Pandu Uji

HONDA CIVIC 2.0L NAVI – MAU JADI BEST!

Honda Civic adalah contoh kejuruteraan automotif klasik-moden yang boleh dilabel sebagai  sangat berjaya.

HONDA CIVIC 2.0L NAVI

Sewaktu idea kereta pertama ini hendak dibina pada tahun 1970, jurutera Honda telah terbang ke seluruh dunia untuk mengkaji pasaran. Kita maklum bahawa dekad 1970-an adalah detik emas ekonomi yang sedang berkembang pesat di seluruh dunia.

Honda tidak mahu melepaskan peluang ini dan berhasrat menghasilkan kereta ‘dunia’ mereka yang pertama. Setelah sembilan generasi di pasaran, kereta penumpang ini masih lagi relevan dalam industri.

Honda-Civic-Navi-test-drive-mekanika (8)

Civic boleh dibahagikan kepada beberapa fasa penting. Sesuai dengan sasaran  pasaran dan ‘budaya’ pemilikan kereta pada era 1980-an dan 1990-an, Civic dibuat khusus untuk pasaran sporty. Hanya sedikit ciri kemewahan yang diterapkan sebab mereka percaya, Civic perlu dikenali dengan kemampuan enjin dan pengendalian FF paling baik.

Ia merupakan kereta pertama yang menggunakan sistem suspensi multi-link dan paling dominan di trek perlumbaan. Baik di Jepun atau pasaran terbesarnya Amerika, model-model seperti EF, EG dan EK meletakkan Civic pada kasta yang tersendiri.

HONDA CIVIC 2.0L NAVI

Dilancarkan pada 2011 bagi menggantikan FD generasi ke-8, Civic generasi ke-9  (FB) ini memasuki fasa yang berbeza. Sejak zaman ES (generasi ke-7) Honda Civic ‘dipaksa’ berkongsi pasaran dengan Fit dan Fit Aria (Jazz dan City).

Honda Jazz telah menukar corak perniagaan Honda dan fokus pembuatan Civic mula beralih arah. Civic diberi pilihan untuk prestasi pada model-model terpilih seperti EP3 untuk pasaran Jepun dan FN2 untuk pasaran Eropah.

Honda-Civic-Navi-test-drive-mekanika (3)

Sementelah, model biasanya mula cenderung kepada aspek kemewahan. Pelbagai aksesori dipasangkan dan tagline jualan memperlihatkan sasaran yang berbeza.

Model 2.0 liter i-VTEC ini adalah kesinambungan FD 2.0L. Revolusi besar yang berlaku pada Civic fasa pasca millenium ialah binaan lantai belakang rata pada ES dan kemudian papan pemuka bertingkat pada FD. Model ini meneruskan tradisi ini dan saya percaya, ia akan jadi lambang Civic seterusnya.

Honda-Civic-Navi-test-drive-mekanika (9)

Sebaik sahaja masuk ke dalam kabin, paparan informasi dipecahkan pada variasi berbeza. Di tingkat atas ialah paparan utama kelajuan dalam bentuk digital, takat bahan api dan tahap pengunaan per kilometer.

Sementara di sudut kiri pula ditambah dengan LCD berasing untuk paparan audio, jam dan maklumat sekunder seperti peringatan memakai tali pinggang keledar. Di tingkat bawah, paparan meter chrono analog untuk RPM dan indikasi enjin, ESP, pelincir dan berbagai lagi.

Honda-Civic-Navi-test-drive-mekanika (12)

Pengorbanan besar dalam rekaan papan pemuka ini ialah saiz stering yang terpaksa dikecilkan. Mula-mula rasa agak kekok, tambahan pula butang penghidup enjin diletakkan di sebelah kiri (kereta Toyota saya di sebelah kanan). Posisi tuil gear, brek parkir, suis audio dan butang multi-fungsi pada stereng bagaimanapun berada pada posisi yang cukup egronomik.

Honda-Civic-Navi-test-drive-mekanika (14)

Enjin 2.0 VTEC ini menghambur kuasa secukupnya apabila pemanduan ditukar pada mode ‘S’. Kaedah kawalan pendikit pada mode ini benar-benar membuatkan enjin bekerja keras ketika gear bertukar pada RPM tinggi.

Rasa macam nisbah gear 1 hingga 3 ditala semula berbanding pada model terdahulu. Kalau jenis yang bawa santai, memadai dengan mode D sahaja. Sebabnya, kadang-kadang mode S membuatkan enjin tersentap-sentap kerana gearnya nak rendah saja!

Honda-Civic-Navi-test-drive-mekanika (6)

DNA penting Civic yang masih kekal diwarisi pada model ini ialah set suspensi yang sporty. Ya, Civic perlu menjadi Civic. Ia perlu dikawal sebagaimana kereta yang direka 20 tahun sebelum ini.

Garis pemanduan sterengnya tepat, meneka pautan di selekoh juga tidak perlu masa yang lama kerana  ‘perangai’ kereta ni dapat dijangka dengan mudah. Kereta i versatil, boleh dipandu biasa-biasa atau dipandu di litar di hujung minggu pada yang berkenan!

Honda-Civic-Navi-test-drive-mekanika (4)

Salah satu sumbangan penting kendalian kereta ini ialah tayar Michelin Pilot Sport 3 yang merupakan antara terbaik untuk jalan raya tropika. Cukup senyap dalam kelasnya, tapi cemerlang dalam cengkaman di atas apa jua permukaan.

Walaupun ia tak sesenyap Primacy ST, namun ia masih sebuah tayar penumpang yang fokus pada pengurangan bunyi. Tahap NVH daripada enjin, liang-liang getah pintu dan firewall juga telah dipertingkatkan.

Honda-Civic-Navi-test-drive-mekanika (5)

Model facelift generasi ke-9 ini juga lebih berbaloi dimiliki berbanding varian terdahulu. Sebagai model premium, ia dilengkapi enam beg udara. Tempat duduk dibalut kulit dan kerusi pemandu dikawal elektrik.

Model teratas 2.0 Navi turut ditingkatkan dengan pemain utama skrin 7 inci dengan GPS bersama 2 port USB dan slot HDMI.

Honda-Civic-Navi-test-drive-mekanika (13)

Ketika diperkenalkan pada 2012, harga jualan Civic 2.0 Navi ialah RM136,980. Hari ini ia boleh dimiliki pada harga RM132,800. Ya. Ia tidak murah untuk sebuah sedan segmen C. Tapi untuk model flagship tertinggi, ia berada dalam pasaran sebenarnya dalam kalangan jenama Jepun seperti Toyota Altis, Mazda3 dan Nissan Sylphy.

Honda-Civic-Navi-test-drive-mekanika (11)

Sepuluh tahun kebelakangan ini, kita dapat lihat jurang segmen C yang ketara kerana fokus perniagaan sudah berubah. Tangga harga flagship segmen C hari ini hampir menyamai harga segmen D entry level. Melainkan anda lihat pada jenama tingkat kedua seperti Hyundai Elantra, Kia Cerato atau Renault Fluence.

Google ads
Back to top button