YAMAHA X-MAX 125 2018 – MASUKI PASARAN EROPAH OKTOBER DEPAN 

SHARE

Yamaha telah mendedahkan skuter X-MAX 125 2018 untuk pasaran Eropah. Jentera tersebut dijangka menyertai barisan model X-MAX 300 dan X-MAX 400 yang cukup berjaya di sana. 

Skuter entry level itu menawarkan mode pengangkutan yang bergaya, jimat dan mudah kepada pengguna di kawasan urban serta pinggir bandar. Memandangkan ia boleh ditunggang menggunakan lesen memandu asas A1, maka audiens untuk X-MAX dilihat lebih luas. 

Bagi model 2018, X-MAX 125 tampil dengan reka bentuk lebih dinamik yang diinspirasikan daripada X-MAX 300 dan X-MAX 400 generasi terkini. Lampu utama dan lampu posisi LED hadapan melengkapkan rupanya yang garang. 

X-MAX 125 dipacu oleh enjin empat lejang silinder tunggal dengan sistem penyejukan cecair SOHC 125cc yang mematuhi piawaian Euro4. Dipadankan dengan pacuan transmisi automatik V-Belt, ia menjanjikan tunggangan yang lancar, menjimatkan dan senyap, sama ada di dalam bandar mahupun di lebuh raya. 

Bukan itu sahaja, X-MAX 125 juga didatangkan dengan kawalan cengkaman sebagai satu ciri standard untuk meningkatkan keselamatan penunggang di atas jalan yang licin. 

Bahagian hadapan menggunakan rim bersaiz 15 inci bersama fork standard. Manakala belakang dipasang dengan rim lebih kecil dan dua penyerap hentak. Kuasa membrek diserahkan kepada cakera tunggal depan belakang dengan ABS.  

Aspek praktikaliti ditingkatkan menerusi cermin penghadang angin boleh laras dan bar hendal yang boleh diletakkan di dua posisi. Papan pemuka X-MAX 125 dilengkapi satu paparan LCD multi informasi. Selain satu port 12V dalam ruang penyimpanan barang sebelah kiri yang membolehkan anda mengecas peranti ketika menunggang.   

Dari segi storan, X-MAX 125 menawarkan ruang kargo bawah tempat duduk yang paling luas dalam segmennya. Ia mampu menempatkan dua unit topi keledar muka penuh. Jika tidak cukup, beli sahaja kotak daripada GIVI. 

Hadir dalam empat warna iaitu merah, kelabu, biru dan perak, X-MAX 125 dijadual mula dijual pada Oktober depan. 

GALERI

(Visited 576 times, 2 visits today)

Share this post

scroll to top