Motosikal

YAMAHA X-MAX 300 DILANCARKAN: KEYLESS, LED DAN KAWALAN TRAKSI

Selain membuat motosikal yang berkuasa seperti R1M, Yamaha juga terkenal dengan teknologi skuternya. Tanya saja pada sesiapa yang mengenali T-Max, ia skuter maxi yang menjadi penanda aras bagi mana-mana skuter yang dihasilkan oleh pengeluar lain.

Jika anda buat maxi-skuter, spesifikasinya mestilah selaras atau menandingi T-MAX 530cc. Apa juga enjin yang pengeluar lain gunakan, ia tetap akan dibandingkan dengan T-MAX. Flagship Kymco terbaru AK550 juga tanpa segan silu menjadikan T-MAX sebagai penanda aras mereka.

xmax putih

Tapi bagaimana pula untuk pasaran orang-orang yang tidak mahu laju tetapi perlukan sebuah kenderaan 2 roda automatik? Bagaimana warga emas seperti Abang Japar?

Yamaha sejak 5 tahun lepas telah menyusun DNA siri MAX ini kepada skuter-skuter sekecil 125cc hingga 530cc. Ia strategi mapan yang terbukti berjaya di mana separuh jualan skuter di Eropah jenamanya ialah Yamaha.

Semalam, Yamaha telah memperkenalkan satu lagi varian iaitu X-MAX 300cc di Eropah. Ia adalah model naiktaraf yang bakal menggantikan X-MAX 250cc yang telah terjual sebanyak 130,000 unit sejak 11 tahun yang lalu.

Yamaha X-Max 300 (2)

X-MAX dipasangkan dengan enjin 300cc Teknologi Blue Core terbaru bagi memenuhi piawai emisi terkini. Ia lebih berkuasa dan menjimatkan penggunaan bahanapi. Enjin 4 lejang sejukan cecair, SOHC 4 injap ini menampilkan rekabentuk injap dan pemasaan pembakaran baru dengan nisbah mampatan lebih tinggi.

Selinder DiASil juga dilaras semula dengan penyejukan terbaru untuk memastikan enjin sentiasa berada dalam prestasi optimum. Di bawah adalah ciri-ciri terbaru X-MAX ;

– Enjin Teknologi Blue Core terbaru

– Kerangka yang diinspirasikan dari T-MAX 530cc yang menghasilkan ketegaran terbaik dan posisi tunggangan lebih sporty.

– Suspensi hadapan dual clamp seperti sebuah motosikal.

– Kawalan Traksi (TCS).

– Sistem penghidup Keyless.

– Lampu utama LED berkembar.

– Lampu belakang LED denngan lampu panduan LED.

– Kompartmen bawah kerusi yang lebih besar – boleh memuatkan 2 unit topi keledar penuh muka.

– Instrumen LCD dengan pelbagai bacaan yang boleh diakses pada suis bar hendal.

– Pengecas 12V outlet.

Yamaha X-Max 300 (1)

Kita mungkin tidak mempunyai banyak pilihan skuter. Hong Leong Yamaha Malaysia pernah menyiarkan “teaser” Yamaha X-MAX 250cc sewaktu mempromosikan acara karnival tahunan Yamaha mereka tak lama dahulu.

Tapi seperti biasa, Yamaha tetap yakin dengan N-MAX 155cc dan rangkaian skucai (skuter+kapcai) Nuovo LC dan EGO LC. Kemudian Avantis dilancarkan. Tiada berita lanjut mengenai X-MAX250cc itu.

Adakah ia akan sampai ke Malaysia? Kita tidak akan tahu dan saya percaya, ramai yang tak berharap pun. Akan tetapi jika melihat pada perkembangan pasaran skuter semasa, kemungkinan itu tetap wujud.

Yamaha X-Max 300 (5)

Satu masa dulu, siapa sangka Kawasaki nak bawa masuk J300?. Siapa sangka Honda akan perkenal Forza NSS300?

Terkini, Modenas SAH akan perkenalkan Elegan 250cc pada bulan depan. Ia membuktikan pasaran skuter semakin membesar.

 

 

Google ads
Back to top button