT-09 2018 secara rasmi.

Jentera tersebut menerima pembaharuan yang signifikan dari segi kosmetik dan prestasi. Apa yang lebih menarik, anda boleh memiliki sebuah MT-09 pada harga RM47,388 seunit (termasuk GST) sahaja.

MT-09 didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu hitam (Tech Black) dan kelabu (Night Fluo).    

Jentera ini menggunakan khidmat enjin tiga silinder empat lejang dengan sistem penyejukan cecair. Enjin yang mampu menjana kuasa 115PS dan tork 87.5Nm itu kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.  

Sebagai sebuah street fighter sebenar, Yamaha telah memasang sistem klac quick shift dan A&S (Assist & Slipper) bagi memastikan operasi klac yang lebih mantap. Komponen tersebut dikatakan mampu menurunkan beban operasi klac sebanyak 20 peratus.   

Bukan itu sahaja, kedua-dua sistem baru itu membolehkan penukaran gear dilakukan secara agresif. Pada masa sama, enjin tidak akan mengunci roda belakang. Jadi, penunggang boleh mengambil selekoh dengan lebih efisien.

Pembaharuan lain ialah sistem suspensi hadapan 41mm yang kini boleh dilaras untuk mendapat redaman mampatan yang diingini oleh penunggang.

Menyentuh tentang aspek kosmetik pula, jentera ersebut tampil dengan satu set lampu hadapan LED yang agresif. 

Lampu isyarat membelok diletakkan berhampiran radiator. Sementara lampu belakang memiliki rekaan berbentuk huruf M. Sentuhan terakhir ialah dapra belakang yang digabungkan dengan tempat meletak nombor pendaftaran.

Aspek keselamatan MT-09 dipertingkatkan menerusi penggunaan brek anti kunci (ABS) pada kedua-dua rodanya.  

HLYM meletakkan sasaran untuk menjual 50 hingga 60 unit sebulan atau sekitar 700 unit MT-09 setahun.

Biarpun pasaran motosikal berkuasa tinggi dilihat jatuh sebanyak 20 peratus, HLYM bagaimanapun akan terus komited dalam menawarkan produk-produk menarik dan mengukuhkan aspek selepas jualan.

GALERI

Share this post

scroll to top